ISRA dan SC Lancar Penerbitan Bersama "Islamic Capital Markets: Principles and Practices"
26 Mei 2015   |   Kuala Lumpur
Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari melancarkan penerbitan bersama yang bertajuk “Islamic Capital Markets: Principles and Practices.”

Buku teks pasaran modal tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Dato Dr Nik Ramlah Mahmood di IFN Asia Forum di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2015. Khazanah Nasional Berhad merupakan penaja bersama inisiatif ini.

Pasaran modal Islam telah mengalami perubahan yang besar sejak tiga dekad yang lalu dan telah berkembang dari segi kepelbagaian pemegang kepentingan, infrastruktur, produk dan perkhidmatan, keupayaan serta capaian geografi. Pelancaran buku ini adalah tepat pada masanya, memandangkan perkembangan peranan pasaran modal Islam di seluruh dunia. Ia bertujuan menjadi sumber rujukan yang penting untuk para akademik, pelajar dan pengamal mengenai prinsip-prinsip utama yang menjadi asas operasi dan amalan pasaran modal Islam.

Menurut SC, perkembangan yang membanggakan di dalam kewangan Islam di serata dunia telah mewujudkan permintaan yang kukuh terhadap professional dalam bidang kewangan Islam, termasuk mereka yang dilatih dalam pasaran modal Islam, untuk membantu membangunkan dan memacu industri ini melangkah hadapan. Ketika pasaran ini bersedia untuk perkembangan yang lebih pesat, adalah penting bagi peserta industri, ahli-ahli akademik dan pengawal selia mengukuhkan sumber mereka bagi memastikan penawaran tenaga kerja mahir dan berkelayakan yang mampan.

Sebagai penerbit dan penaja bersama buku ini, SC yakin bahawa ia akan membuka jalan untuk perkembangan berterusan industri ini dan meningkatkan kemahiran kumpulan tenaga kerja pasaran modal Islam.

ISRA, sebagai sebuah institusi yang penting dalam menggalakkan penyelidikan Shariah gunaan dalam bidang kewangan Islam, percaya bahawa penerbitan buku baharu ini menandakan satu pencapaian utama dalam memenuhi keperluan maklumat dan pengetahuan oleh pihak akademik, industri, pengawal selia dan pihak berkepentingan lain selepas penerbitan buku yang terdahulu, “Islamic Financial System: Principles and Operations”.

Buku “Islamic Capital Markets: Principles and Practices” ini mengandungi ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai pasaran modal Islam. Ia menghuraikan dengan jelas dan kritikal, teori dan konsep pasaran modal Islam tanpa mengetepikan aspek praktikal. Buku karangan ulama, ahli akademik dan pakar industri yang terkemuka, buku ini menampilkan isu-isu kontemporari yang dihadapi oleh industri kewangan Islam, dengan menggunakan pelbagai kes kajian bagi menjelaskan kaedah interaksi antara teori dan pengamalan.

Ia merangkumi pelbagai topik penting yang berkaitan dengan pasaran modal Islam, termasuk rangka kerja Shariah, kawal selia dan tadbir urus korporat, pengurusan risiko, perakaunan dan percukaian, sukuk, pasaran ekuiti, dana unit amanah, ETF, REITs, ekuiti swasta dan modal teroka, derivatif dan produk berstruktur.

Pembaca akan mendapati bahawa aspek ketekunan wajar telah diketengahkan bagi memastikan maklumat dalam buku ini menyeluruh, tepat, andal dan terkini. Perbincangan yang terkandung di dalamnya tidak terbatas kepada mana-mana bidang kuasa; malah perbincangan tersebut adalah melalui pendekatan analitikal terhadap isu-isu relevan dalam kalangan negara yang berbeza. Setiap bab mengandungi kes kajian yang relevan yang disokong carta, rajah, jadual dan perangkaan bagi memudahkan pemahaman. Di samping itu, soalan pelbagai pilihan dan soalan perbincangan juga disediakan di penghujung setiap bab untuk memastikan kefahanan pembaca.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
INTERNATIONAL SHARI’AH RESEARCH ACADEMY FOR ISLAMIC FINANCE
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup