Kegunaan julung kali sistem elektronik bersepadu menandakan permulaan bagi proses pemohonan sekuriti yang lebih mudah

Kuala Lumpur, 29 September 1999

Para pelabur telah ditawarkan dengan satu alternatif yang lebih mudah bagi permohonan sekuriti dengan penggunaan sistem elektronik bersepadu bagi satu tawaran awam permulaan (IPO) buat pertama kalinya baru-baru ini.

Syarikat pertama yang menawarkan cara permohonan alternatif ini bagi tawaran awam permulaannya ialah White Horse Bhd. Permohonan-permohonan bagi penawaran tersebut telah dibuka pada 26 Ogos dan ditutup pada 9 September 1999 manakala undian berkomputer telah dilakukan pada 15 September 1999.

Dari sejumlah 40,004 permohonan, 753 atau 1.5% adalah permohonan-permohonan secara elektronik. Kebanyakan permohonan secara elektronik bertumpu kepada kategori 1,000 hingga 6,000 saham dengan seorang pemohon memohon sebanyak 51,000 saham. Bilangan keseluruhan saham yang dimohon melalui perantara elektronik adalah sebanyak 2.048 juta yang mewakili 2.2% dari jumlah saham yang dimohon oleh orang awam.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Encik Ali Abdul Kadir berkata bahawa penggunaan sistem elektronik bagi permohonan dan peruntukan saham adalah seiring dengan pertumbuhan pesat kepentingan perdagangan elektronik di dalam perkhidmatan kewangan secara am dan di dalam pasaran modal khususnya.

Beliau menambah bahawa SC telah lama memperakui bahawa perkembangan di dalam bidang teknologi telah dan akan terus menjadi satu dorongan utama bagi pembaharuan dan perubahan struktur pasaran modal.

"Kami percaya bahawa perdagangan elektronik adalah satu bidang di mana infrastruktur pengawalseliaan harus bertindak secara positif dan tepat pada masanya bagi menggalak pertumbuhan pasaran dan pembaharuan di dalam produk dan proses pasaran. Sememangnya, pelaksanaan sistem elektronik bersepadu ini adalah salah satu daripada manfaat yang diperolehi daripada penggalakan pembangunan pasaran di dalam bidang ini, ke arah meningkatkan kecekapan di dalam pasaran modal dan untuk memenuhi keperluan pelabur dengan kos yang rendah," kata Pengerusi SC.

Sistem elektronik bersepadu tersebut, yang wujud bersama dengan sistem permohonan berdasarkan borang yang sedia ada, mengurangkan keperluan kepada pengisian borang dan beratur bagi mendapatkan cashier orders kerana sistem ini memberi pilihan kepada para pelabur untuk menggunakan mesin juruwang automasi (ATMs) institusi-institusi kewangan yang mengambil bahagian, untuk melanggan saham.

Sistem tersebut telah tersedia ada di sembilan institusi kewangan yang mengambil bahagian (tujuh bank dan dua syarikat kewangan), di mana semuanya telah mengambil bahagian di dalam satu program simulasi pasaran yang dijalankan sebagai persediaan bagi pelancaran sistem ini.

Sistem elektronik bersepadu, yang melibatkan pemindahan data permohonan saham dari institusi kewangan yang mengambil bahagian dan undian berkomputer, juga mengurangkan masa pemprosesan oleh rumah terbitan dan mempercepatkan pembayaran balik wang kepada pemohon yang tidak berjaya.

Pembangunan sistem ini telah dimulakan dan dimudahcarakan oleh SC dan dilaksanakan oleh Malaysian Issuing House (MIH) berserta institusi-institusi kewangan dan Depositori Pusat Malaysia (MCD).

Cara alternatif permohonan saham ini akan seterusnya tersedia bagi semua tawaran awam permulaan apabila satu lagi rumah terbitan, MIDFCCS, melancarkan sistem elektronik bersepadunya.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diedarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan, sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di tel no. 03-654 8513 (Ann Teoh)/ 03-654 8625 (Soh Beng Choo) atau faks no.: 03-651 5078.

Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC),
sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup