Kenyataan Agar Berhati-Hati Terhadap Tawaran Syiling Awal (Initial Coin Offerings)
19 Januari 2018   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengingatkan orang ramai mengenai skim tawaran syiling awal (ICO) yang membabitkan aktiviti yang tertakluk kepada undang-undang yang ditadbir oleh pihak SC dan BNM. Menjalankan aktiviti sedemikian tanpa kebenaran yang sewajarnya adalah satu kesalahan.
Penerbit ICO diingatkan bahawa melancarkan suatu ICO, penawaran token digital sebagai pertukaran bagi mata wang digital atau apa-apa bentuk pembayaran dan aktiviti yang seumpamanya, tertakluk kepada keperluan kawal selia di bawah undang-undang sekuriti. Di samping itu, mana-mana individu tidak dibenarkan untuk menjalankan apa-apa aktiviti yang dikawal selia seperti pengumpulan dana, pengurusan dana dan berurus niaga dalam produk pasaran modal tanpa mendapatkan kelulusan yang diperlukan atau kebenaran daripada SC.

Pengendali ICO juga adalah dilarang daripada menjalankan aktiviti yang dikawal selia seperti pengambilan deposit dan perniagaan perbankan, aktiviti dan pembayaran pentadbiran pertukaran asing, tanpa kebenaran yang diperlukan di bawah undang-undang perkhidmatan kewangan yang ditadbir oleh BNM.
Orang ramai adalah diingatkan agar berhati-hati sebelum menyertai mana-mana ICO dan dinasihatkan agar merujuk kepada senarai institusi yang dilesenkan atau diluluskan untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia di bawah undang-undang yang ditadbir oleh SC dan BNM.

Kedua-dua pihak berkuasa tersebut akan terus memantau perkembangan ini, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menjalankan aktiviti tidak sah atau tidak dibenarkan.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
BANK NEGARA MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup