Integriti Perniagaan yang Tinggi Meningkatkan Keuntungan

Kuala Lumpur, 20 Mac 2001

Para pelabur berkemungkinan besar melabur dalam syarikat, yang mempunyai integriti perniagaan yang tinggi. Satu kajian peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa pelabur institusi di rantau Asia bersedia untuk membayar penokokan sebanyak 20 - 30% bagi saham-saham syarikat, yang mengamalkan tadbir urus korporat yang baik.

Pengarah Suruhanjaya Sekuriti (SC), Dr Nik Ramlah Nik Mahmood berkata syarikat-syarikat mesti menyedari nilai dalam mengamalkan standard tadbir urus korporat dan etika perniagaan yang tinggi. Beliau berkata demikian di Seminar mengenai Integriti dalam Perniagaan - Maju ke Hadapan, anjuran Badan Pencegah Rasuah (BPR), Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Kuala Lumpur hari ini. Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Syarikat yang mempunyai tadbir urus yang baik akan berupaya menarik modal pada kos yang lebih rendah", kata Dr Nik Ramlah.

Beliau menambah "kos penjanaan modal akan naik apabila tanggapan (pelabur) mengenai pengurusan dan nilai syarikat menurun".

Dr Nik Ramlah juga menekankan bahawa tadbir urus korporat yang baik akan meningkatkan nilai syarikat-syarikat dalam proses percantuman dan pemerolehan.

"Tadbir urus korporat yang buruk berkemungkinan besar mewujudkan imej yang negatif terhadap syarikat di kalangan pihak berkepentingan, seperti para pelanggan, pemiutang dan rakan kongsi perniagaan", kata Dr Nik Ramlah.

Tadbir urus korporat yang baik, oleh itu adalah penting bagi kewujudan terus, pertumbuhan dan kejayaan sesebuah perniagaan. Walau bagaimanapun, kesan amalan tadbir urus korporat yang buruk menjangkau luar daripada syarikat. Syarikat tersenarai yang mempamirkan tadbir urus korporat yang buruk menjejaskan pasaran di mana saham syarikat mereka didagangkan.

"Kredibiliti yang diperoleh dan dikekalkan dalam tempoh yang panjang boleh terjejas teruk oleh kesalahan tadbir urus korporat kecil oleh beberapa syarikat ternama", kata Dr Nik Ramlah.

Dalam memperakui kepentingan tadbir urus korporat, SC telah mengambil beberapa langkah bagi mempelopori pembaharuan dalam bidang ini. Antara lain, Jawatankuasa Kewangan Tadbir Urus Korporat yang merumus Laporan Jawatankuasa Kewangan mengenai Tadbir Urus Korporat yang menyeluruh. Ini seterusnya membawa kepada penerbitan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia, yang pada asasnya mengekod prinsip-prinsip dan amalan terbaik tadbir urus korporat. Keperluan Penyenaraian BSKL yang diubah suai baru-baru ini menguatkuasakan Kod tersebut.

Dr Nik Ramlah menyatakan bahawa SC komited dalam memastikan pasaran modal Malaysia adalah bercirikan standard tadbir urus korporat yang tinggi. Ia akan memperkembang dan membangun usahanya dalam bidang ini melalui pelbagai langkah yang telah digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup