Fintech Bantu Malaysia Pulih Dengan Lebih Baik

26 Oktober 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini berkata teknologi kewangan (fintech) boleh menjadi pemboleh utama dalam membina semula ekonomi Malaysia ketika negara pulih daripada impak pandemik. Pengawal selia tersebut juga berkata ia akan berusaha untuk memacu penggunaan keupayaan digital yang lebih luas untuk meningkatkan kecekapan pengumpulan modal dan meningkatkan penyertaan pelabur dalam pasaran modal.
Dalam ucapan pembukaannya di persidangan tahunan fintech SCxSC kelapan, Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar menekankan kepentingan teknologi dan fintech dalam membentuk ekosistem pasaran modal. “Teknologi sebenarnya merupakan salah satu teras utama Pelan Induk Pasaran Modal 3, di mana kami menjangkakan penggunaan keupayaan digital yang lebih meluas untuk memudahcarakan pengumpulan dana bagi semua jenis syarikat di samping menggalakkan inovasi pasaran dan keterangkuman kewangan.”

“Kita telah menyaksikan banyak perniagaan kecil terjejas teruk susulan impak pandemik di peringkat global. Tahun lalu, KDNK Perusahaan Kecil dan Sederhana susut sebanyak 7.3%, lebih rendah daripada KDNK Malaysia dan bukan PKS yang masing-masing menyusut sebanyak 5.6% dan 4.6%. Ini merupakan kali pertama KDNK PKS adalah lebih rendah daripada KDNK Malaysia,” menurut Datuk Syed Zaid.

Bagaimana pun, semasa pandemik, SC menyaksikan perkembangan yang menggalakkan di mana platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), terus memenuhi dan menyokong keperluan pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Setakat ini, terdapat 21 platform ECF dan P2P yang berdaftar dengan SC, yang secara kolektif telah mengumpul lebih RM2.2 bilion kepada hampir 4,000 PMKS sejak platform ini dimulakan. Walaupun pada awalnya terdapat pengurangan dalam aktiviti pengumpulan dana berikutan perintah kawalan pergerakan pada suku pertama 2020, SC menyatakan bahawa platform alternatif ini telah membantu PMKS mengumpul lebih RM1.3 bilion sejak April tahun lepas. Pada separuh tahun pertama 2021 sahaja, sebanyak RM625 juta telah dikumpulkan melalui ECF dan P2P, masing-masing meningkat sebanyak 151% dan 220%, berbanding tempoh yang sama pada 2020. ECF dan P2P menarik pelabur muda dengan hampir 60% peserta adalah berumur di bawah 35 tahun.

Bursa-bursa aset digital di Malaysia juga terus berkembang maju, dengan lebih 300,000 akaun baharu dibuka pada tahun ini. Sejak diperkenalkan pada 2019, jumlah aset digital yang didagangkan telah melepasi satu bilion, dengan nilai melebihi RM16 bilion pada September 2021.

Kemasukan baharu pengurusan pelaburan digital (DIM) juga telah menyumbang kepada pertumbuhan aset bawah pengurusan dalam pasaran modal. Sehingga Julai 2021, lapan pengendali DIM berlesen telah menyaksikan peningkatan sebanyak 90% dalam pembukaan akaun baharu berbanding 2020, dengan hampir 75% pemegang akaun berumur di bawah umur 35 tahun. Sementara itu, permintaan berterusan terhadap perkhidmatan pembrokeran dalam talian menghasilkan peningkatan sebanyak 35% dalam pembukaan akaun baharu dalam tempoh yang sama.

Persidangan fintech SCxSC merupakan acara utama SC untuk memacu perbincangan mengenai fintech dan pendigitan dalam pasaran modal. Buat pertama kalinya, acara 3 hari itu akan diadakan secara dwisiaran, yang membolehkan persidangan itu merangkumi lebih banyak topik dan isu untuk dibincangkan. Persidangan itu turut memperkenalkan 'Village of Solutions' yang akan mengetengahkan rangkaian penyelesaian daripada rakan-rakan acara dan pempamer SCxSC.

SCxSC 2021 akan bertumpu pada fintech Islam dan Regtech. "Kami percaya bahawa memupuk keupayaan digital kewangan Islam adalah penting untuk memacu pertumbuhan pelaburan Syariah dan menarik peserta baharu ke dalam pasaran modal Islam Malaysia," tambah Datuk Syed Zaid. Pada tahun ini, para peserta juga berpeluang untuk mengalami sendiri pameran FIKRA dan pelbagai penyelesaian yang ditawarkan. FIKRA, program pemacu fintech Islam pertama SC yang diterajui oleh pengawal selia tersebut, telah dilancarkan pada awal tahun ini untuk mengenal pasti dan mempertimbangkan penyelesaian fintech Islam yang berkaitan bagi menyokong pertumbuhan syarikat peringkat permulaan yang inovatif.

Antara lain, topik-topik yang dibincangkan di SCxSC termasuk kemunculan kewangan bersepadu, Token Tak Boleh Ditukar Ganti (non-fungible) (NFT) sebagai simpanan berharga masa depan dan pengkomputeran kuantum dalam kewangan.

SCxSC dikendalikan secara maya dari 26 hingga 28 Oktober 2021. Orang ramai boleh mendaftar secara percuma dan mengikuti siaran langsung di scxsc.my

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup