Garispanduan Tawaran Awam Sekuriti Syarikat-Syarikat Yang Beroperasi Di Negara Asing dengan Penyenaraian dan Sebutharga di Bursa Saham Kuala Lumpur

Kuala Lumpur, 1 April 1997

Sehubungan dengan pengumuman YAB Menteri Kewangan pada Ogos 1996 membenarkan syarikat-syarikat asing membuat permohonan untuk penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur, Suruhanjaya Sekuriti dengan sukacitanya mengumumkan Garispanduan Tawaran Awam Sekuriti Syarikat-Syarikat Yang Beroperasi Di Negara Asing dengan Penyenaraian dan Sebutharga di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Langkah-langkah yang diambil bagi menggalakkan penyenaraian syarikat-syarikat asing di Bursa Saham Kuala Lumpur adalah sejajar dengan objektif untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai suatu pusat kewangan serantau. Ia juga akan menggalakkan pembangunan sektor perkhidmatan kewangan di Malaysia, dan seterusnya menyumbang kepada objektif dan komitmen Kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan sektor perkhidmatan dalam ekonomi negara.

Pada fasa pertama, hanya syarikat-syarikat yang beroperasi di negara asing yang sebahagian besar ekuitinya dimiliki oleh warganegara Malaysia dibenarkan untuk disenaraikan di bawah garispanduan ini. Skop syarikat-syarikat asing yang boleh disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat pada masa yang sesuai. Hanya penyenaraian syarikat-syarikat asing yang berkualiti sahaja akan diberi pertimbangan. Penyenaraian tersebut juga hendaklah sejajar dengan objektif Kerajaan dan kepentingan ekonomi negara. Penyenaraian adalah dalam matawang ringgit dan seharusnya merupakan penyenaraian utama (primary listing). Ia juga mesti mampu memenuhi amalan penzahiran seperti yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur.

Keperluan pegangan ekuiti Bumiputera yang khas dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang beroperasi di negara asing. Tahap pegangan ekuiti Bumiputera adalah berdasarkan pada peratusan daripada tebaran pegangan saham awam, yang mana akan diperuntukkan oleh agensi-agensi yang berkenaan. Walau bagaimanapun, aset syarikat yang berada di Malaysia dikehendaki mematuhi keperluan yang sedia ada.

Garispanduan ini dirumus setelah mengambilkira perbincangan dengan berbagai badan penguasa dan industri.

GARISPANDUAN
Jenis syarikat

Pemohon mestilah merupakan syarikat awam yang diperbadankan di Malaysia atau di bidang kuasa selain daripada Malaysia. Pemohon mestilah mempunyai kepentingan milikan warganegara Malaysia yang besar, dan juga mempunyai sebahagian besar daripada aset dan operasinya di luar Malaysia. Pemohon juga hanya boleh memohon untuk penyenaraian utama di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Pemohon dianggap mempunyai tahap "kepentingan milikan warganegara Malaysia yang besar" di mana:

  1. lebih daripada 50% modal terbitan dan berbayar syarikat dipegang oleh pemegang-pemegang saham warganegara Malaysia yang bermastautin di Malaysia, dan mempunyai kuasa pengurusan syarikat; atau
  2. pemegang saham terbesar syarikat adalah warganegara Malaysia yang bermastautin di Malaysia dan mempunyai kuasa pengurusan, dan pemegang saham terbesar ini memiliki tidak kurang daripada 33% modal terbitan dan berbayar syarikat,

ketika syarikat membuat permohonan untuk menawarkan sekuritinya di bawah garispanduan ini.

Pemohon dianggap "mempunyai sebahagian besar daripada aset dan operasinya di luar Malaysia" di mana:

  1. lebih daripada 50% jumlah aset ketara syarikat bertempat di luar Malaysia berdasarkan akaun yang telah di audit bagi setiap daripada tiga tahun kewangan yang terakhir;
  2. keuntungan selepas cukai syarikat yang diperolehi daripada aset atau operasi di luar Malaysia melebihi 50% daripada jumlah keuntungan selepas cukai berdasarkan akaun yang telah diaudit bagi tahun kewangan yang terkini; dan
  3. jumlah keseluruhan keuntungan selepas cukai syarikat yang diperolehi daripada aset atau operasi di luar Malaysia bagi tiga tahun kewangan yang terakhir melebihi 50% daripada jumlah keseluruhan keuntungan selepas cukai berdasarkan akaun yang telah diaudit bagi jangka waktu yang sama,

ketika syarikat membuat permohonan untuk menawarkan sekuritinya di bawah garispanduan ini.

Modal berbayar minima
Pemohon mesti memenuhi keperluan yang sama seperti yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur. Pemohon mesti mempunyai modal terbitan dan berbayar yang tidak kurang daripada RM50 juta atau jumlah setara dalam matawang asing.

Rekod keuntungan minima
Pemohon mesti mempunyai salah satu daripada berikut:-
  1. rekod keuntungan selama tiga tahun dan memperolehi jumlah keseluruhan keuntungan selepas cukai tidak kurang daripada RM25 juta atau jumlah setara dalam matawang asing bagi tiga tahun yang terakhir. Di samping itu, Pemohon juga mesti memperolehi keuntungan selepas cukai tidak kurang daripada RM4 juta atau jumlah setara dalam matawang asing bagi setiap tahun untuk tiga tahun yang terakhir; atau
  2. rekod keuntungan selama lima tahun dan memperolehi jumlah keseluruhan keuntungan selepas cukai tidak kurang daripada RM25 juta atau jumlah setara dalam matawang asing bagi lima tahun yang terakhir. Di samping itu, Pemohon juga mesti memperolehi keuntungan selepas cukai tidak kurang daripada RM2 juta atau jumlah setara dalam matawang asing bagi setiap tahun untuk lima tahun yang terakhir.

Tebaran pegangan saham
Syarat yang sama yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat asing.

Penganjur
Penganjur-penganjur Pemohon yang berwarganegara Malaysia dikehendaki mempunyai kuasa pengurusan dan memiliki tidak kurang daripada 33% modal terbitan dan berbayar Pemohon ketika disenaraikan. Semua para penganjur akan dikenakan halangan (moratorium) selama satu tahun ke atas kesemua pegangan ekuiti mereka, bermula dari tarikh penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur. Berikutnya, para penganjur tersebut boleh menjual sehingga tahap maksima 50% setiap tahun, mengikut asas lurus (straight line basis), daripada pegangan ekuiti mereka ketika disenaraikan.

Piawaian perakaunan
Pemohon yang diperbadankan di bidang kuasa selain daripada Malaysia mesti menyediakan penyata dan lapuran kewangan mengikut piawaian perakaunan yang dibenarkan di Malaysia atau Piawaian Perakaunan Antarabangsa (International Accounting Standards). Akauntan profesional tempatan mesti mengesahkan sama ada lapuran kewangan yang telah disiapkan oleh Pemohon memenuhi Piawaian Perakaunan Antarabangsa atau Piawaian Perakaunan Malaysia (Malaysian Accounting Standards).

Suruhanjaya Sekuriti juga mungkin akan menerima piawaian perakaunan yang digunakan di negara di mana Pemohon diperbadankan, tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat, di mana akauntan yang melapor (reporting accountant) perlu menyediakan satu ringkasan yang akan menekankan perbezaan yang ketara di antara akaun Pemohon dan akaun yang disediakan mengikut piawaian perakaunan yang dibenarkan di Malaysia. Akauntan yang melapor perlu juga menyediakan satu penyelarasan (reconciliation) bagi keuntungan selepas cukai dan dana pemegang saham (shareholders' funds) sebagaimana yang dilaporkan di dalam penyata kewangan Pemohon yang telah diaudit, sekiranya menggunakan piawaian perakaunan yang dibenarkan di Malaysia.

Penzahiran tambahan
Garispanduan ini juga mengandungi keperluan penzahiran tambahan bagi syarikat-syarikat yang beroperasi di negara asing, memandangkan akan wujudnya pertimbangan khusus dan risiko-risiko bagi syarikat-syarikat sedemikian oleh kerana ia tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berbeza daripada keadaan yang wujud di Malaysia. Pemohon yang diperbadankan di bidang kuasa selain daripada Malaysia mesti memberi maklumat yang mencukupi kepada Suruhanjaya Sekuriti bagi membolehkan Suruhanjaya Sekuriti menentukan sama ada bidang kuasa itu mempunyai amalan yang setara dengan Malaysia dari segi pentadbiran syarikat (corporate governance), perlindungan pemegang saham dan hak minoriti (shareholder and minority interests protection), amalan penzahiran (disclosure standards), dan peraturan pengambilalihan dan percantuman (regulations of take-over and mergers).

Lain-lain kriteria
Pemohon mesti menubuhkan satu pejabat pendaftaran saham atau pemindahan saham di Malaysia. Pemohon juga mesti didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat seperti yang termaktub di bawah Penggal 2 Bahagian XI Akta Syarikat 1965.

Tarikh berkuatkuasa
Garispanduan ini berkuatkuasa serta merta.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diterbitkan oleh Unit Hal Ehwal Korporat. Untuk keterangan lanjut sila hubungi Izelan Basar (Tel: 03-2507511), Nafizah Omar (Tel: 03-2527550) atau Karen De Cruz (Tel: 03-2597164)
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup