Kenyataan Bersama Bank Negara Malaysia and Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Perkembangan di Mesyuarat ke-9 Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim

Kuala Lumpur, 7 Disember 2022

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengadakan mesyuarat kali kesembilannya pada 2 Disember 2022.

JC3 terus menyokong usaha untuk mengukuhkan pengurusan risiko berkaitan iklim serta meningkatkan aliran kewangan ke arah aktiviti yang lebih hijau dan mampan bagi sektor kewangan.

Pada mesyuarat ini, ahli JC3 meluluskan penerbitan Katalog Data (Data Catalogue, DC) dan Laporan Iringan mengenai ketersediaan dan jurang data serta cadangan untuk menangani jurang data. DC ini merupakan langkah mustahak bagi menangani keperluan data yang sangat penting bagi sektor kewangan. DC akan menjadi sumber rujukan mengenai ketersediaan dan kebolehcapaian data iklim dan persekitaran, berdasarkan senarai keutamaan kes penggunaan sektor kewangan. Katalog Data ini telah menyerlahkan jurang data yang penting, dengan hanya 49% item data yang diperlukan untuk kes penggunaan keutamaan tersedia pada masa ini. Daripada jumlah ini, sebahagian besar data yang tersedia tidak mempunyai butiran yang mencukupi, manakala data semasa yang ada pula tidak mudah diakses atau dibandingkan. Susulan penerbitan DC, JC3 akan menumpukan usaha pada tahun 2023 untuk bekerjasama dengan penyedia data yang berkaitan bagi menyelesaikan isu kebolehcapaian data serta meningkatkan kualiti, kebolehbandingan dan ketekalan sumber data sedia ada. Berikutan jurang data yang ketara, JC3 juga bersetuju untuk bekerjasama dengan penyedia data utama tentang strategi mengurangkan jurang data dengan ketara dengan mengambil kira perkembangan tempatan dan global mengenai kemampanan dan penzahiran1  berkaitan iklim. Katalog Data dan laporan ini boleh didapati melalui [1, 2] pada 16 Disember 2022.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kewangan hijau dan mampan, JC3 telah membincangkan rancangan untuk membangunkan dan melancarkan beberapa program rintis pada tahun 2023 yang akan diberikan keutamaan di bawah Jawatankuasa Kecil Produk dan Inovasi. Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Jessica Chew berkata, “Bagi PKS, pelancaran program Penghijauan Rantaian Nilai oleh Bank Negara Malaysia dengan kerjasama JC3 baru-baru ini merupakan contoh projek rintis bagi membantu PKS melaksanakan perubahan jangka panjang dalam usaha menghijaukan operasi mereka. JC3 akan secara aktif mengusahakan lebih banyak projek rintis yang memberikan impak yang tinggi terhadap peluasan kewangan mampan dan kewangan peralihan, termasuk projek yang boleh mewujudkan kesan contoh (demonstration effects) positif dan seterusnya membangunkan ekosistem untuk kewangan mampan dan kewangan peralihan. Inisiatif ini merupakan langkah penting untuk Malaysia mencapai Sifar Bersih menjelang tahun 2050.”

JC3 juga akan terus memberikan tumpuan pada keutamaan berikut menerusi jawatankuasa kecil mengenai pengurusan risiko, tadbir urus dan penzahiran, serta penglibatan dan pembinaan keupayaan pada tahun 2023:

  • Meluaskan kes penggunaan bagi penerapan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy, CCPT) untuk merangkumi kes penggunaan khusus sektor/projek berdasarkan Panduan Sektoral VBIAF2 . JC3 juga akan menjalankan semakan tematik terhadap pelan peralihan dan amalan iklim institusi kewangan, dengan tujuan untuk berkongsi amalan utama dan menilai kesan pelan peralihan institusi kewangan terhadap perniagaan, terutamanya dalam sektor yang sukar dihentikan.
  • Menyelaraskan Panduan Permohonan TCFD3  untuk Institusi Kewangan Malaysia4 dengan keperluan penzahiran International Sustainability Standards Boards (ISSB) sebaik sahaja dimuktamadkan. JC3 juga menyokong Capital Markets Malaysia (CMM), iaitu syarikat sekutu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, untuk membangunkan Panduan Penzahiran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environment, Social and Governance, ESG) (Panduan) khusus untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia. Panduan ini akan memberikan panduan secara praktik dan dedahan garis dasar yang dikehendaki daripada PKS berhubung dengan ESG, bagi menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi dan meningkatkan kualiti penzahiran ESG PKS.
  • Membangunkan Kurikulum Perubahan Iklim untuk institusi kewangan bagi menyediakan struktur program yang lebih tersusun dan khusus untuk program latihan berkaitan iklim. Kurikulum ini bertujuan memudahkan pembangunan laluan latihan berstruktur bagi institusi kewangan membina keupayaan teknikal merentas semua peringkat dalam topik dan perkembangan berkaitan iklim. JC3 akan bekerjasama rapat dengan penyedia latihan yang berpotensi dan mengkaji akreditasi yang berkaitan untuk kurikulum latihan bagi memastikan kualiti latihan dan membolehkan pengiktirafan latihan yang berkaitan di seluruh industri.

Ahli JC3 turut membincangkan peranan sektor kewangan dalam memudahkan peralihan tenaga. Unit Perancang Ekonomi (Economic Planning Unit, EPU) membentangkan gambaran keseluruhan Dasar Tenaga Negara yang dikeluarkan baru-baru ini serta empat teras strategiknya. Salah satu terasnya adalah untuk meningkatkan sumbangan sektor tenaga ke arah kelestarian alam sekitar. Ahli JC3 mengambil maklum akan kepentingan menyelaraskan sasaran di bawah Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050. Ahli JC3 juga bertukar-tukar pandangan dengan PETRONAS mengenai laluan pelepasan karbon sifar bersihnya serta diberi taklimat oleh Bursa Malaysia mengenai Pasaran Karbon Sukarela yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Menurut Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, “Dasar dan pelan tindakan oleh peserta utama sektor tenaga akan meningkatkan gesaan untuk tindakan segera serta keperluan pembiayaan dan pelaburan sebagai salah satu penggerak utama yang menyokong pelaksanaan inisiatif strategik. Sektor kewangan mempunyai peranan penting dalam menyediakan pembiayaan hijau dan pelaburan mampan, iaitu bidang yang sedang diterokai JC3 untuk memudahkan peralihan yang adil dan teratur bagi Malaysia.”

JC3 juga mengalu-alukan penyertaan enam5 persatuan industri serta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan sebagai pemerhati.


1 Termasuk standard yang dikeluarkan oleh International Sustainability Standards Board (ISSB) dan penzahiran yang sejajar dengan TCFD mandatori oleh institusi kewangan berlesen mulai tahun 2024
2  Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantaraan Berasaskan Nilai
3 Pasukan Petugas Mengenai Penzahiran Kewangan Berkaitan Iklim
4 DiIkeluarkan pada 29 Jun 2022
5 Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), Malaysian Takaful Association (MTA), Persekutuan Pengurus-pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) dan Persatuan Pengurus Aset Malaysia (MMA)

BANK NEGARA MALAYSIA

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup