Kementerian Pendidikan Tinggi Dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Jalin Memorandum Persefahaman Bangun Program Graduan Pasaran Modal

Kuala Lumpur, 10 April 2023

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangun bersama Program Graduan Pasaran Modal atau Capital Market Graduate Programme (CMGP).

CMGP bertujuan meningkatkan ilmu dan kebolehpasaran seramai 9,000 graduan universiti awam dan swasta terutamanya bagi industri pasaran modal dalam tempoh tiga tahun. Ianya juga dibiayai melalui peruntukan sebanyak RM30 juta oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) iaitu sebuah dana yang diurus oleh industri pasaran modal sendiri.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SC, YBhg. Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang turut menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi iaitu Encik Ahmad Rizal Adnan serta disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

CMGP yang dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat, diterajui oleh SC dengan kerjasama KPT, Kementerian Kewangan Malaysia, Bursa Malaysia dan wakil-wakil kanan industri pasaran modal.

Program yang dijangka mampu menampung kekurangan tenaga kerja mahir di industri pasaran modal ini akan dapat membantu menghasilkan graduan yang lebih bersedia untuk diterap ke dalam pasaran modal tersebut. Ini sekaligus akan mengurangkan defisit tenaga mahir di pasaran modal, seterusnya mempertingkatkan kebolehpasaran graduan.

Antara skop kerjasama yang digariskan dalam MoU tersebut adalah:

  1. Meningkatkan kesedaran terhadap peluang kerjaya pelbagai disiplin berkenaan industri pasaran modal dalam kalangan graduan di Malaysia;
  2. Membina kapasiti asas dalam kalangan graduan dalam bidang yang berkaitan dengan pasaran modal di Malaysia;
  3. Mempromosikan CMGP melalui penganjuran ceramah dan pameran kerjaya bagi membangunkan saluran bakat graduan yang konsisten bagi pasaran modal di Malaysia;
  4. Bekerjasama dengan wakil-wakil kanan Bursa Malaysia dan industri pasaran modal, serta Naib Canselor daripada universiti tempatan utama dengan penuh komitmen dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti teras dan utama CMGP; dan
  5. Mengenal pasti graduan yang berkelayakan untuk mengambil bahagian dalam program berstruktur yang dikelolakan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) dan Program Pembangunan Kepimpinan dan Penempatan Kerja CMGP.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup