Garis Panduan REITS akan Galak Pertumbuhan Industri Pelaburan Hartanah

Kuala Lumpur, 3 Januari 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Amanah Pelaburan Hartanah (Guidelines on Real Estate Investment Trusts - REITS) (Garis Panduan) dalam usaha untuk menggalakkan pertumbuhan dan mewujudkan industri amanah pelaburan hartanah yang berdaya maju dan kompetitif di Malaysia.

Garis panduan tersebut menggantikan Garis Panduan Tabung Amanah Hartanah (Guidelines on Property Trust Funds) sebelum ini yang diterbitkan pada 13 November 2002. Garis panduan tersebut kini boleh didapati di sini dan akan berkuat kuasa mulai 3 Januari 2005.

Penjenamaan semula tabung amanah hartanah kepada amanah pelaburan hartanah atau REIT, iaitu istilah sejagat yang diterima pakai bagi diskripsi tabung yang melabur terutamanya dalam hartanah, akan mempertingkat posisi industri pengurusan pelaburan Malaysia ke tahap global.

Ciri-ciri utama berkenaan Garis panduan REITS tersebut termasuk liberalisasi had pinjaman bagi REIT, kelonggaran ke atas perolehan hartanah pegangan pajakan serta kelonggaran kepada perolehan hartanah yang dicagar kepada institusi kewangan.

Seterusnya, sejajar dengan saranan Pelan Induk Pasaran Modal supaya mewujudkan rangka kerja kawal selia yang seragam bagi industri pengurusan dana, syarat kelayakan bagi syarikat pengurusan yang mengurus REIT, termasuk skop perniagaan dan penglibatan ekuiti asing, telah diperkemas supaya ianya konsisten dengan keperluan bagi syarikat pengurusan yang mengurus unit amanah.

Di samping itu, SC juga kini mengguna pakai pendekatan pengisytiharan dalam penyeliaan penubuhan REITS, sejajar dengan pendekatan yang diambil bagi tabung unit amanah sejak bulan April 2003. Tanggungjawab untuk memastikan pematuhan terletak kepada peserta industri dan pengarah/penganjur mereka. Pengisytiharan pematuhan terhadap undang-undang dan garis panduan pengawalseliaan mesti dikemukakan kepada SC.

SC juga telah mempertingkat tahap penzahiran dan pelaporan yang diperlukan oleh sesebuah REIT bagi memastikan penzahiran maklumat yang lengkap dan bertepatan masa kepada para pelabur. Di samping itu, keperluan dan prosedur pengemukaan cadangan juga telah dipinda untuk mempercepat proses membuat keputusan, dan akhirnya akan memperbaiki kecekapan dalam penjanaan dana bagi sesebuah REIT.

Garis panduan yang dipinda bertujuan untuk menarik penyertaan baru dan mempertingkat kesedaran di kalangan peserta industri tempatan dan pemilik/pemaju hartanah mengenai kelebihan pengwujudan sesebuah REIT. Industri REIT yang aktif, berdaya maju dan kompetitif akan memberikan pelabur peluang pelaburan alternatif dan dijangka akan turut meningkatkan kecairan pasaran hartanah tempatan.

Langkah terkini tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk memudahcarakan pembangunan seterusnya bagi industri pengurusan pelaburan dan pada yang sama melengkapi aspirasi Kerajaan untuk mempertingkat sumbangan ekonomi sektor hartanah negara, sebagaimana yang dibuktikan dengan insentif percukaian yang diperuntukkan semasa Belanjawan 2004 dan 2005 lalu.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup