Kaedah Penyaringan Syariah Yang Disemak Semula bagi Menggalakkan Lagi Kemasukan Dana Islam Asing
28 November 2013   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengeluarkan senarai kemaskini sekuriti patuh Syariah yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) pada 29 November 2013, berdasarkan kaedah penyaringan yang disemak semula seperti yang diumumkan pada 18 Jun 2012.

Di bawah kaedah penyaringan yang disemak semula tersebut, MPS SC mengguna pakai pendekatan kuantitatif dua peringkat yang mengguna pakai tanda aras aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan. Penyemakan ini dibuat setelah mengambil kira pembangunan pesat industri kewangan Islam di Malaysia, semenjak kaedah penyaringan Syariah mula diperkenalkan pada tahun 1995.

Penyemakan ini akan berpotensi untuk menggalakkan kemasukan dana-dana Islam asing ke dalam pasaran ekuiti patuh Syariah di Malaysia, seterusnya mengembangkan lagi pasaran modal Islam ke peringkat global, sepertimana yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2.

Senarai kemaskini, yang berkuatkuasa pada 29 November 2013, mengandungi 653 sekuriti patuh Syariah. Sekuriti-sekuriti ini mewakili 71 peratus daripada 914 sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia.

Senarai tersebut termasuk 16 sekuriti yang baru diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah manakala 158 sekuriti dikeluarkan daripada senarai terdahulu yang diterbitkan pada bulan Mei 2013. Senarai ini juga menunjukkan sekuriti patuh Syariah merangkumi hampir kesemua sektor perniagaan (Lampiran).

Bagi memudahkan peralihan di bawah kaedah penyaringan yang disemak semula, para pelabur diberi tempoh selama enam (6) bulan dari 29 November 2013, yang merupakan tarikh berkuatkuasa Senarai Sekuriti Patuh Syariah, untuk melupuskan sekuriti yang dikeluarkan daripada senarai tersebut sekiranya harga pasaran sekuriti berkenaan melebihi atau bersamaan dengan kos pelaburan.

Sepanjang tempoh ini, dividen yang diterima dan keuntungan modal hasil daripada pelupusan sekuriti-sekuriti tersebut boleh disimpan oleh para pelabur tanpa perlu menyalurkan sebahagian daripada dividen dan keuntungan modal tersebut kepada baitulmal dan/atau badan-badan kebajikan.

Senarai penuh, yang dikemaskini dua kali setahun berdasarkan penyata kewangan tahunan syarikat terkini yang diaudit, boleh didapati di laman sesawang SC iaitu www.sc.com.my. Senarai kemas kini seterusnya akan diterbitkan pada bulan Mei 2014.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup