Garis Panduan Baru SC Memudah Cara Peralihan kepada Pasca Penelitian Prospektus

Tingkat Proses Penjanaan Dana yang Efisien

Kuala Lumpur, 26 Oktober 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan garis panduan bagi memudahcarakan peralihan bagi rejim pendaftaran prospektus daripada pra-penelitian kepada pasca penelitian. Langkah ini dijangka akan mempercepat lagi pemprosesan cadangan korporat dan dapat meningkatkan lagi kecekapan keseluruhan proses penjanaan dana dalam pasaran modal Malaysia.

Pengenalan Garis Panduan Prospektus yang disemak semula oleh SC adalah sejajar dengan pengumuman mengenai peralihan kepada rejim pasca penelitian bagi pendaftaran prospektus oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, ketika ucapan Bajet 2006 pada 30 September 2005 lalu.

Langkah terkini ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk meliberalisasikan akses kepada pasaran modal dan akan mengurangkan dengan ketara masa yang diperlukan untuk mendaftar semua prospektus tawaran awam kepada 14 hari pasaran selepas prospektus yang lengkap untuk didaftarkan dikemukakan. Masa pemprosesan bagi prospektus ringkas, yang telah diproses berdasarkan pasca penelitian, kekal selama tujuh hari pasaran.

Garis Panduan yang disemak semula, Nota Amalan dan Prosedur berkenaan prospektus serta satu set soalan lazim (FAQ) yang mengandungi butiran mengenai langkah berkenaan dan pindaan boleh didapati di tapak web SC di sini.

Bagi memudahcarakan peralihan lancar kepada rejim pasca penelitian prospektus, SC telah mengadakan penerangan kepada pihak industri dan mengadakan rundingan bersama industri dan peserta pasaran modal, yang telah memberikan maklum balas bernilai dalam pengukuhan Garis Panduan tersebut.

Peralihan kepada rejim baru ini dapat dilaksanakan dengan standard profesionalisme yang semakin baik dalam pasaran, sejajar dengan permintaan bagi rejim pengawalseliaan berteraskan penzahiran yang dipertingkat yang menghendaki standard penzahiran, ketekunan wajar dan tadbir urus korporat yang lebih tinggi.

Peralihan ini juga merupakan satu kemajuan semula jadi dalam pembangunan pasaran modal, seperti yang terkandung dalam Pelan Induk Pasaran Modal, yang akan menyaksikan peralihan secara beransur kebertanggungjawaban terhadap disiplin pasaran kepada peserta pasaran modal, disokong oleh kemampuan para perantara dan penasihat yang meningkat.

Sebagai pelengkap kepada inisiatif ini bagi menggalakkan persekitaran yang lebih mesra perniagaan dan meningkatkan kecekapan pasaran, SC telah mempertingkat kawalannya melalui operasi pengawasan dan penguatkuasaan bagi memastikan para perantara penasihat memenuhi tanggungjawab mereka untuk melaksanakan ketekunan wajar dan memberikan penzahiran yang tepat pada masanya, mencukupi dan betul dalam prospektus.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup