Ekonomi Tempatan yang Bingkas dan Pengurusan Ekonomi Kerajaan yang Proaktif Dijangka Menyokong Prestasi Pasaran Modal 2003

Kuala Lumpur, 30 Mei 2003

Bagi tahun 2003, pasaran modal Malaysia akan meningkat dengan ekonomi negara yang bingkas dan langkah proaktif kerajaan dalam pengurusan ekonomi, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Ali Abdul Kadir ketika mengeluarkan Laporan Tahunan 2002 SC.

Datuk Ali berkata strategi-strategi baru yang dicadangkan ke arah merangsang pertumbuhan ekonomi negara akan mempunyai kesan positif ke atas pasaran modal dan juga memberikan kebingkasan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran daripada persekitaran luaran yang sukar kepada kedua-dua ekonomi tempatan dan pasaran modal.

Dalam konteks ini, pasaran modal Malaysia akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi, dalam melaksanakan fungsinya menggerakkan modal untuk membiayai perkembangan ekonomi. Dalam mengkaji semula pencapaian pasaran modal dalam tahun 2002, Datuk Ali menyatakan bahawa jumlah dana yang dijana di pasaran ekuiti dan sekuriti hutang swasta (PDS) berjumlah RM49 bilion dalam tahun 2002 berbanding RM44 bilion dalam tahun 2001.

“Sukacita saya menyatakan peningkatan ketara dalam terbitan ekuiti dalam tahun 2002, berjumlah RM13.3 bilion, melebihi sekali ganda RM6.2 bilion yang dijana pada tahun 2001. Kesemua 51 penyenaraian baru terlebih langgan berbanding pada tahun sebelumnya di mana hanya 13 (daripada 20) penyenaraian baru terlebih langgan. Bilangan cadangan penyenaraian yang diluluskan (42) juga lebih tinggi pada tahun 2002 berbanding pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata walaupun Indeks Komposit BSKL (IKKL) terjejas disebabkan keadaan global yang teruk, ia tidak terjejas dengan begitu teruk berbanding dengan pasaran global yang lain. Indeks tersebut mencatatkan penurunan sebanyak 7.10% pada tahun 2002, berbanding dengan pasaran utama lain, yang mana sesetengahnya jatuh sehingga 40% sepanjang tempoh yang sama.

Datuk Ali berkata tahun 2002 merupakan “tahun cemerlang bagi pasaran bon Malaysia – disokong oleh peningkatan penarafan berdaulat dan pengurangan spread kredit. Asas domestik yang diperbaik membawa kepada peningkatan penarafan kredit mata wang negara dan pengurangan spread kredit”.

“Prestasi pasaran modal pada tahun 2002 telah disokong oleh ekonomi Malaysia yang lebih kukuh, yang mencatatkan pemulihan tahun lepas dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar berkembang sebanyak 4.2% dalam tahun 2002 daripada 0.4% pada tahun 2001. Penggunaan domestik, perbelanjaan awam dan juga pemulihan dalam permintaan luaran menyumbang sebagai sumber pertumbuhan utama,” kata Datuk Ali.

Walaupun kemajuan besar dicapai dalam banyak bidang pasaran modal pada tahun 2002, kecairan pasaran saham kekal rendah secara relatifnya, menggambarkan keadaan pasaran global yang tidak menentu dan perkembangan geo-politik yang menjejaskan aktiviti pelaburan dalam tempoh ini. Untuk menangani situasi ini, “beberapa siri tindakan dimulakan oleh SC bertujuan mencari penyelesaian ke arah mempertingkat kecairan dalam pasaran modal untuk menjadikannya lebih menarik kepada pelabur, dan kita berharap ini akan membawa kepada pasaran yang lebih aktif”.

SC bekerjasama erat dengan pihak industri, kerajaan dan Majlis Penasihat Pasaran Modal (CMAC), telah memberikan tumpuan kepada usahanya untuk mempertingkatkan kecairan ke atas beberapa bidang utama, iaitu membangunkan asas kukuh syarikat utama di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), menggalakkan pembabitan pelabur institusi yang aktif, membangunkan komunikasi dan strategi pemasaran yang tertumpu dan konsisten serta merancang untuk mengadakan sekutu strategik yang berpotensi dengan pasaran lain.

Datuk Ali juga menegaskan bahawa peserta pasaran dan pemegang kepentingan perlu memainkan peranan mereka dalam mempertingkatkan kecairan dengan membangunkan lagi saluran pengagihan mereka dan lebih agresif dalam menarik para pelabur.

Usaha-usaha SC pada tahun 2002 dalam bidang utama lain adalah seperti berikut:

Memastikan pasaran kekal sebagai pusat penjanaan dana pilihan bagi syarikat Malaysia

Usaha SC dalam tahun 2002 juga ditumpukan ke arah mempertingkatkan lagi kecekapan persekitaran penjanaan dana untuk memastikan pasaran modal Malaysia kekal sebagai pusat penjanaan dana pilihan bagi syarikat Malaysia.

Datuk Ali berkata “pada bulan Mac 2003, SC telah menyempurnakan peralihan pasaran daripada kawal selia berteraskan merit kepada yang berteraskan penzahiran dan usaha SC dalam pasaran bon terus dijalankan. Hasil daripada usaha sama dengan Jawatankuasa Perundingan Pensekuritian Aset, SC telah menyediakan rangka kerja yang lebih memudahcarakan bagi pensekuritian aset dengan penghasilan Report on Asset Securitisation in Malaysia – The Way Forward for the Malaysian Market, yang kemudiannya diluluskan oleh Jawatankuasa Pasaran Bon Nasional”.

Mengembangkan persaingan dan kebingkasan institusi dan perantara pasaran

Tahun 2002 juga menyaksikan kemajuan ketara dalam usaha SC untuk mempertingkatkan kebingkasan dan daya saingan institusi pasaran. Antara langkah yang paling utama ialah penggabungan bursa dan rumah penjelasan Malaysia kepada entiti yang disatukan. BSKL bergabung dengan Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia (MESDAQ) pada bulan Mac 2002, sementara rumah-rumah penjelasan ekuiti dan niaga hadapan Securities Clearing Automated Network Services (SCANS) dan Rumah Penjelasan Derivatif Malaysia (MDCH) bergabung pada bulan Ogos. Terdapat juga kemajuan yang memberangsangkan dalam proses demutualisasi BSKL dan proses tersebut akan diselesaikan pada tahun 2003.

Datuk Ali berkata dengan adanya struktur demutualisasi tersebut, bursa tempatan akan berupaya untuk merombak semula operasi urusan mereka dan memulakan transformasi asas kedudukan strategiknya untuk memenuhi keperluan pemegang kepentingan.

Terdapat juga kemajuan selanjutnya dalam proses penggabungan industri broker saham. Bilangan syarikat broker saham dikurangkan kepada 40 pada akhir tahun 2002 daripada 66 syarikat pada tahun 2000, iaitu ketika SC mengumumkan rangka kerja dasar bagi penggabungan. Setakat Mei 2003, bilangan syarikat broker saham telah berkurangan lagi kepada 39.

Enam daripada syarikat ini telah memperolehi status Broker Universal (UB) yang memberikan mereka peluang untuk mengembangkan asas keuntungan melalui rangkaian aktiviti pasaran modal. UB juga diberikan insentif selanjutnya pada tahun 2002 dan ini termasuk pengenalan garis panduan bagi UB untuk berurusan secara terus dalam sekuriti hutang tidak tersenarai dan polisi yang memberikan mereka akses kepada RENTAS dan bertindak sebagai penasihat kepada cadangan terbitan korporat bagi kedua-dua produk ekuiti dan bon. Insentif ini merupakan tambahan kepada beberapa insentif yang lain, seperti pembukaan cawangan dan penubuhan kemudahan akses elektronik, yang diperkenalkan pada tahun 2001.

Memperkukuh pengawasan dan penguatkuasaan

Pengawasan dan penguatkuasaan kekal menjadi keutamaan penting bagi SC pada tahun 2002 yang mana SC berjaya dalam sabitan pertama bagi aktiviti niaga hadapan tidak sah yang lebih dikenali sebagai “dagangan komoditi/indeks lani”.

Dua kes dalam tahun 2002 melibatkan dua tokoh korporat terkenal. Ini merupakan penghukuman ke atas Datuk Tony Tiah Thee Kian pada bulan Mei dan bermulanya pendakwaan terhadap Dato’ Soh Cee Wen, yang berada di dalam senarai orang yang dikehendaki oleh SC selama tiga tahun sehingga penangkapan beliau pada bulan Mei 2002.

Bergerak ke hadapan, SC terus mengambil pendekatan proaktif terhadap penguatkuasaan. Antara lain, skop pasukan pengawasan laporan kewangan dan korporat SC telah diperluaskan untuk meliputi pemeriksaan akaun syarikat awam tersenarai. Unit tersebut telah digerakkan kepada pasukan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pengawasan aktif dan memaklumkan pihak berkuasa yang berkenaan sekiranya terdapat sebarang kemungkinan pelanggaran undang-undang.

Menggalakkan tadbir urus korporat dan pengurusan risiko yang baik

Ketika memberikan komen mengenai isu tadbir urus korporat, Datuk Ali berkata “skandal korporat pada tahun lepas di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menguatkan lagi hakikat bahawa tiada bidang kuasa pasaran yang boleh berpuas hati dengan standard tadbir urus korporat dan perakaunan. Keperluan untuk amalan tadbir urus dan ketelusan yang baik kini menjadi lebih kritikal dan mencabar.”

Beliau mengatakan bahawa sementara skandal tersebut telah merangsang sebilangan ekonomi maju menyarankan banyak respons kawal selia seperti Sarbanes-Oxley Act di AS dan Higgs Review di United Kingdom (UK), Malaysia telahpun mengambil banyak inisiatif sebelum krisis Asia Timur 1997-98 dan kerangka tadbir urus korporatnya telah diperkukuh sejak krisis tersebut; mendahului rangka kerja usaha-usaha di negara-negara maju ini.

Sebagai contoh, keperluan bagi pengisytiharan statutori untuk disertakan bersama penyata kewangan oleh pengarah atau individu yang bertanggungjawab ke atas ketepatan penyata kewangan telah wujud selama lebih daripada 20 tahun. Hasil daripada ini, pengarah dan pegawai kewangan dikehendaki teliti dalam memastikan penyediaan penyata kewangan.

“Syarikat mesti membina budaya mematuhi piawaian perakaunan atas sebab yang betul -- bukan kerana sedang diperhatikan, tetapi kerana mereka sendiri yang ingin melakukan demikian dan untuk kebaikan sendiri,” kata Datuk Ali.

“Tugas SC berhubung dengan ketelusan dan tadbir urus korporat masih menjadi keutamaan. Usaha sedang dilaksanakan dan memerlukan komitmen daripada semua yang terlibat, bukan hanya pengawal selia”, kata beliau.

Datuk Ali berkata pengajaran daripada kegagalan korporat baru-baru ini dan yang terdahulu menunjukkan bahawa syarikat mesti menangani isu-isu pengurusan risiko dengan lebih mendalam seperti kawalan dalaman yang kukuh, insentif bagi pembabitan oleh pengurusan kanan, struktur kebertanggungjawaban dan garis pelaporan—bagi menggalakkan pihak pengurusan sentiasa mengambil kira semua risiko yang mungkin dalam proses membuat keputusan. Syarikat perlu membentuk budaya pengurusan risiko yang kukuh yang tersebar dari pihak atasan ke bawah.

Memaksimumkan nilai pemegang saham

Pada tahun 2002, SC juga berusaha menggalakkan pemaksimuman nilai pemegang saham dengan mendidik pengarah syarikat dan menggalakkan tahap aktivisme yang lebih tinggi di kalangan para pelabur dan pengurus dana.

Datuk Ali mengatakan bahawa pemaksimuman nilai pemegang saham merupakan pendorong terbaik untuk memastikan sesebuah syarikat dijalankan dengan betul dan baik.

“Konsep asas pembentukan kekayaan pemegang saham kekal sebagai konsep utama kepada perkembangan jangka panjang pasaran modal. Dalam sektor korporat Malaysia, pengurusan nilai pemegang saham yang efektif perlulah dianggap sebagai faktor yang amat penting,” kata beliau.

Beliau menambah “fokus yang tertakrif dengan jelas tentang pemaksimuman nilai pemegang saham akan membolehkan syarikat Malaysia bersaing dengan lebih berkesan untuk mendapatkan modal global, dan memperkenalkan struktur pampasan eksekutif yang menggalakkan kemasukan dan pembangunan buruh mahir”.

Penyertaan aktif dalam inisiatif pengawalseliaan antarabangsa

Di persada antarabangsa, SC terus bekerjasama rapat dengan organisasi kawal selia antarabangsa dan telah menerajui beberapa projek utama yang berkait dengan peraturan kewangan antarabangsa. Ia juga terlibat secara proaktif dalam perbincangan mengenai sistem kewangan antarabangsa.

“Pembabitan SC di peringkat antarabangsa memastikan pandangan Malaysia disuarakan dan dipertimbangkan sepenuhnya di peringkat global, dan mendapat pengiktirafan teguh bagi negara kita,” kata Datuk Ali.

Sebagai pengiktirafan ke atas pembabitan SC di peringkat antarabangsa dalam pembangunan standard antarabangsa, Datuk Ali telah dilantik sebagai Pengerusi satu pasukan petugas khas antarabangsa mengenai pasaran modal Islam (ICM) yang diwujudkan di bawah Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO). Sebagai pengerusi pasukan petugas ini, SC mengetuai usaha untuk menilai perkembangan dan implikasi pengawalseliaan ICM di peringkat global bagi pertimbangan peringkat tertinggi Jawatankuasa Eksekutif IOSCO. Mesyuarat pertama pasukan petugas diadakan pada bulan November di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh ahli-ahli Pasukan Petugas yang merangkumi pengawal selia dari Australia, Indonesia, Itali, Jordan, Nigeria, Afrika Selatan, Thailand, Turki, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sebelum ini, di Persidangan Tahunan IOSCO 2002 yang diadakan di Istanbul pada bulan Mei, Datuk Ali telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik IOSCO, yang terdiri daripada 19 pengawal selia di rantau tersebut buat satu penggal lagi. SC juga merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif IOSCO.

SC juga memainkan peranan aktif dalam mewujudkan memorandum persefahaman (MOU) pelbagai hala yang dibentuk oleh IOSCO dan terus komited kepada kerjasama kawal selia antarabangsa.

Hubungan baik dan kerjasama SC dengan rakan sekerja asingnya ditunjukkan melalui MOU yang ditandatangani dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Sri Lanka dan Suruhanjaya Sekuriti Jordan, masing-masing dalam bulan Februari dan Oktober, menjadikan jumlah MOU yang ditandatangani antara SC dan pengawal selia sekuriti antarabangsa dari kedua-dua negara maju dan membangun sebanyak 16.

Membangunkan pasaran modal Islam

Dalam membangunkan pasaran modal Islam, SC dengan menggunakan peluang daripada kekuatan prasarana pasaran modal konvensional yang sedia ada, telah memberikan tumpuan kepada pengembangan kepelbagaian produk dan perkhidmatan pasaran modal Islam seperti sekuriti hutang Islam, derivatif berasaskan ekuiti, indeks ekuiti dan dana terurus.

“Pasaran modal Islam merupakan “pasaran tertumpu” yang menyumbang kepada perluasan dan pendalaman sektor kewangan Islam Malaysia bersama-sama sistem perbankan Islam dan takaful,” kata Datuk Ali.

Beliau berkata bahawa beliau berpuas hati melihat pelaksanaan cadangan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) oleh Kerajaan yang menggalakkan kerajaan dan agensi kerajaan untuk menerbitkan sekuriti Islam global. Pada tahun 2002, kerajaan Malaysia menjadi negara pertama di dunia untuk menerbitkan bon Islam global, iaitu bon kedaulatan Islam kerajaan (Sukuk Kerajaan Malaysia – sijil amanah penyertaan sewa pajak) berjumlah AS$600 juta dan Sukuk Ijarah Guthrie berjumlah AS$150 juta.

Sukuk Kerajaan Malaysia mematuhi syarat-syarat Syariah di semua negara Islam utama dan menerima pengesahan Syariah oleh jawatankuasa pengawasan Syariah antarabangsa seperti Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM).

SC juga mengambil langkah secara aktif untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai pasaran modal Islam di peringkat temaptan dan antarabangsa. Ini termasuk Minggu Pasaran Modal Islam yang diadakan pada bulan Mac 2002, yang antara lain menekankan langkah seterusnya untuk mempromosikan pasaran modal Islam secara global, serta memberikan kefahaman tentang usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh golongan profesional Malaysia dalam bidang ini. Buku Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, yang pertama seumpamanya, juga turut dilancarkan dalam minggu tersebut.

Perundingan dan pembabitan dengan peserta pasaran

Datuk Ali berkata SC sentiasa mengambil pendekatan perundingan ke arah merumus dan melaksanakan strategi, polisi dan pengawalseliaan. Beliau berkata ahli CMAC dan pelbagai jawatankuasanya, pembabitan kerap bersama peserta industri dan mesyuarat rundingan berkala telah menyediakan saluran berguna bagi maklum balas serta cadangan kepada SC.

“SC, dalam mempertimbangkan perspektif pasaran dalam pembangunan polisinya, mengimbangi keperluan bercanggah yang kadang-kadang wujud antara pelbagai pemegang kepentingan. Fokus kita adalah untuk memastikan kepentingan awam yang lebih meluas bagi perlindungan pelabur dan integriti pasaran dipelihara.

Kita juga dipandu oleh keperluan untuk memastikan pasaran modal Malaysia kekal berdaya saing dan berkedudukan baik untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau.

Peningkatan kecekapan dan keberkesanan menyeluruh SC

Tahun 2002 juga menyaksikan SC memperhebatkan program transformasi organisasinya, yang dimulakan pada tahun 2001.

SC telah membentuk semula proses kerjanya untuk mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan, meminimumkan pertindihan fungsi dalam organisasi, memaksimumkan penggunaan sumber dan menyegerakan penghantaran keputusan kepada semua pemegang kepentingannya.

Ini merupakan laporan tahunan kesembilan SC sejak penubuhannya pada bulan Mac 1993. Laporan tahunan tersebut boleh didapati dalam bentuk bercetak dan elektronik di tapak web SC di pautan ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup