Inisiatif untuk Mempercepat Pertumbuhan dan Mempertingkat Perlindungan Pelabur dalam Industri Unit Amanah

Kuala Lumpur, 9 Oktober 2006

Sebagai sebahagian daripada pelan urusannya bagi tahun 2006, Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mengkaji semula polisi berkaitan industri unit amanah. Secara umumnya, industri unit amanah Malaysia telah mengekalkan pertumbuhan dua digit sepanjang dekad yang lalu dan berpotensi untuk berkembang dengan cepat memandangkan penabungan domestik yang tinggi, demografi yang agak sesuai dan pengembangan tenaga buruh. Industri unit amanah berada di kedudukan yang agak baik untuk memainkan peranan utama dalam pertumbuhan pasaran modal Malaysia.

SC telah mengenal pasti satu set inisiatif yang bertujuan menyediakan lebih ketelusan kepada pelabur, mengurangkan kos, menambah pilihan produk, memperbaiki akses, mempertingkat standard perlindungan pelabur dan mewujudkan persekitaran yang lebih berdaya saing.

Inisiatif ini adalah konsisten dengan komitmen dan strategi yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) untuk mempercepat pertumbuhan dan perkembangan industri pengurusan pelaburan dan untuk mempertingkat peranannya dalam menggerakkan tabungan.

Berikutan rundingan bersama industri, SC ingin mengumumkan inisiatif berikut:

  • Pengenalan dana unit amanah bagi tabungan persaraan

Tidak dapat dinafikan bahawa kini terdapat sedikit dana yang memenuhi keperluan pelabur yang ingin menabung bagi tujuan persaraan yang mana objektif pelaburannya adalah ke arah pengekalan modal dengan pulangan yang munasabah. Sehubungan dengan ini, SC telah berbincang dengan industri untuk memperkenalkan satu kategori baru dana unit amanah (UTF) yang akan memenuhi keperluan pelabur ini. UTF ini akan mempunyai kos pelaburan yang lebih rendah dan strategi pelaburan yang lebih konservatif. Dana tersebut akan membolehkan individu, di luar skop skim tabungan formal, untuk melabur dalam perantara tabungan dengan ciri-ciri yang konsisten dengan objektif persaraan dan kos kemasukan yang lebih rendah.

  • Rejim penetapan harga tunggal

Rejim penetapan harga tunggal akan diperkenalkan pada permulaan suku tahun kedua 2007 bagi memastikan terdapat ketelusan penuh dan penzahiran kos hadapan. Tidak seperti rejim dwipenetapan harga yang mana harga disebutkan termasuk caj-caj, pengaturan penetapan harga tunggal, harga akan menggambarkan nilai aset bersih bagi satu unit dan kesemua caj akan dinyatakan secara berasingan. Ketelusan harga dan cja yang dipertingkat ini akan membolehkan pelabur membandingkan kos melabur dalam unit amanah yang dikaitkan dengan saluran-saluran pengagihan yang berbeza dan boleh membawa kepada persekitaran yang lebih kompetitif dari segi kos.

  • Rejim berteraskan penzahiran

Pengawalselian berteraskan penzahiran (DBR) bagi kelulusan produk akan diperkenalkan pada tahun 2007. Persekitaran DBR akan diguna pakai bagi syarikat pengurusan unit amanah yang mempamerkan standard tatalaku, kualiti produk yang tinggi dan kawalan operasi yang kukuh. Pendekatan DBR akan mengurangkan masa ke pasaran oleh kerana kurang semakan kawal selia terhadap produk yang akan dilancarkan. Syarikat pengurusan unit amanah kini boleh bertindak dengan lebih pantas terhadap perubahan dalam pasaran dan melancarkan lebih banyak produk unit amanah untuk memenuhi permintaan pelabur dan dengan itu menyediakan pilihan pelaburan yang lebih besar bagi pelabur dalam masa yang tepat.

  • Mempertingkat saluran pengagihan

Saluran pengagihan akan dipertingkat untuk memperbaiki penghantaran produk unit amanah kepada pelabur dengan cara yang lebih mudah dan berkesan kos. Ini termasuk mempertingkat peranan peserta pasaran seperti perancang kewangan dan memperluas kegunaan teknologi untuk memperbaiki akses berkesan kos pelabur kepada produk unit amanah.

  • Pengaturan dua hala dan pelbagai hala

SC sedang mengkaji rejim pengiktirafan bersama dua hala dan pelbagai hala di rantau ini untuk memudahcarakan penjualan produk unit amanah Malaysia dan pengembangan para pengantara Malaysia ke dalam pasaran lain. Pada masa yang sama, pelabur Malaysia akan meraih manfaat daripada pilihan produk yang lebih besar daripada pasaran lain. Rejim-rejim ini akan diwujudkan berdasarkan kebolehpakaian penjajaran kawal selia yang sesuai dalam bidang kuasa terbabit.

  • Organisasi swaatur industri akan diwujudkan

Untuk memperkukuh perlindungan pelabur dan menggalakkan pengawalseliaan sendiri oleh industri, SC akan mempertingkat pengawasannya terhadap industri unit amanah. Persekutuan Pengurus Unit Amanah Malaysia (FMUTM) akan distrukturkan secara formal sebagai organisasi swaatur (SRO) industri. SRO akan bertanggungjawab untuk memastikan standard industri bagi tatalaku jualan dan amalan perniagaan yang tinggi dan akan berada di bawah pengawasan SC.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup