Garis Panduan SC bagi Memudahcarakan Permohonan Insentif Pencukaian Industri Modal Teroka

Kuala Lumpur, 28 Ogos 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan garis panduan bagi membantu pihak yang memohon bagi pengesahan tahunan, yang mesti diperolehi daripada SC untuk mendapatkan insentif pencukaian yang disediakan oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2000 dan 2001 bagi menggalakkan pertumbuhan industri modal teroka.

Kerajaan, dalam jangka panjang untuk menyediakan Malaysia ke arah mencapai status negara maju, telah mengenal pasti industri modal teroka, serta bidang lain seperti K-ekonomi dan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sebagai sektor pertumbuhan baru untuk mempelopori pertumbuhan ekonomi negara. Bagi industri modal teroka, insentif pencukaian tambahan telah disediakan untuk menggalakkan pertumbuhannya.

Bagi memudahcarakan pentadbiran dan permohonan insentif pencukaian yang berkaitan dengan industri modal teroka, Kerajaan telah memberi mandat kepada SC untuk berperanan memastikan pemohon mematuhi syarat-syarat yang diperlukan.

"Garis Panduan Pengesahan Tahunan bagi Insentif Pencukaian untuk Industri Modal Teroka" (Garis Panduan Pengesahan) akan membantu pihak yang memohon bagi pengesahan daripada SC bagi insentif pencukaian berikut -

" Pengecualian Cukai bagi syarikat modal teroka (VCC) apabila memenuhi syarat berkaitan bawah Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian)(No.3) 2001. Insentif pencukaian ini berkuat kuasa dari tahun penilaian 2000 bagi tempoh asas berakhir pada tahun 2000.

" Potongan Cukai bagi individu atau syarikat yang melabur dalam syarikat teroka apabila memenuhi syarat berkaitan bawah Peraturan Cukai Pendapatan (Potongan bagi Pelaburan dalam Syarikat Teroka) 2001. Insentif pencukaian ini berkuat kuasa dari tahun penilaian 2001.

Pemohon dinasihatkan untuk merujuk dan memahami kandungan dan syarat-syarat Garis Panduan Pengesahan tersebut sebelum membuat apa-apa permohonan bagi pengesahan tahunan kepada SC.

Garis Panduan Pengesahan dan borang permohonan boleh didapati di sini. Satu set soalan lazim yang juga disediakan di laman web SC sebagai rujukan berguna kepada para pemohon.

Garis Panduan Pengesahan tersebut dirumus oleh SC melalui perundingan dengan Persatuan Modal Teroka Malaysia, Bahagian Analisis Pencukaian Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta para pengamal industri modal teroka.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup