Juruaudit Memainkan Peranan Penting Dalam Menggalakkan Integriti Penyata Kewangan
23 Jun 2021

Berikutan peristiwa yang berlaku baru-baru ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ingin menegaskan bahawa di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, juruaudit mempunyai kewajipan berkanun untuk segera melaporkan kepada SC, jika mereka secara munasabah percaya bahawa wujud mana-mana perkara yang melanggar atau tidak mematuhi mana-mana keperluan undang-undang sekuriti, peraturan bursa saham atau apa-apa perkara yang boleh memberi kesan buruk terhadap tahap kedudukan kewangan syarikat tersenarai.
Lembaga Pemantauan Audit SC turut menyatakan bahawa juruaudit luaran memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang teraudit di Malaysia. Oleh yang demikian, juruaudit harus dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjawab dan memberikan pendapat bebas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan melaksanakan tugas mereka dengan bebas daripada sebarang tindakan balas. Juruaudit juga dikehendaki menggunakan skeptisisme profesional mereka semasa menjalankan audit dan sentiasa mengguna pakai Piawaian Pengauditan Antarabangsa seperti yang diguna pakai oleh Institut Akauntan Malaysia.

SC juga ingin menjelaskan bahawa pihaknya belum menghubungi Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed, Pengerusi Serba Dinamik Holdings Bhd seperti yang dilaporkan dalam artikel bertajuk "What Serba Dinamik said on its audit issues", yang dilaporkan dalam The Edge CEO Morning Brief pagi ini.

Siasatan SC terhadap Serba Dinamik Holdings Bhd masih sedang dijalankan.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup