Garis panduan baru SC bagi meliberalisasikan keperluan penjanaan dana dan menggalakkan standard tata laku pasaran yang lebih tinggi

Kuala Lumpur, 31 Januari 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan satu set garis panduan baru dan semakan semula bagi mewujudkan persekitaran pasaran modal yang lebih berdaya saing melalui peliberalan keperluan penjanaan dana pada masa meningkatkan standard khidmat nasihat dan pelaksanaan ketekunan wajar di kalangan pengantara pasaran.

Garis panduan baru itu, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2008, ialah:

(i) Guidelines on the Offering of Equity and Equity-Linked Securities; (pdf - 550KB)
(ii) Guidelines on the Offering of Equity and Equity-Linked Securities for the MESDAQ Market; (pdf - 12MB)
(iii) Guidelines on Principal Advisers for Corporate Proposals (pdf - 2.48MB); dan
(iv) Guidelines on Due Diligence Conduct for Corporate Proposals. (pdf - 473KB)

Selain itu, Prospectus Guidelines telah disemak semula dengan meningkatkan keperluan penzahiran terhadap maklumat kewangan.

Garis panduan ini memberikan kesan kepada pakej dasar peliberalan yang diumumkan oleh Pengerusi SC, Dato’ Zarinah Anwar, pada 12 Disember 2007, bagi memudahcarakan pengembangan korporat dan meningkatkan lagi daya tarikan Malaysia sebagai destinasi penyenaraian yang digemari.

Peliberalan peraturan penjanaan dana

Bagi mengukuhkan kedudukan Bursa Malaysia sebagai sebuah platform penjanaan dana yang berdaya maju bagi syarikat domestik dan asing, garis panduan baru Guidelines on the Offering of Equity and Equity-Linked Securities dan Guidelines on the Offering of Equity and Equity-Linked Securities for the MESDAQ Market (Garis panduan Ekuiti) memperkenalkan beberapa langkah peliberalan yang ditanda aras mengikut amalan antarabangsa.

Garis panduan Ekuiti menggantikan Policies and Guidelines on Issue/Offer of Securities dan Guidelines for I nitial Public Offerings and Listings on the MESDAQ Market yang sedia ada .

Bawah Garis panduan Ekuiti, syarikat-syarikat yang memiliki aset/operasi berpangkalan asing kini tertakluk kepada kriteria penyenaraian yang sama yang diguna pakai terhadap syarikat-syarikat yang beroperasi secara domestik, manakala syarikat-syarikat pembangunan harta yang memohon untuk penyenaraian kini tidak lagi diperlukan mempunyai tanah bank minimum sebanyak 500 ekar.

Selain itu, pemerolehan aset penting yang digunakan bagi perniagaan teras syarikat berkenaan yang sedia ada, tidak lagi tertakluk kepada kelulusan SC kecuali pemerolehan tersebut dilakukan melalui penerbitan sekuriti, dan syarikat-syarikat yang tersenarai di MESDAQ kini dibenarkan melakukan pemerolehan dan ini menghasilkan perubahan penting dalam hala tuju perniagaan mereka.

Garis panduan Ekuiti juga menghapuskan keperluan mandatori bagi penyerahan unjuran kewangan, kecuali syarikat-syarikat tersenarai yang dalam keadaan tenat.

Bagi melengkapinya, Bab 13 Prospectus Guidelines yang sedia ada telah disemak semula bagi meningkatkan penzahiran kewangan yang diperlukan, terutamanya, skop dan takat Perbincangan dan Analisis Pengurusan (MD&A) terhadap prestasi kewangan dan prospek.

Antara lain, syarikat-syarikat kini perlu menyertakan dalam prospektus atau lain-lain dokumen tawaran mereka, analisis terperinci sejarah prestasi syarikat, termasuk sebab-sebab perubahan penting bagi setiap tahun, perbincangan mengenai faktor dan trend yang dijangka mempunyai kesan penting terhadap kedudukan kewangan syarikat, dan perbincangan mendalam mengenai hasil operasi, pencairan dan sumber-sumber modal syarikat.

Standard lebih tinggi perlakuan pasaran

Dengan peliberalan keperluan penjanaan modal, SC juga telah mengambil langkah memperkenalkan inisiatif perlindungan pelabur bagi menggalakkan standard tata laku lebih tinggi oleh di kalangan pengantara pasaran.

Bagi mengukuhkan lagi kualiti penasihat prinsipal di pasaran modal Malaysia, SC memperkenalkan Guidelines on Principal Advisers for Corporate Proposals (Garis panduan Penasihat) bagi merasionalkan pihak-pihak yang boleh bertindak sebagai penasihat prinsipal ketika membuat cadangan korporat kepada SC.

Garis panduan Penasihat ini mengenal pasti standard kecekapan yang diperlukan bagi penasihat prinsipal ketika berurusan dengan cadangan korporat yang melibatkan IPO di Bursa Malaysia, syarikat-syarikat tersenarai yang tenat dan pemerolehan penting atau pelupusan oleh syarikat-syarikat tersenarai.

SC juga memperkenalkan Guidelines on Due Diligence Conduct for Corporate Proposals (Garis panduan Ketekunan Wajar) yang menggariskan jangkaan SC terhadap penerbit, penasihat dan pakar dalam perlaksanaan ketekunan wajar mereka bagi memastikan pelabur boleh membuat keputusan pelaburan boleh ukur berdasarkan maklumat yang kukuh dan tepat.

Jelasnya, para penerbit, penasihat dan pakar mestilah memenuhi peranan mereka dengan penuh tanggungjawab dan harus dipertanggungjawabkan bagi penzahiran yang dibuat dalam cadangan korporat dan dokumen tawaran di pasaran modal Malaysia.

SC akan menganjurkan sesi taklimat bagi industri dan peserta pasaran modal yang relevan bagi memudahcarakan kelancaran peralihan dan kefahaman yang lebih baik terhadap dasar dan garis panduan terbaru ini.

Set lengkap garis panduan dan soalan lazim mengenainya boleh didapati di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup