Kelonggaran terhadap Keperluan-Keperluan Penyenaraian Berantai dan Nilai Tara Syer Biasa bagi Penyenaraian Permulaan

Kuala Lumpur, 12 Jun 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan bahawa ia kini membenarkan syarikat subsidiari/bersekutu syarikat-syarikat induk tersenarai untuk disenaraikan samada di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) atau Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia (MESDAQ) tanpa syarikat induk tersenarai mereka, secara sendiri, memenuhi keperluan-keperluan penyenaraian dan, di mana berpatutan, tanpa syarikat subsidiari/bersekutu dihalang daripada syarat 50% sokongan keuntungan selepas cukai/nilai aset ketara bersih yang diguna pakai. Sebagai tambahan, SC juga ingin mengumumkan bahawa syarikat-syarikat yang memohon bagi penyenaraian di BSKL tidak lagi dikehendaki menetapkan nilai tara syer biasa mereka pada RM1.00 sesyer.

Kelonggaran tersebut dikuatkuasakan melalui pindaan terhadap peraturan-peraturan berkaitan dalam "Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti" (Garis Panduan Terbitan) SC dan "Garis Panduan bagi Tawaran Awam Sekuriti Syarikat Projek Infrastruktur" (Garis Panduan IPC) serta "Peraturan Penyenaraian" MESDAQ (Peraturan Penyenaraian MESDAQ). SC telah menjalankan kajiannya sendiri mengenai perkara tersebut dalam beberapa tempoh tetapi memutus untuk membenarkan kelonggaran tersebut hanya sekarang memandangkan keadaan ekonomi yang pulih. Dalam membenarkan kelonggaran tersebut, SC mengambil kira faktor-faktor berikut:
Bahawa perlindungan pelabur dan integriti pasaran tidak akan dikompromi akibat kelonggaran tersebut;

Bahawa SC sedang bergerak ke arah rangka kerja pengawalseliaan berteraskan penzahiran; dan

Bahawa keperluan-keperluan bagi penyenaraian berantai dan nilai tara syer biasa di negara-negara lain adalah liberal; oleh itu, syarat-syarat penyenaraian berantai dan nilai tara syer biasa yang diguna pakai perlu dikemaskinikan dan dipermudahkan lagi.
Keterangan lanjut mengenai kelonggaran tersebut adalah seperti berikut:

(A) Kelonggaran ke atas Penyenaraian Berantai

Penyenaraian berantai merupakan satu istilah yang digunakan bagi menerangkan suatu keadaan di mana sesebuah syarikat subsidiari/ bersekutu, atau sebuah syarikat induk, kepada sebuah syarikat tersenarai memohon untuk penyenaraiannya sendiri. Sekarang ini, sesebuah syarikat subsidiari/bersekutu syarikat induk yang tersenarai samada di BSKL atau MESDAQ yang memohon untuk disenaraikan di mana-mana satu bursa-bursa saham tersebut dikehendaki memenuhi keperluan-keperluan berikut:
Syarikat subsidiari/bersekutu yang hendak disenaraikan mesti terlibat dalam perniagaannya sendiri yang berbeza dan berdaya maju;
Perhubungan di antara syarikat subsidiari/bersekutu yang hendak disenaraikan dengan syarikat-syarikat dalam kumpulan tersebut, termasuk syarikat induk tersenarai, mestilah tidak membangkitkan persaingan dalaman antara kumpulan atau keadaan konflik kepentingan;
Syarikat subsidiari/bersekutu yang hendak disenaraikan hendaklah menunjukkan bahawa ia adalah bebas daripada syarikat induk tersenarai dan syarikat lain dalam kumpulan tersebut, daripada segi operasinya, termasuk pembelian dan penjualan barangan, pengurusan, dasar pengurusan dan kewangan; dan
Syarikat induk tersenarai (tidak termasuk syarikat subsidiari/ bersekutu yang hendak disenaraikan dan syarikat subsidiari/ bersekutu tersenarai yang sedia ada), secara sendirinya, mestilah memenuhi keperluan penyenaraian di bursa saham di mana ia hendak disenaraikan (iaitu, samada di BSKL atau MESDAQ) seolah-olah ia merupakan sebuah syarikat baru yang memohon penyenaraian.
Keperluan-keperluan yang diperjelaskan adalah terkandung masing-masing dalam Bab 10 Garis Panduan Terbitan, seksyen 8 Garis Panduan IPC dan Bab 2 Peraturan Penyenaraian MESDAQ. Bagi syarikat subsidiari/bersekutu yang memohon penyenaraian di BSKL di bawah Garis Panduan Terbitan, satu syarat tambahan yang perlu dipenuhi oleh syarikat tersebut adalah keuntungan selepas cukainya dan/atau aset ketara bersih hendaklah tidak merangkumi lebih daripada 50% masing-masing keuntungan selepas cukai bergabung dan/atau aset ketara bersih kumpulan tersebut bagi setiap tiga atau lima tahun kewangan penuh yang lepas, mengikut kes.
Keperluan bahawa syarikat induk tersenarai mesti, secara sendiri, memenuhi keperluan penyenaraian, sebagaimana perkara (iv) di atas, dan juga keperluan bagi syarikat subsidiari/bersekutu yang memohon penyenaraian di BSKL untuk tidak merangkumi lebih daripada 50% masing-masing keuntungan selepas cukai bergabung dan/atau aset ketara bersih kumpulan bagi setiap tiga atau lima tahun kewangan penuh yang lepas, kini telah dibatalkan. Lain-lain keperluan sedia ada, walau bagaimanapun, tidak berubah. Sebagai tambahan, tiga prinsip berikut telah diperkenalkan:
Sesebuah syarikat subsidiari/bersekutu syarikat induk tersenarai di BSKL atau MESDAQ tidak dibenarkan untuk memohon penyenaraian di mana-mana satu bursa saham tersebut kecuali syarikat induk tersenarai tersebut mempunyai perniagaan autonomi berasingan sendiri samada secara terus atau melalui syarikat subsidiari/ bersekutu yang tidak tersenarai, dan mampu untuk mempertahankan penyenaraiannya di masa hadapan;
Syarikat subsidiari/bersekutu syarikat induk tersenarai di BSKL atau MESDAQ tidak dibenarkan untuk memohon bagi penyenaraian di mana-mana bursa saham tersebut sekiranya ia pernah dimasukkan dalam syarikat syarikat induk tersenarai melalui sesuatu pelaksanaan pengambilalihan akas atau penyenaraian pintu belakang. Halangan yang sama dikenakan kepada sesebuah perniagaan yang sebelum ini telah mendapat penyenaraian secara langsung; dan
Syarikat subsidiari/bersekutu syarikat induk tersenarai di BSKL tidak dibenarkan untuk memohon bagi penyenaraian di BSKL sekiranya ia adalah syarikat yang perlu memenuhi keperluan rekod prestasi keuntungan yang lepas sebagaimana yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Terbitan, kecuali syarikat induk tersenarai berupaya, secara sendiri, memenuhi ujian rekod keuntungan agregat selepas cukai (tetapi tidak semestinya ujian rekod keuntungan tidak diganggu dan tahap keuntungan minimum bagi tahun kewangan yang terkini) keperluan penyenaraian tersebut, sebagaimana yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Terbitan.
(B) Kelonggaran ke atas Nilai Tara Syer Biasa

Sesebuah syarikat yang memohon bagi penyenaraian di BSKL sekarang ini dikehendaki menetapkan nilai tara syer biasanya pada RM1.00 setiap satu. Keperluan ini ditetapkan dalam Bab 10 Garis Panduan Terbitan.

Keperluan tersebut telah dibatalkan dan sesebuah syarikat yang memohon bagi penyenaraian terpulang kepada budi bicara untuk menetapkan sendiri nilai tara syer biasa pada satu tahap yang difikirkan sesuai. Walau bagaimanapun, SC ingin menasihatkan syarikat-syarikat yang memohon bagi penyenaraian dan penasihat mereka bahawa nilai tara syer biasa hendaklah sepadan dengan harga tawaran syer yang dicadangkan dan tidak ditetapkan terlalu rendah sekiranya harga-harga tawaran sudah sememangnya berpatutan. Polisi SC yang tidak membenarkan pembahagian syer bagi syarikat-syarikat tersenarai, walau bagaimanapun, tetap diteruskan buat masa ini. Kelonggaran yang dibenarkan untuk keperluan-keperluan penyenaraian berantai dan nilai tara syer biasa adalah berkuatkuasa serta merta.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup