Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang mempertimbangkan kertas cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) ekoran kebimbangan yang diutarakan oleh broker asing. Pihak SC juga sedang mendapatkan dan menerima maklum balas daripada peserta pasaran termasuk pelabur institusi dan Badan Penasihat Pasaran Modal (CMAC). Maklum balas awal daripada berbagai pemegang kepentingan dalam hal ini menunjukkan bahawa lebih masa diperlukan untuk membolehkan isu-isu dikaji dengan teliti.
Walaupun permohonan untuk menetapkan kadar minimum dipacu oleh pasaran, pihak SC memainkan peranan sebagai perantara untuk mempertimbangkan pelbagai kepentingan yang kadangkala berbeza dan bertentangan. Dalam mencapai keputusan muktamad selewat-lewatnya pada 30 Jun, SC akan memberikan keutamaan kepada manfaat kepada pasaran modal secara keseluruhannya, dengan mengambilkira kepentingan semua pihak.
Sebagai maklumat latarbelakang, ASCM telah mengumumkan struktur bagi kadar komisen minimum pada 11 April di mana struktur tersebut sepatutnya dilaksanakan pada 12 Mei. Namun begitu, berikutan pengumuman tersebut, broker asing telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kadar minimum antara broker. Ini telah membawa kepada pertimbangan lebih lanjut ke atas keseluruhan struktur kadar dan ASCM telah mengemukakan kertas cadangan baru pada 8 Mei.