Halangan ke atas Penggunaan Hasil Kutipan daripada Terbitan Sekuriti Hutang Persendirian Dilonggarkan

Kuala Lumpur, 23 Oktober 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan, bagi pihak Jawatankuasa Pasaran Bon Kebangsaan (NBMC), kelonggaran beberapa halangan ke atas penggunaan hasil kutipan daripada terbitan sekuriti hutang persendirian (PDS). Ini adalah sejajar dengan kelonggaran halangan peminjaman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Halangan-halangan ke atas penggunaan hasil kutipan daripada terbitan PDS telah dikumpulkan ke dalam "Senarai Negatif NBMC". Senarai Negatif NBMC terkini, yang mengandungi kelonggaran yang disebutkan adalah seperti yang dilampirkan (Lampiran 1). Senarai Negatif NBMC yang pertama telah diterbitkan pada 30 Jun 2000.

Hasil kutipan daripada terbitan PDS sekarang boleh digunakan untuk membiaya pembangunan hartanah kediaman dan rumah kedai berharga lebih daripada RM250,000 setiap unit dengan syarat harga lebihan tersebut adalah disebabkan oleh kawasan tanah tambahan (seperti unit tepi atau hujung).

Juga, bagi pembangunan hartanah kediaman yang berharga melebihi RM250,000 setiap unit dan juga hotel baru, tempat peranginan, bangunan pejabat, padang golf, kelab-kelab dan kompleks membeli-belah, hasil kutipan daripada terbitan PDS boleh digunakan untuk:

membiaya hartanah tersebut jika pembinaan telah bermula; dan
membiaya semula hartanah tersebut di mana kelulusan bagi pinjaman telah diberikan.
Syarikat-syarikat juga sekarang boleh menggunakan dana yang dikumpulkan melalui terbitan PDS bagi pembangunan beberapa jenis hartanah tertentu di Putrajaya, Cyberjaya dan Taman Teknologi Kulim.

Bagi syarikat yang dikawal oleh bukan penduduk tetap (NRCC), halangan tambahan mungkin dikenakan sebagaimana yang tertera dalam Garis Panduan Sekuriti Hutang Persendirian Pengawal Tukaran Asing (CFE). Satu set jawapan kepada soalan-soalan lazim (FAQs) telah disediakan bagi memberikan penerangan lanjut mengenai perkara tersebut (Lampiran 2).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Lampiran 1
Senarai Negatif Jawatankuasa Pasaran Bon Kebangsaan (NBMC)


Dana yang dikumpul daripada terbitan debentur di Malaysia tidak boleh digunakan oleh syarikat yang menerbitkannya dalam apa-apa keadaan sekalipun, samada ia adalah syarikat yang dikawal oleh penduduk tetap atau bukan penduduk tetap, bagi tujuan-tujuan berikut:
1. (a) Pembangunan hartanah berikut:
(i) Hartanah kediaman dan rumah kedai di mana setiap satu unit berharga lebih daripada RM250,000, kecuali pembangunan tersebut terletak di Sabah dan Sarawak; dan
(ii) Hotel baru, tempat peranginan, bangunan pejabat, padang golf, kelab-kelab dan kompleks membeli-belah.
(b) Di mana pembangunan yang melibatkan hartanah yang bercampur, hasil kutipan daripada terbitan debentur mesti digunakan untuk membiaya pembangunan hartanah selain daripada yang tertera dalam perenggan 1(a).
(c) Pembelian tanah bagi tujuan membangun hartanah yang tertera dalam perenggan 1(a).
2. Walau bagaimanapun, pembiayaan bagi tujuan-tujuan berikut adalah dikecualikan daripada halangan yang dikenakan ke atas hartanah yang tertera dalam perenggan 1(a):
(i) Pembangunan hartanah kediaman dan rumah kedai yang berharga melebihi RM250,000 setiap unit di mana harga melebihi RM250,000 adalah disebabkan oleh kawasan tanah tambahan seperti unit tepi atau hujung;
(ii) Pembangunan hartanah kediaman, rumah kedai dan bangunan pejabat di Putrajaya dan Cyberjaya; dan
(iii) Pembangunan hartanah kediaman, pejabat kedai, bangunan komersial, kompleks membeli-belah dan hotel di Taman Teknologi Kulim.
(iv) Pembiayaan hartanah yang diterangkan dalam perenggan 1(a) di mana pembinaan telah bermula, bagi syarikat yang dikawal oleh penduduk tetap sahaja;
(v) Pembiayaan semula hartanah yang diterangkan dalam perenggan 1(a) di mana kelulusan bagi pinjaman telah diberikan, bagi syarikat yang dikawal oleh penduduk tetap sahaja;
3. Bagi syarikat yang dikawal oleh bukan penduduk tetap (NRCC), halangan tambahan mungkin dikenakan sebagaimana yang tertera dalam Garis Panduan Sekuriti Hutang Persendirian Pengawal Tukaran Asing.

Lampiran 2
Soalan-Soalan Lazim

1. Kenapa NBMC mengehadkan penggunaan hasil kutipan daripada terbitan bon dalam aktiviti tertentu?
Halangan-halangan ini sebagaimana yang telah ditetapkan oleh NBMC adalah bagi memastikan penggunaan hasil kutipan bon adalah konsisten dengan objektif ekonomi makro negara yang sedia ada dan polisi Bank Negara Malaysia mengenai peminjaman bank yang telah dikuatkuasakan sejak Januari 1999. Polisi yang sedia ada ini adalah bertujuan untuk menangani keadaan terlebih penawaran dalam beberapa bahagian sektor hartanah.
2. Apakah pengehadan-pengehadan ini?
Ia dinyatakan di Lampiran 1 (iaitu Senarai Negatif NMBC)
3. Adakah terdapat halangan tambahan dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang dikawal oleh bukan penduduk tetap (NRCCs)?
Terdapat halangan tambahan yang dikenakan oleh Pengawal Tukaran Asing (CFE) yang konsisten dengan polisi kawalan tukaran asing sedia ada. Halangan-halangan ini terkandung dalam Garis Panduan Sekuriti Hutang Persendirian CFE.
4. Bolehkah hasil kutipan sesuatu terbitan bon digunakan untuk pelaburan di luar negara atau untuk membiaya semula pinjaman luar pesisir yang sedia ada?
Semua syarikat yang dikawal bukan penduduk tetap (NRCCs) dan syarikat yang dikawal penduduk tetap (RCCs) memerlukan kebenaran Pengawal Tukaran Asing (CFE) untuk menggunakan hasil kutipan bagi pelaburan di luar negara atau untuk membiaya semula pinjaman luar pesisir.
5. Jika sebuah syarikat sekarang ini mempunyai sebuah kompleks komersial dan ingin membiaya semula pinjaman yang sedia ada dengan menggunakan hasil kutipan daripada terbitan bon baru, bolehkah syarikat tersebut berbuat demikian?
Ya. Senarai negatif NBMC hanya bertujuan mengehadkan penyediaan pembiayaan penyambung bagi pembangunan baru segmen hartanah tertentu termasuk kompleks-kompleks komersial. Oleh itu, di bawah perenggan 2(v) senarai negatif NBMC, pembiayaan semula hartanah tersebut adalah dikecualikan daripada halangan. Pengecualian tersebut adalah hanya bagi syarikat yang dikawal penduduk tetap. Sesebuah syarikat yang dikawal bukan penduduk tetap (NRCC) memerlukan kebenaran Pengawal Tukaran Asing bagi pembiayaan semula ini.
6. Jika sebuah syarikat sekarang ini mempunyai sebuah hotel dan ingin mengumpul dana melalui satu terbitan bon bagi memperbaharui/ meningkatkan taraf hotel, bolehkan ia berbuat demikian?
Senarai Negatif NBMC diperkenalkan bertujuan menangani peningkatan dalam penawaran dalam segmen tertentu hartanah yang termasuk pembangunan hotel-hotel baru. Oleh itu, sekiranya proses pembaharuan semula atau peningkatan taraf tidak menyumbang kepada pengwujudan lebih banyak bilik hotel, bon yang diterbitkan bagi tujuan tersebut tidak termasuk dalam Senarai Negatif NBMC. Syarikat hotel berkenaan hendaklah sentiasa memastikan bahawa kerja pembaharuan tersebut tidak melanggar halangan keseluruhan dalam senarai NBMC yang tertera dalam perenggan 1(a) Lampiran 1.
7. Sebuah syarikat sekarang ini memiliki sebuah hotel yang agak lama dan ingin merobohkannya untuk membina sebuah hotel baru. Syarikat tersebut sekarang memohon untuk mengumpul dana melalui satu terbitan bon untuk membina hotel baru tersebut. Bolehkah ia berbuat demikian?
Perobohan sesebuah hotel lama bagi pembinaan sebuah hotel baru bercanggah dengan objektif Senarai Negatif NBMC untuk menangani penawaran hartanah hotel. Oleh itu, pembiayaan bon sedemikian adalah tidak dibenarkan.
8. Jika sesebuah syarikat memohon untuk membina blok kondominium berharga lebih RM250,000 setiap unit dengan sebuah jalan tol baru kepadanya di bawah satu konsesi yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan, bolehkah syarikat tersebut menggunakan hasil kutipan daripada terbitan bon tersebut untuk membiaya pembangunan keseluruhan?
Disebabkan oleh pembangunan bercampur yang diterangkan di atas, hasil kutipan daripada terbitan debentur tidak boleh disalurkan untuk membiaya pembangunan hartanah yang dihadkan oleh Senarai Negatif NBMC seperti pembangunan blok kondominium yang berharga lebih RM250,000 setiap unit. Oleh itu, hasil kutipan daripada terbitan bon hanya boleh digunakan untuk membiaya pembangunan jalan tol baru konsesi yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
9. Jika sesebuah syarikat mengumpul dana daripada satu terbitan bon membeli tanah untuk tujuan membina sebuah hotel atau kompleks membeli-belah, bolehkah ia berbuat demikian?
Pembelian tanah bagi tujuan membangun hartanah yang dihadkan oleh Senarai Negatif NBMC termasuk hotel dan kompleks membeli-belah adalah tidak dibenarkan oleh NBMC. Sekiranya tanah tersebut dibeli dengan tujuan membina sebuah universiti (sebagai contoh) di atasnya, dana daripada sesuatu terbitan bon dibenarkan untuk digunakan tujuan tersebut.
10. Bolehkan hasil kutipan daripada sesuatu terbitan bon digunakan untuk membina sebuah dewan pameran atau persidangan?
Dewan pameran atau persidangan tidak termasuk dalam mana-mana kategori hartanah yang dihadkan oleh NBMC bagi pembiayaan bon dan oleh itu, ia adalah dibenarkan.
11. Bolehkah hasil kutipan daripada sesuatu terbitan bon digunakan untuk membina sebuah pasar raya besar?
Sesebuah pasar raya besar yang menyediakan pelbagai barangan pengguna termasuk dalam kategori "kompleks membeli-belah" di bawah Senarai Negatif NBMC. Terbitan bon bagi tujuan tersebut oleh itu, adalah tidak dibenarkan.
12. Bolehkan sebuah syarikat di Malaysia mengumpul dana melalui satu terbitan bon untuk membeli tanah bagi bank tanahnya?
Kecuali dapat ditunjukkan bahawa bank tanah tersebut diperoleh bagi pembangunan hartanah yang tidak dihadkan dalam Senarai Negatif NBMC, syarikat hartanah tersebut adalah tidak dibenarkan untuk menerbitkan bon untuk membiaya pembelian tanah.
13. Ketika terbitan debentur, penggunaan hasil kutipan yang dinyatakan tidak termasuk dalam Senarai Negatif NMBC. Tetapi, setahun kemudian, oleh kerana perubahan kepada Senarai Negatif tersebut, penggunaan hasil kutipan telah tidak dibenarkan di bawah Senarai Negatif NBMC. Bolehkah syarikat tersebut menggunakan hasil kutipan daripada terbitan bon untuk tujuan yang dinyatakan?
Syarikat tersebut akan dibenarkan untuk terus menggunakan hasil kutipan daripada terbitan bon untuk tujuan yang dinyatakan walaupun tujuan tersebut termasuk dalam Senarai Negatif NBMC.
14. Senarai Negatif NBMC, sebagai satu pengecualian, membenarkan penggunaan hasil kutipan bon untuk pembiayaan hartanah di mana pembinaan telah bermula. Bilakah pembinaan dianggap sebagai "telah bermula". Sekiranya sesuatu debentur diterbitkan untuk mengumpul dana bagi pembangunan sebuah kompleks membeli-belah, di mana pemaju telah memulakan kerja-kerja tanah di tapak pembinaan, adakah ini dibenarkan?
Tidak. Secara umumnya, pembinaan akan dianggap telah bermula apabila pembangunan struktur fizikal di tapak pembinaan telah bermula (sebagai contoh - kerja-kerja membina asas/memantak tiang).
Pengecualian adalah hanya kepada syarikat yang dikawal penduduk tetap. Sesebuah syarikat yang dikawal bukan penduduk tetap (NRCC) memerlukan kebenaran Pengawal Tukaran Asing bagi sesuatu pengecualian.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup