Kemampanan, Pembiayaan Alternatif dan Pendidikan Pelabur Fokus Utama Acara SC di Sarawak

Premier Sarawak rasmi Pameran Bersama InvestSmart® SC di Kuching

Kuching, 17 September 2022

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengadakan beberapa siri acara di Kuching pada hujung minggu ini yang bertujuan untuk menggalakkan pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab, meningkatkan pembiayaan alternatif untuk perniagaan kecil dan celik kewangan dalam kalangan rakyat Sarawak.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengadakan beberapa siri acara di Kuching pada hujung minggu ini yang bertujuan untuk menggalakkan pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab, meningkatkan pembiayaan alternatif untuk perniagaan kecil dan celik kewangan dalam kalangan rakyat Sarawak.

Acara utama sepanjang tiga hari itu ialah pameran pendidikan pelabur SC iaitu Bersama InvestSmart® @Sarawak 2022, yang menyasarkan untuk melengkapkan pelabur dengan pengetahuan kewangan bagi membantu mereka membuat keputusan pelaburan termaklum.

YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, menyampaikan ucapan pembukaan pada Bersama InvestSmart® @Sarawak. Acara yang dihadiri oleh pemimpin kanan negeri dan ketua-ketua industri kewangan itu diadakan di Vivacity Megamall, Kuching pada 17 hingga 18 September.

Dengan tema ‘Silap Labur Duit Lebur’, acara tersebut menampilkan 28 peserta pameran termasuk Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, Pentadbir Pencen Swasta Malaysia, SME Corp dan SME Bank.

Sejak penubuhannya pada 2014, InvestSmart® telah mengadakan penglibatan bersama hampir dua juta orang melalui pelbagai platform seperti seminar, jerayawara, dan pembabitan komuniti serta saluran digital.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata Sarawak yang kaya dengan sumber berada dalam kedudukan yang kukuh untuk membantu memacu agenda kemampanan.

“Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli dan mempunyai potensi besar,” katanya ketika pelancaran Bersama InvestSmart® @Sarawak hari ini. “Kaya dengan alam semula jadi, Sarawak mempunyai kelebihan yang ketara untuk berada di ruang ini, termasuk dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui dan karbon. Saya secara peribadinya amat teruja berada di sini pada hari ini atas sebab itu,” katanya.

SC turut menganjurkan forum di Kuching pada 19 September untuk mempromosikan pelaburan dan pembiayaan yang mampan dan bertanggungjawab. Forum itu akan membincangkan bagaimana agensi dan perniagaan negeri di Sarawak boleh memanfaatkan sukuk kemampanan dan pasaran bon dalam menangani aspek ESG.

Forum itu merupakan sebahagian daripada ‘Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal NaviGate’, program utama SC yang diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran tentang keterhubungan (connectivity) antara pasaran modal dan syarikat yang mencari saluran pembiayaan untuk inisiatif kemampanan mereka.

SC juga mengadakan sesi panel khas mengenai ‘Pembiayaan Alternatif’ untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk membantu mendidik mereka mengenai pelbagai pilihan pembiayaan alternatif dan mampan.

Pilihan tersebut termasuk pembiayaan melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) untuk membantu membiayai dan mengembangkan perniagaan mereka.

Semasa di Sarawak, SC juga menganjurkan program Agen Bijak Labur Desa(ABJAD) sebagai sebahagian daripada inisiatif jangkauan awamnya untuk penduduk luar bandar. Program tersebut telah diadakan di SMK Muara Tuang, Samarahan dan SMK Lundu.

Program klinik digital untuk golongan B40 di kawasan bandar turut diadakan di Pusat Ekonomi Digital di PPR Taman Sri Wangi di Kuching. Ini adalah bagi membantu meningkatkan celik digital dalam kalangan isi rumah B40 dan pada masa yang sama melindungi mereka daripada menjadi mangsa penipuan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


1 Di bawah program ABJAD, pelajar sekolah menengah di kawasan luar bandar yang dikenal pasti di seluruh negara menyertai modul literasi kewangan dan literasi digital menggunakan platform e-pembelajaran. Setelah selesai, pelajar dikehendaki membimbing ahli keluarga untuk melengkapkan modul e-pembelajaran, dan seterusnya menyampaikan pengetahuan kepada ahli keluarga yang lain.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup