Kenyataan Bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Perkembangan di Mesyuarat Ke-8 Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim

KENYATAAN MEDIA BERSAMA
Kuala Lumpur, 1 September 2022

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengadakan mesyuarat kali kelapannya pada 29 Ogos 2022.

Jawatankuasa mengkaji semula kerja yang sedang dijalankan oleh jawatankuasa kecil1 yang ditubuhkan di bawah JC3 dan mengambil maklum bahawa dengan peningkatan kesedaran dan usaha dalam kalangan institusi kewangan untuk mengukuhkan tindak balas terhadap risiko iklim, permintaan untuk alat praktikal dan gesaan untuk menangani jurang-jurang yang utama untuk menyokong peralihan juga telah meningkat.

Jawatankuasa akan terus memberikan tumpuan pada keutamaan yang berikut:

  • Institusi kewangan telah menyerahkan laporan pertama mereka mengenai penggunaan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy, CCPT) kepada Bank Negara Malaysia. Walaupun institusi kewangan telah menunjukkan keupayaan untuk menilai pembiayaan dan pelaburan baharu berdasarkan CCPT, JC3 melalui Kumpulan Pelaksana CCPT (CCPT Implementation Group, CCPT IG) telah bekerjasama dengan industri dan rakan kerjasama untuk meningkatkan ketekalan dan kualiti pengelasan di bawah CCPT bagi pembiayaan dan pelaburan kewangan terkumpul yang sedia ada. Jurang maklumat bagi dedahan sedia ada terus memberikan cabaran terbesar. CCPT IG akan menerbitkan dan mengekalkan Soalan Lazim tentang Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy FAQ, CCPT FAQ) mengenai isu penggunaan bagi menggalakkan amalan yang lebih konsisten dalam kalangan institusi kewangan. CCPT IG juga telah menghasilkan soal selidik usaha bersama-sama dengan World Wide Fund (WWF) Malaysia mengenai prinsip panduan CCPT terpilih. Soal selidik ini bertujuan membantu institusi kewangan mendapatkan maklumat penting daripada pelanggan mereka dan pihak lain yang berkenaan dengan cara yang lebih konsisten. Tindakan ini akan menggalakkan pengelasan aktiviti sokongan dan peralihan iklim yang lebih mantap serta mengurangkan bebanan tambahan ke atas pelanggan dan pihak lain yang berkenaan untuk memberikan maklumat seperti itu kepada berbilang institusi kewangan.
  • Susulan penerbitan oleh TCFD2tentang Panduan Permohonan untuk Institusi Kewangan Malaysia3, JC3 kini membantu Capital Markets Malaysia (CMM), syarikat sekutu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, untuk membentuk Panduan Dedahan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Panduan) Khusus untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Panduan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan akses kepada maklumat mengenai daya tahan perniagaan terhadap risiko berkaitan ESG bagi memastikan penggunaan yang praktikal oleh PKS dan perniagaan yang lebih besar. Ahli-ahli JC3 menekankan kepentingan bagi insiatif penzahiran yang dilaksanakan oleh JC3 adalah sejajar dengan rangka kerja penzahiran global termasuk rangka kerja yang sedang dibangunkan oleh International Sustainability Standards Board (ISSB). Rangka kerja ini bertujuan untuk menggalakkan perbandingan dan mengurangkan kos kepatuhan bagi perniagaan dan institusi kewangan pada masa hadapan.
  • JC3 mengalu-alukan terbitan Rangka Kerja Sukuk berkaitan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment, SRI) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 30 Jun 2022 bagi memudahkan syarikat menerbitkan Sukuk berkaitan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab untuk menyokong peralihan mereka ke arah aktiviti rendah karbon. Lebih banyak institusi kewangan juga sedang menambahkan penawaran produk dan penyelesaian hijau mereka. Bagi meningkatkan lagi rangkaian tawaran kewangan mampan oleh institusi kewangan, JC3 mengkaji secara aktif tentang program perintis yang bersesuaian bagi menguji penyelesaian dan instrumen hijau seperti pembiayaan gabungan (blended finance) untuk menyokong pembangunan projek-projek mesra iklim
  • Katalog Data terus dibangunkan oleh JC3 mengikut jadual untuk diterbitkan menjelang akhir tahun 2022. Katalog ini akan diiringi oleh laporan ringkas tentang ketersediaan data, jurang dan cadangan khusus untuk merapatkan jurang data. Katalog data ini merupakan pencapaian penting JC3 bagi menangani keperluan data sektor kewangan dengan memberikan pengguna sumber yang boleh diyakini berhubung dengan data iklim penting yang diperlukan untuk menyokong kes penggunaan yang dikenal pasti. Walau bagaimanapun, penting untuk menyedari bahawa jurang yang nyata masih wujud dalam sumber data yang sedia ada. Hal ini sebahagiannya disebabkan oleh halangan dari segi undang-undang berhubung dengan perkongsian data. JC3 juga mengesahkan pengaturan tadbir urus bagi mengekalkan dan mengemaskinikan katalog data pada masa hadapan. Memandangkan data terus menjadi cabaran utama, JC3 terus aktif mengadakan libat urus dan bekerjasama dengan kementerian yang berkaitan dan pihak berkepentingan lain bagi meningkatkan ketercapaian data iklim yang berkualiti, setanding dan konsisten. JC3 akan terus mengkaji penyelesaian kepada perkara ini termasuk modaliti data terbuka dan platform data iklim.

Ahli-ahli JC3 turut berbincang mengenai World Bank Group (WBG) and Asian Development Bank (ADB) – Climate Risk Country Profile: Malaysia Report (laporan boleh didapati di  sini). Laporan tersebut menggariskan risiko iklim negara Malaysia dan menyorot kesan bermulanya perubahan iklim yang pantas dan untuk jangka panjang ke atas masyarakat, mata pencarian dan ekonomi. Ahli-ahli JC3 berbincang tentang implikasinya terhadap institusi kewangan dan tindak balas mereka kepada perubahan iklim termasuk keutamaan penerapan dengan memberikan tumpuan khusus kepada kesihatan manusia, sektor pertanian dan zon perairan pantai.

Jessica Chew, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, berkata, “Kami gembira bahawa institusi kewangan semakin memberikan tumpuan dan mengambil tindakan nyata untuk menguruskan risiko berkaitan iklim. Walau bagaimanapun, kemajuan selanjutnya juga akan sangat bergantung pada pendorong utama, termasuk ketercapaian data dan pelaksanaan penzahiran yang lebih baik. JC3 terus komited untuk menangani cabaran ini seiring dengan peningkatan usaha untuk mempercepatkan kewangan peralihan (transition finance).”

JC3 akan terus mengadakan libat urus dengan pihak kementerian, agensi kerajaan dan korporat yang berkaitan untuk mengenal pasti keperluan pembiayaan mampan dan pembiayaan berkaitan iklim yang boleh digembleng melalui sektor kewangan. Menurut Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, “Dalam usaha memajukan tindakan iklim di Malaysia, penting bagi JC3 untuk mengadakan libat urus dan bekerjasama erat dengan pihak berkepentingan yang berkaitan. Bagi tujuan ini, JC3 telah menjalankan beberapa sesi libat urus, termasuk bermesyuarat dengan empat kementerian utama pada bulan Julai untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan. Libat urus sedemikian telah memperjelas rancangan dan inisiatif negara yang boleh dilaksanakan dengan kerjasama antara sektor kewangan dengan Kerajaan. Kedua-dua pihak boleh menyelaraskan tindakan iklim mereka dalam membangunkan ekosistem yang kondusif untuk kewangan mampan terus berkembang.”


Pengurusan Risiko; Tadbir Urus dan Penzahiran; Produk dan Inovasi; Penglibatan dan Pembinaan Keupayaan; dan Menangani Jurang Data

Task Force on Climate-related Financial Disclosures

Issued on 29 June 2022

BANK NEGARA MALAYSIA
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
1 September 2022

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup