Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Ali Abdul Kadir berkata sedemikian sempena ulang tahun pertama CMP, yang jatuh pada 22 Februari 2002 lalu.
Datuk Ali berkata daripada 152 cadangan CMP, 14 cadangan utama telah dilaksanakan sepenuhnya, 24 lagi telah separuh terlaksana manakala usaha pelaksanaan 48 cadangan lagi masih berterusan. Cadangan yang masih berterusan merujuk kepada cadangan yang tidak mempunyai jangka waktu tertentu, seperti latihan dan pendidikan atau perkembangan produk-produk baru di kalangan pelbagai segmen pasaran modal.
Beliau menambah bahawa usaha sedang dijalankan ke atas cadangan yang lain. Inisiatif-inisiatif ini telah dilaksanakan secara bertepatan masa menurut jangka waktu yang ditetapkan dalam CMP.
Cadangan utama CMP yang telah dilaksanakan sehingga kini termasuk penubuhan sebuah majlis penasihat bebas - Majlis Penasihat Pasaran Modal (CMAC) - pada Mac 2001, untuk memberikan SC pandangan strategik bebas untuk memudahcarakan usaha pelaksanaan.
"Kita bertuah kerana mendapat manfaat daripada pengalaman luas ahli CMAC. Dalam pelaksanaan cadangan-cadangan CMP, mereka telah memberikan nasihat berguna mengenai isu-isu yang timbul daripada perkembangan di peringkat tempatan dan antarabangsa dan implikasi yang berkemungkinan terhadap pasaran modal Malaysia," kata Pengerusi SC.
Dalam mengemukakan cadangan-cadangan utama yang telah dilaksanakan pada tahun pertama CMP, Datuk Ali memaklumkan usaha yang telah diambil untuk mempertingkat keberkesanan institusi pasaran ke arah mewujudkan sebuah bursa Malaysia.
Ini termasuk penggabungan KLOFFE dan COMMEX pada Jun 2001 untuk menubuhkan sebuah bursa derivatif yang dipanggil MDEX yang diletakkan bawah Kumpulan BSKL. Sehingga akhir tahun 2001, BSKL dan MESDAQ juga telah menandatangani persetujuan untuk bergabung.
Datuk Ali berkata bahawa proses demutualisasi dan penyenaraian bursa Malaysia akan dilaksanakan menurut perancangan dan disasarkan oleh CMP dengan tarikh akhir pada tahun 2003.
Tahun pertama CMP juga menyaksikan langkah yang diambil oleh SC untuk terus memudahcarakan langkah penggabungan broker saham dengan membenarkan Broker Universal (UB) mengadakan kemudahan akses elektronik. Sehubungan dengan ini, SC telah mengeluarkan Guidelines on the Establishment of Electronic Access Facilitites pada Ogos 2001 untuk membantu UB mengadakan kemudahan ini. Sebagai insentif tambahan, UB dibenarkan untuk memberi diskaun tertentu bagi dagangan yang dilaksanakan melalui kemudahan akses elektronik tersebut.
Mengenai kebimbangan ahli industri berkaitan keperluan bagi Broker Universal dan Bank-bank Pelaburan, Datuk Ali berkata bahawa semua syarikat broker saham termasuk syarikat broker saham yang disokong bank adalah tertakluk bawah keperluan polisi yang sama.
"Polisi SC mengenai penggabungan broker digunakan secara saksama terhadap semua syarikat broker saham - termasuk broker yang merupakan sebahagian daripada kumpulan perbankan yang juga memiliki bank perdagangan.
"Kami ingin menegaskan lagi bahawa semua syarikat broker saham yang berminat untuk menjadi UB mesti bergabung dengan tiga lagi syarikat broker saham. Atau, sekiranya mereka tidak mahu menjadi UB, mereka akan bergabung sekurang-kurangnya dengan sebuah lagi syarikat broker", kata Datuk Ali.
Datuk Ali menambah, sebagaimana yang dicadangkan dalam CMP, "Semua UB dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam sistem sebut harga, penerbitan dan penyelesaian yang berkaitan dengan dokumen hutang tidak tersenarai dengan syarat mereka mematuhi keperluan pengawalseliaan berkenaan.
Untuk meningkatkan keberkesanan kos perkhidmatan pasaran modal, CMP telah mencadangkan pengurangan dalam kos transaksi. Langkah bagi tujuan ini telah dilaksanakan pada Julai 2001 - fi bagi SCANS dan SCORE serta levi SC telah dikurangkan sebagaimana yang dirancangkan.
Sebagai tambahan, pelbagai fi dalam industri derivatif, boleh dirunding sepenuhnya pada Disember 2001. Langkah ini termasuk kadar komisen pembrokeran dan penjelasan niaga hadapan, struktur perkongsian komisen antara broker niaga hadapan dan wakil mereka serta kadar komisen yang dikongsi antara ahli dagangan dan pihak institusi.
Datuk Ali terus menerangkan langkah yang telah diambil pada 2001 untuk menggalakkan standard tadbir urus korporat yang lebih tinggi di kalangan syarikat awam tersenarai. Seterusnya, beliau berkata banyak usaha bawah CMP dilaksanakan berpandukan cadangan-cadangan Laporan Tadbir Urus Korporat Jawatankuasa Kewangan (yang dilancarkan pada 1999).
Dalam konteks ini, Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) telah mula beroperasi dan melantik Ketua Pegawai Eksekutifnya pada Julai 2001. MSWG diasaskan oleh pelabur-pelabur institusi utama Malaysia (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Lembaga Tabung Haji dan Pertubuhan Keselamatan Pekerja).
"Penubuhan MSWG merupakan satu langkah penting ke arah mempertingkat hak pemegang saham, terutamanya pihak minoriti. Kami (SC) menyokong penyelenggaraan autonomi dalam semua operasi dan keputusan MSWG dan akan memainkan peranan memudahcara dalam membantu MSWG mencapai objektifnya," kata Datuk Ali.
Mengenai peralihan ke arah rejim pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR), Datuk Ali berkata, SC telah menyiapkan kajian kesediaan pasaran bagi pengenalan kepada fasa terakhir DBR dan akan mengeluarkan tidak lama lagi, hasil kajian ini serta langkah yang akan diambil seterusnya.
Pembangunan pasaran bon korporat, satu lagi bidang keutamaan CMP, juga telah diperkembangkan dengan pengenalan garis panduan untuk memudahcarakan penawaran sekuriti bersandarkan aset (ABS) pada April 2001.
Pengerusi SC berkata tiga cadangan ABS telah diluluskan oleh SC dengan jumlah had yang diluluskan sebanyak RM2.14 bilion sejak pengeluaran garis panduan tersebut.
Di samping kemajuan ketara dalam pelaksanaan cadangan CMP tersebut, terdapat juga beberapa inisiatif seperti proses liberalisasi kadar komisen pembrokeran bagi dagangan runcit, yang terpaksa ditangguhkan disebabkan oleh pelbagai faktor, terutamanya oleh kerana keadaan ekonomi yang sukar.
Datuk Ali, walau bagaimanapun, menegaskan bahawa SC adalah komited dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif ini dan akan terus mengkaji semula keadaan dan mengambil langkah yang sesuai dan tepat pada masanya. Dalam berbuat demikian, SC akan terus mengekalkan rundingan terperinci bersama pihak industri.
Sejajar dengan komitmen SC ke arah mempertingkat lagi ketelusan pengawalseliaan, orang ramai, termasuk peserta pasaran dan para pelabur akan kerap dimaklumkan dengan perkembangan terkini kemajuan pelaksanaan tersebut dari masa ke semasa.
Pada masa yang sama, komitmen yang menyeluruh daripada semua pihak terlibat adalah penting untuk mencapai matlamat ke arah sebuah pasaran yang berdaya saing di peringkat antarabangsa iaitu kecekapan yang tinggi dan disokong oleh kerangka pengawalseliaan yang kukuh dan memudahcara. Oleh itu, peserta pasaran digalakkan agar terus menyumbang secara proaktif ke arah pembangunan pasaran modal Malaysia.
Pengerusi SC mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya CMAC serta ahli-ahli industri, atas sokongan dan komitmen penuh mereka terhadap proses pelaksanaan CMP, dan beliau berharap ia dapat diteruskan ketika SC mengorak langkah ke tahun kedua CMP.