Garis Panduan Mengenai Fungsi Pematuhan bagi Pengurus Dana Diperkenal untuk Memperkukuh Lagi Perlindungan Pelabur

Kuala Lumpur, 15 Mac 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini memperkenalkan garis panduan pematuhan bagi pengurus dana untuk memperkukuh lagi tahap perlindungan pelabur. Garis panduan ini telah diusahakan oleh satu kumpulan kerja bersama yang terdiri daripada Persatuan Pengurus Aset Malaysia (MAAM) dan SC dan ia dirumus selepas mendapat sejumlah besar input daripada ahli MAAM serta melalui perundingan bersama industri.

Pengenalan Garis panduan bertajuk " Guidelines on Compliance Function for Fund Managers " menyokong inisiatif strategik Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) bagi memastikan perkhidmatan perantaraan Malaysia adalah berteraskan standard berhemah yang sesuai, dengan tahap tatacara urusan dan kemahiran profesional yang tinggi.

Garis panduan tersebut melengkapi keperluan kawal selia sedia ada dan menunjukkan kemajuan yang ketara dalam usaha untuk mewujudkan kebergantungan yang lebih besar terhadap mekanisme disiplin yang berasaskan pasaran yang bersesuaian dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Usaha ini adalah konsisten dengan peralihan ke arah sistem kawal selia aktiviti pasaran modal berasaskan pasaran yang disasarkan dalam CMP.

Secara amnya, garis panduan tersebut menghendaki pengurus dana agar patuh kepada amalan terbaik bagi pengurusan dagangan dan portfolio, pelaporan kepada pelanggan, melindungi aset pelanggan (termasuk pelantikan kustodian) dan menentukan amalan terbaik bagi memenuhi tanggungjawab "mengenali pelanggan anda" serta peranan dan tanggungjawab Lembaga Pengarah dan Pegawai Pematuhan. Garis panduan tersebut juga menyatakan keperluan bagi pematuhan dengan Akta Penggubahan Wang Haram 2001.

Pengenalan garis panduan ini akan membantu pengurus dana dalam usaha mereka untuk memperkukuh lagi kawalan dalaman dan meningkatkan standard keseluruhan tatacara beretika dan berhati-hati dalam industri pengurusan pelaburan. Usaha oleh pihak industri ini akan menyumbang ke arah mempertingkat perlindungan pelabur dan menggalakkan tahap integriti pasaran.

Semua pengurus dana adalah diberikan tempoh tangguh selama setahun dari tarikh pengumuman untuk mematuhi keperluan " - Guidelines on Compliance Function for Fund Managers" . Garis panduan tersebut boleh didapati di tapak web SC di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup