Kelonggaran kepada Terbitan Stok Pinjaman Boleh Tukar pada Nilai Nominal Kurang Daripada RM1

Kuala Lumpur, 10 Mei 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia sekarang membenarkan syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang melaksanakan pengstrukturan semula untuk menerbitkan stok pinjaman boleh tukar pada nilai nominal kurang daripada RM1.

Stok pinjaman boleh tukar adalah sekuriti, biasanya dengan kadar kupon tetap, yang boleh ditukar dengan saham biasa penerbit pada tempoh yang ditetapkan. Walaupun tidak terdapat larangan tertentu dalam "Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti" SC yang menghalang terbitan stok pinjaman boleh tukar pada nilai nominal kurang daripada RM1, SC telah mengamalkan memberi kelulusan hanya kepada terbitan stok pinjaman boleh tukar oleh syarikat tersenarai berdasarkan nilai nominal RM1.

Setelah mengkaji amalan di bidang kuasa lain dan mengambil kira bahawa terbitan stok pinjaman boleh tukar dengan nilai nominal kurang daripada RM1 akan memudahkan penjanaan modal oleh syarikat tersenarai yang bermasalah, SC telah memutuskan, sebagai satu polisi, untuk membenarkan terbitan stok pinjaman boleh tukar tersebut tertakluk kepada prinsip-prinsip berikut:

  • Stok pinjaman boleh tukar tersebut, samada boleh ditebus atau sebaliknya, hendaklah diterbitkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan penstrukturan semula yang dirumus oleh Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat atau Danaharta Nasional Berhad atau dilaksanakan mengikut seksyen 176 Akta Syarikat 1965;
  • Stok pinjaman boleh tukar tersebut hendaklah diterbitkan berasaskan terbitan hak kepada semua pemegang saham syarikat tersenarai. Stok pinjaman tersebut tidak dibenarkan untuk diterbit bukan berasaskan terbitan hak kecuali kepada pemiutang di bawah pelaksanaan penstrukturan semula, di mana, tidak akan ada sebarang persediaan dalam apa-apa bentuk di antara para pemiutang dan pengarah/penganjur syarikat tersenarai untuk membeli balik stok pinjaman tersebut;
  • Pengarah dan penganjur syarikat tersenarai tersebut yang merupakan penerima stok pinjaman boleh tukar di bawah sesuatu pelaksanaan terbitan hak adalah tidak dibenarkan menjual stok pinjaman boleh tukar mereka bagi tempoh satu tahun dari tarikh penyenaraian stok pinjaman tersebut. Dengan ini, pengarah dan penganjur yang terbabit dikehendaki memberikan jaminan yang diperlukan kepada SC;
  • Syarikat tersenarai tersebut hendaklah mematuhi sepenuhnya syarat tebaran pegangan saham awam BSKL bagi kedua-dua stok pinjaman boleh tukar dan saham induk ketika penyenaraian stok pinjaman boleh tukar tersebut;
  • Nilai nominal stok pinjaman boleh tukar tersebut hendaklah berdasarkan satu dinominasi yang boleh ditukarkan kepada satu nisbah pertukaran yang mudah dan genap;
  • Stok pinjaman boleh tukar tersebut hendaklah diterbitkan dalam lot niaga 1,000 unit;
  • Stok pinjaman boleh tukar hanya boleh ditukarkan kepada saham biasa penerbit yang tersenarai berdasarkan nilai par saham induk;
  • Satu mekanisme penukaran sekuriti atau "opsyen tiada tunai" hendaklah disediakan sebagai kaedah pertukaran bagi stok pinjaman boleh tukar sebagai tambahan kepada lain-lain opsyen pertukaran, sekiranya digunakan;
  • Waran-waran tidak akan disertakan bersama stok pinjaman boleh tukar tersebut; dan
  • Penzahiran secukupnya, sebagaimana yang dikehendaki oleh BSKL, hendaklah dibuat oleh syarikat tersenarai dengan menyatakan bahawa stok pinjaman boleh tukar tersebut diterbitkan pada nilai nominal kurang daripada RM1.

Dengan kelonggaran yang diberikan bagi terbitan stok pinjaman boleh tukar pada nilai nominal kurang daripada RM1 ini, SC ingin memaklumkan kepada para pelabur yang ingin melabur dalam instrumen tersebut bahawa, walaupun perbelanjaan tunai permulaan bagi pelangganan atau pembelian stok pinjaman tersebut mungkin agak kecil, pelabur akhirnya akan membayar lebih bagi menukarkan stok pinjaman tersebut kepada saham biasa syarikat tersenarai. Para pelabur, oleh itu, diingatkan agar mendapatkan penilaian yang sewajarnya ke atas sesuatu stok pinjaman dan mendapatkan nasihat profesional sekiranya terdapat keraguan.

Kelonggaran yang diberikan ke atas penerbitan stok pinjaman boleh tukar pada nilai nominal kurang daripada RM1 tersebut berkuatkuasa serta merta.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup