Individu Lelaki Dikenakan Pertuduhan kerana Bersubahat dengan Bekas MD Multi-Code berkenaan Penipuan Sekuriti
Mahkamah Sesyen KL tidak membenarkan Daniel Wong diikat jamin

siaran akhbar

Kuala Lumpur, 9 Mei 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Wong Jit Kiang (Daniel Wong) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat dengan mendiang Toh Chun Toh Gordon (Toh) dalam penipuan Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad (Multi-Code) berjumlah RM17.6 juta pada tahun 2007.

Daniel Wong telah melarikan diri selama 15 tahun walaupun banyak usaha untuk mengesannya telah dilakukan dan dua waran tangkap berasingan dikeluarkan terhadapnya pada tahun 2009 dan 2019.

Daniel Wong telah ditahan semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) sekembalinya dari Singapura, dengan bantuan Interpol, Jabatan Hal Ehwal Komersial Pasukan Polis Singapura (CAD Singapura) dan Malaysia Airports Aviation Security (AVSEC).

Satu pertuduhan telah dikemukakan terhadap Daniel Wong di bawah seksyen 122C(c) dibaca bersama seksyen 87A(b) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) bagi kesalahan bersubahat dengan Toh menggunakan RM17.5 juta daripada dana Multi-Code antara 26 dan 28 Mac 2007 untuk membiayai pembelian lebih 11 juta saham Multi-Code oleh Ace Prelude Sdn Bhd.

Jika disabitkan, Daniel Wong boleh didenda tidak kurang daripada RM1 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

Mendiang Toh, yang merupakan seorang warganegara Singapura dan bekas Pengarah Urusan Multi-Code, sebelum ini telah dituduh oleh SC dengan satu pertuduhan utama bagi kesalahan di bawah seksyen 87A(b) SIA pada tahun 2009. Toh juga dituduh secara alternatif dengan satu pertuduhan melakukan kesalahan pecah amanah (criminal breach of trust/CBT) di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Toh telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan alternatif selepas perbicaraan penuh dan telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda berjumlah RM1 juta, jika gagal membayar denda, hukuman dua tahun penjara. Toh telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukumannya, bagaimanapun beliau telah meninggal dunia sebelum rayuannya didengar oleh Mahkamah Tinggi.

Pada hari ini di mahkamah, Daniel Wong tidak mengaku salah dan mohon untuk dibicarakan. SC telah membantah Daniel Wong diikat jamin dan telah berhujah bahawa Daniel Wong merupakan seorang flight risk yang sebelum ini telah melarikan diri ke luar negara ketika menghadapi pertuduhan yang lain dalam kes berasingan oleh SC.

Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Azrul bin Darus bersetuju dengan hujahan SC dan tidak membenarkan Daniel Wong diikat jamin.

Keputusan hari ini jelas menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa antara SC dan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dalam memastikan pelaku kesalahan undang-undang sekuriti dibawa ke muka pengadilan. SC ingin merakamkan penghargaan kepada Interpol, CAD Singapura dan AVSEC atas bantuan yang diberikan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup