Industri Modal Teroka Malaysia Perkukuh Hubungan di kalangan Pelabur Institusi

Kuala Lumpur, 4 Mei 2007

Majlis Pembangunan Modal Teroka Malaysia (MVCDC) hari ini buat julung kalinya mengadakan Sidang Meja Bulat Modal Teroka, pada hari Jumaat, 4 Mei 2007 untuk mendapatkan pandangan peserta industri bagi meningkatkan industri modal teroka negara.

Forum tertutup yang bertemakan “Mewujudkan Tarikan Positif Dalam Industri VC Malaysia” dihadiri oleh para profesional utama industri modal teroka yang berkongsi pandangan dan maklum balas mereka dalam membangunkan lagi industri modal teroka Malaysia.

Dianjurkan susulan daripada Forum Pelabur Modal Teroka 2006 MVCDC yang pertama kali diadakan pada bulan Ogos tahun lalu, peserta Sidang Meja Bulat tersebut memberikan tumpuan kepada perbincangan mengenai strategi untuk membangunkan budaya keusahawanan di Malaysia, dan cara untuk meningkatkan daya tarikan Pasaran MESDAQ sebagai mekanisme keluar bagi modal teroka dan mengambil kesempatan atas kekuatan domestik Malaysia ke arah pengantarabangsaan pasaran.

Perbincangan juga merangkumi kajian terhadap keberkesanan insentif percukaian serta inisiatif kerajaan yang lain untuk membangunkan modal teroka. Di samping itu, peserta juga digalakkan mengenai penggunaan strategi serantau dan antarabangsa untuk mempertingkat persekitaran modal teroka tempatan.

Dapatan dan maklum balas daripada Forum Pelabur mengenai cabaran dalam usaha meningkatkan pembabitan pelabur institusi Malaysia dalam pembiayaan modal teroka juga dibincangkan di Sidang Meja Bulat tersebut.

“Kami berharap perbincangan hari ini akan memberikan gambaran jelas kepada MVCDC untuk merangka strategi dan inisiatif modal teroka yang baru,” kata Pengerusi MVCDC Dato’ Zarinah Anwar.

Ketika ini, pelan tindakan dan strategi terkini MVCDC adalah untuk terus merangsang industri termasuk cadangan bagi langkah baru untuk mempertingkat keberkesanan program insentif dan geran kewangan, serta untuk menggalakkan lebih banyak pembabitan sektor swasta dalam industri. Pandangan dan maklum balas daripada Sidang Meja Bulat tersebut akan digunakan sebagai input untuk memperhalus dan meningkatkan lagi strategi MVCDC yang sedia ada.

Dana baru yang dijana dalam industri modal teroka Malaysia pada tahun 2006 meningkat dengan ketara kepada RM715 juta daripada RM323 juta pada tahun 2005. Agensi kerajaan dan syarikat tempatan terus menyumbang kepada majoriti dana tersebut masing-masing sebanyak 40.73 peratus dan 37.59 peratus, dengan potensi besar yang belum digunakan dalam insurans dan dana persaraan sebagai sumber dana modal teroka.

Kerajaan Malaysia, yang telah lama mengiktiraf kepentingan strategik industri modal teroka sebagai sumber pembiayaan bagi pertumbuhan, telah mempromosikan industri tersebut melalui peruntukan dana dan insentif. Langkah ini termasuk peruntukan sebanyak RM1.6 bilion bagi modal teroka di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 bagi menampung kekurangan pembiayaan penting dalam tahap awal pembangunan kegiatan perniagaan, pengecualian cukai selama 10 tahun diberikan kepada syarikat modal teroka yang melabur sekurang-kurangnya 50 peratus daripada dana dalam modal permulaan, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2007.

MVCDC diwujudkan pada bulan Januari 2005 sebagai agensi sehenti bagi memastikan pelaksanaan terselaras strategi dan inisiatif bagi pembangunan industri modal teroka.

MVCDC terdiri daripada Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Dato’ Zarinah, yang juga merupakan Pengerusi MVCDC, dan wakil daripada sektor awam dan swasta yang dilantik oleh Menteri Kewangan atas cadangan SC.

Maklumat lanjut mengenai MVCDC boleh didapati daripada laman webnya di www.mvcdc.com.my.

MAJLIS PEMBANGUNAN MODAL TEROKA MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup