Kebebasan Agensi Penarafan Kredit Diutamakan - SC

SC sedang kaji rangka kerja bagi mengukuhkan objektiviti penarafan

10 Jun 2022  |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ingin menekankan bahawa memandangkan peranan penting yang dimainkan oleh agensi penarafan kredit (CRA) dalam memberikan pendapat penarafan kredit yang boleh dipercayai, kebebasan dan objektiviti proses penilaian kredit dan keputusan penarafan tidak boleh dikompromi.

Bagi memastikan ini, Garis Panduan Pendaftaran Agensi Penarafan Kredit (Garis Panduan CRA) SC telah menetapkan kewajipan yang mesti dipatuhi oleh agensi penarafan kredit secara berterusan. Ini termasuk menjadikan pelantikan ahli lembaga pengarah dan CEO CRA tertakluk kepada penilaian yang sesuai dan wajar serta kelulusan dari SC.

Keperluan lain termasuk penubuhan jawatankuasa penarafan -- yang terdiri daripada individu berpengalaman, berkelayakan dan bebas -- untuk menetapkan dan memutuskan semua penarafan kredit, sekali gus mengelakkan penglibatan lembaga dan pemegang saham dalam perbincangan dan keputusan penarafan. Selain itu, pengerusi jawatankuasa penarafan mestilah ahli yang berkelayakan dan bebas.

SC akan terus mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan kebebasan penarafan dan objektiviti, dan jika perlu, mengenakan syarat tambahan terhadap kelulusan yang diberikan kepada pemohon. Oleh itu, SC sedang mengkaji rangka kerja sedia ada, termasuk jawatankuasa penarafan dan komposisinya.

Melangkah ke hadapan, SC berhasrat untuk menjadikannya satu keperluan bagi majoriti ahli lembaga pengarah (di kedua-dua syarikat induk dan syarikat penarafan) serta jawatankuasa penarafan terdiri daripada ahli bebas dan bagi sebarang keputusan dalam memberikan dividen kepada pemegang saham memerlukan kelulusan dari SC terlebih dahulu bagi memastikan CRA terus beroperasi dengan sumber yang mencukupi untuk mengekalkan operasi penarafannya.

Mengulas laporan berita terkini mengenai kemungkinan perubahan kepada pegangan saham RAM Holdings Berhad (RAM), SC menjelaskan bahawa sebarang perubahan pegangan saham yang mengakibatkan seseorang mengawal sebanyak 20% atau lebih modal berbayar CRA memerlukan kelulusan dari SC terlebih dahulu.

Kelulusan awal dari SC juga diperlukan untuk sebarang peningkatan terkumpul berikutnya dalam pegangan saham sebanyak 10% atau lebih daripada modal berbayar CRA. Kedua-dua keperluan ini telah ditetapkan di bawah Garis Panduan CRA.

Dalam menilai permohonan sedemikian, SC mempertimbangkan antara lain cadangan nilai oleh pemohon, berbanding persekitaran persaingan yang semakin meningkat di mana CRA beroperasi.

Ini termasuk pengembangan produk, pertumbuhan dan kemampanan perniagaan, kerjasama serantau, peningkatan set kemahiran dan sumbangan keseluruhan kepada pembangunan industri penarafan kredit tempatan dan pasaran bon Malaysia. Ini adalah selaras dengan matlamat Pelan Induk Pasaran Modal.

Sehingga kini, SC telah memberikan kelulusan kepada lebih daripada seorang pemohon untuk memegang lebih daripada 20% pegangan saham dalam CRA. Selain daripada memperoleh pegangan saham dalam CRA sedia ada, permohonan juga boleh dibuat untuk penubuhan dan pendaftaran agensi penarafan ketiga, tertakluk kepada keperluan yang dinyatakan dalam Garis Panduan CRA. Pemegang saham CRA boleh menjadi syarikat, termasuk syarikat tersenarai awam, selaras dengan amalan serupa di bidang kuasa lain.


Dalam melaksanakan tugasnya untuk memastikan pasaran yang adil, cekap dan telus, SC akan terus mematuhi proses membuat keputusan yang mantap selaras dengan protokol tadbir urusnya yang ketat.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup