FIKRA ACE SC Pacu Inovasi Fintech Islam, Pertumbuhan untuk ICM

Permohonan global untuk program Accelerator dibuka hari ini

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 27 Jun 2023

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pelancaran FIKRA ACE, inisiatif fintech dalam membangunkan ekosistem pasaran modal Islam (ICM) dengan memudahcarakan pembangunan fintech Islam melalui pendekatan berstruktur.

FIKRA ACE merupakan inisiatif tiga tahun yang dipertingkatkan berikutan pelancaran program pemacu teknologi kewangan (fintech accelerator) Islam sulung
SC – FIKRA, pada Mei 2021.

Melalui pendekatan pemacu tunggal, FIKRA ACE kini terdiri daripada tiga komponen:
a) Accelerator yang merupakan program pemacu bertumpukan penyelesaian Islam;
b) Circle, platform rangkaian untuk menghubungkan pihak berkepentingan berkaitan pasaran modal Islam dan industri fintech dan;
c) Excel, platform kerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk pembinaan kapasiti

Inisiatif ini akan mengenal pasti syarikat dengan penyelesaian fintech untuk memupuk, mengembangkan dan berhubung dengan ekosistem ICM dalam pelbagai segmen. Inisiatif ini juga bertujuan untuk menyokong ruang fintech Islam dengan membina kapasiti dan saluran bakat untuk industri.

Bagi kohort 2023, tiga bidang tumpuan FIKRA ACE ialah kewangan sosial Islam, pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) patuh Syariah dan pengurusan dana dan kekayaan Islam.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata: "Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengekalkan ekosistem teknologi kewangan Islam yang berkembang maju dengan memanfaatkan kepimpinan globalnya dalam pasaran modal Islam."

“Ketika kita menyaksikan pertumbuhan dan inovasi yang luar biasa dalam fintech Islam, kita diingatkan tentang potensi yang dimilikinya untuk industri kewangan Islam dan ekonomi global yang lebih luas,” katanya.

Pada tahun 2021, urus niaga fintech Islam di negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berjumlah USD79 bilion. Walaupun ini mewakili 0.8% daripada volum transaksi fintech global, segmen ini diunjurkan berkembang kepada USD179 bilion menjelang tahun 2026, iaitu pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 17.9% .

FIKRA ACE dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai rakan kongsi ekosistem dan strategik. Program accelerator untuk kohort 2023 dijangka bermula pada bulan Ogos.

Syarikat dengan penyelesaian fintech yang inovatif dijemput untuk mengemukakan permohonan, yang dibuka sehingga 4 Ogos 2023.

Untuk maklumat lanjut mengenai komponen-komponen FIKRA ACE, sila layari https://www.sc.com.my/fikra-ace. Untuk pertanyaan, sila rujuk ke [email protected].


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup