Garis panduan baru SC untuk memberi lebih kefleksibelan kepada pengurus dana
18 February 2009   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini memperkenalkan Garis panduan Mengenai Dana Borong (Wholesale Funds Guidelines) yang memberikan kefleksibelan yang lebih besar bagi pengurus dana berlesen untuk menyediakan produk inovatif, termasuk yang mengandungi strategi pelaburan alternatif.

Garis panduan baru ini menggantikan Garis panduan Mengenai Skim Pelaburan Terhad dan peruntukan terhadap dana borong dalam Garis panduan Mengenai Dana Unit Amanah (Garis panduan UTF), yang telah dirasionalisasikan dan diperkemas bagi menjadikannya lebih mudah bagi pengurus dana untuk menawarkan produk-produk borong dan runcit.

Dengan pengenalan Garis panduan Dana Borong, pengurus dana kini hanya perlu merujuk kepada satu set garis panduan sahaja bagi produk borong; manakala syarikat pengurusan unit amanah perlu merujuk kepada Garis panduan UTF bagi produk runcit.

Garis panduan Dana Borong diwujudkan bagi membolehkan pengurus dana memenuhi keperluan pelabur sofistikated dan profesional yang lebih kompleks, seperti pelabur bernilai bersih tinggi dan pelabur institusi.

Memandangkan dana borong hanya boleh ditawarkan kepada pelabur yang layak sahaja dan bukan kepada orang ramai, Garis Panduan Dana Borong tidak menggariskan sebarang keperluan kuantitatif atau pengehadan terhadap pelaburan dana tersebut.

Selain itu, kefleksibelan baru telah diperkenalkan dalam Garis panduan Dana Borong ini. Ini termasuklah mengurangkan sekatan ke atas keumpilan; mengembangkan senarai pelabur yang layak; memansuhkan had terhadap bilangan pelabur, dan melonggarkan keperluan pentadbiran tertentu.

Bagi menjaga kepentingan pelabur, peruntukan terhadap penzahiran memorandum maklumat dan pelaporan kepada pelabur telah dipertingkatkan. Pengurus dana dikehendaki menyediakan penzahiran yang jelas kepada pelabur dan mematuhi keperluan kandungan minimum memorandum maklumat. Kekerapan pelaporan kepada pelabur juga telah dinaikkan kepada suku tahunan daripada secara tahunan sebelum ini.

Selain itu, pengurus dana yang menguruskan dana Islam borong mesti mematuhi Garis panduan Mengenai Pengurusan Dana Islam dan resolusi Majlis Penasihat Syariah SC.

SC juga telah meminda Garis panduan UTF bagi memansuhkan semua peruntukan berkaitan dengan dana borong, dan bagi menyediakan penjelasan lanjut dan lebih kefleksibelan terhadap peraturan tertentu. Pindaan ini termasuklah membenarkan pengurus dana menggunakan kontrak niaga hadapan bagi tujuan perlindungan nilai; meletakkan deposit dengan, dan meminjam daripada, institusi kewangan asing bagi memperbaiki kecekapan yang berkaitan dengan pelaburan asing; dan memperoleh kemudahan penyambung jangka pendek bagi tujuan penyelesaian dagangan.

Selain itu, Garis panduan UTF telah dipinda bagi memasukkan peruntukan terhadap tadbir urus korporat; memudahcarakan pembaikan dalam pendaftaran dan penyerahan surat ikatan; dan meminta laporan bulanan kepada SC.

Garis panduan Dana Borong yang berkuat kuasa pada 18 Februari 2009, dan pindaan kepada Garis panduan UTF, boleh didapati di sini.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup