InvestSmart® Fest tahunan SC Kembali untuk Pertingkat Literasi Pelaburan Rakyat Malaysia
8 October 2019   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan pesta pendidikan pelabur utamanya, InvestSmart® Fest 2019 bertemakan "Invest Smart" atau "Bijak Labur" pada 18-20 Oktober 2019 di Dewan 1 Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur.

Bertujuan untuk melengkapkan pelabur dengan asas-asas dalam membuat keputusan pelaburan yang kukuh, InvestSmart® Fest tahunan selama tiga hari tersebut akan memberi peluang orang ramai mempelajari tentang pelbagai peluang pelaburan dan memahami cara untuk melindungi diri daripada penipuan pelaburan atau skim pelaburan haram. Masuk adalah percuma.

Bursa Malaysia Berhad, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) merupakan rakan kongsi acara bagi InvestSmart® Fest pada tahun ini.

InvestSmart® Fest 2019 mengetengahkan gerai pameran lebih 50 institusi pasaran modal, pengantara, agensi-agensi berkaitan, peserta industri dan persatuan di bawah satu bumbung serta ceramah dan seminar oleh para pakar industri. Pengunjung juga boleh memperoleh pendedahan kepada pembiayaan berasaskan pasaran alternatif seperti pendanaan ekuiti ramai, pembiayaan rakan setara, syarikat pengurusan pelaburan digital dan bursa aset digital di dalam "Digital Pavilion" yang khusus.

Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, orang ramai boleh mendaftar untuk penilaian perancangan kewangan secara percuma oleh para perancang kewangan berlesen di gerai pameran "#FinPlan4u" ketika InvestSmart® Fest 2019. Tahun ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga akan menyertai #FinPlan4U dan menyediakan kaunter khidmat nasihat persaraan. Memandangkan permintaan yang tinggi dan ruang yang terhad, orang ramai digalakkan untuk mendaftar minat mereka di www.investsmartsc.my.

Bersempena dengan InvestSmart® Fest 2019 ini, SC akan menganjurkan ScamBuster Walk Hunt, pada 20 Oktober 2019, berikutan kejayaan ScamBuster Run yang diadakan dua tahun lalu. ScamBuster Walk Hunt bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai skim pelaburan haram melalui aktiviti pendidikan yang menyeronokkan. Semua kutipan daripada acara ini akan disalurkan kepada SC Heart, iaitu inisiatif tanggungjawab sosial korporat pengawal selia tersebut.

ScamBuster Walk Hunt, akan bermula di MaTiC Amphitheatre, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan tamat di Dewan 1 di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur, menawarkan hadiah wang tunai yang menarik. Penyertaan terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 12 tahun ke atas. Pendaftaran kini dibuka sehingga 14 Oktober 2019 di https://www.sc.com.my/scambusterwalkhunt.

Untuk maklumat lanjut mengenai InvestSmart® Fest, sila layari www.investsmartsc.my atau Facebook.com/InvestSmartSC.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup