Intitusi-Institusi Terkemuka Tubuh Operasi Pengurusan Dana Islam di Malaysia

- SC meluluskan tiga lesen baru

Kuala Lumpur, 14 Julai 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah meluluskan permohonan tiga institusi kewangan terkemuka untuk menubuhkan syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) di Malaysia. Tiga institusi itu ialah Kuwait Finance House, DBS Asset Management dan CIMB-Principal Islamic Asset Management.

Penubuhan tiga IFMC baru itu adalah ekoran daripada langkah untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa seperti yang diumumkan dalam Bajet 2008.

Pengerusi SC Dato’ Zarinah Anwar berkata, “Kami gembira dengan minat yang ditunjukkan oleh institusi antarabangsa untuk mengambil bahagian dalam pasaran modal Malaysia. Ini menunjukkan pengiktirafan global terhadap kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam dan mempertingkat peluang Malaysia sebagai teraju utama hab pengurusan kekayaan dan dana Islam.”

Dalam meluluskan permohonan tersebut, SC telah mempertimbangkan, antara lain, skop operasi yang akan dijalankan oleh syarikat-syarikat ini di Malaysia, pengurusan dana dan pengalaman perbankan, nilai jenama, kepakaran dan kedudukan geografi, serta pematuhan dan kebolehan pengurusan risiko.

“Kelulusan ketiga-tiga syarikat ini akan memainkan peranan pemangkin dalam mengantarabangsakan pasaran modal Islam kita,” tambah beliau.

Dato' K. Salman Younis, Pengarah Urusan Kuwait Finance House (Malaysia) berkata, "Bagi pihak Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kami kepada Suruhanjaya Sekuriti kerana memberikan kami lesen untuk menubuhkan syarikat pengurusan dana Islam. Kami kagum dengan kepantasan dan kecekapan SC dalam meluluskan lesen tersebut. Aktiviti pengurusan dana KFH Group di rantau ini akan digabungkan melalui platform ini dan kami teruja dengan prospek pertumbuhan yang ditawarkan oleh pasaran modal Malaysia kepada kami."

Ketua Pegawai Eksekutif DBS Asset Management Ltd, Deborah Ho berkata, “Kami sukacita dapat menggunakan kerjasama sedia ada dengan Hwang DBS (Malaysia) untuk menubuhkan sebuah syarikat pengurusan yang didedikasikan kepada dana Islam. Entiti baru ini akan menstrukturkan dan mengagihkan produk pengurusan aset Islam merentasi Asia melalui sinergi dengan DBS dan DBS' Islamic Bank of Asia. Kami gembira mendapat persetujuan daripada Suruhanjaya Sekuriti untuk menubuhkan syarikat pengurusan yang didedikasikan kepada dana Islam, dan sedang menunggu kelulusan pengawalseliaan yang diperlukan dari Monetary Authority of Singapore.”

SC kini sedang menilai cadangan daripada syarikat-syarikat pengurusan dana terkemuka yang lain untuk menubuhkan operasi pengurusan dana Islam di Malaysia.

Mengenai syarikat pengurusan dana

Kuwait Finance House (Malaysia), sebuah anak syarikat milik penuh Kuwait Finance House adalah antara institusi kewangan utama di dunia. IFMCnya dijangka menggunakan kekuatan daya saing kepimpinan pasaran syarikat tersebut dalam perbankan Islam, pembangunan produk inovatif dan rangkaian pengagihan yang luas terutama di negara-negara GCC.

DBS Asset Management ialah anak syarikat milik penuh DBS Bank dan mempunyai 25 tahun pengalaman dalam menangani pengurusan pelaburan. DBS Bank ditarafkan oleh agensi penarafan dunia sebagai antara yang terbaik di Asia bagi kualiti aset dan mempunyai kepentingan dalam Islamic Bank of Asia. DBS Asset Management dan syarikat-syarikat sekutunya kini menguruskan aset bernilai RM65 bilion dengan saluran pengagihan di Asia Tenggara, Timur Tengah, Tanah Besar China dan di rantau India.

CIMB-Principal Islamic Asset Management, sebuah anak syarikat milik penuh CIMB-Principal Asset Management, merupakan kerjasama antara kumpulan perbankan primer Asia Tenggara, CIMB Group dan Principal Financial Group, sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan global pengagihan utama Fortune 500. Dengan mengambil peluang daripada perkembangan pesat dan potensi pertumbuhan yang kukuh dana unit amanah Syariahnya dan perniagaan lain yang dipacu oleh Syariah, CIMB Principal akan memfokuskan kepada aktiviti pengurusan dana Syariah di CIMB-Principal Islamic Asset Management.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup