Kenyataan Bersama Mengenai Mesyuarat Dua Hala Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Ke-16
23 April 2019   |   Kuala Lumpur
Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengadakan pertemuan hari ini di Mesyuarat Dua Hala Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Ke-16 untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai bidang kepentingan bersama kedua-dua pihak berkuasa, termasuk inisiatif berkaitan dengan kemampanan, pengawalan terhadap aset digital dan daya tahan pasaran kewangan.

BNM dan SC telah berbincang mengenai inisiatif berkaitan dengan agenda kemampanan, terutamanya Rangka Kerja Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment Framework, SRI) SC dan Strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation Strategy, VBI) BNM. Memandangkan SRI dan VBI adalah sejajar, kedua-dua pengawal selia bersetuju untuk memulakan kajian penyelidikan secara bersama untuk membentuk taksonomi yang jelas mengenai aktiviti ekonomi yang mampan, bermula dengan aktiviti pemerolehan dana dan amalan pemberian pinjaman. Satu lagi bidang yang sedang dikaji ialah pemahaman mengenai penyebaran risiko berkaitan dengan iklim dan alam sekitar terhadap sistem kewangan dan ekonomi, serta penggunaan sebahagian output sesuatu situasi untuk input baharu (feedback loop). Inisiatif ini merupakan lanjutan kepada kerjasama yang sedia ada antara kedua-dua pihak berkuasa dalam bidang kepentingan strategik negara, khususnya dalam Kewangan Islam.

Berhubung dengan pengawalan terhadap aset digital, kedua-dua pihak berkuasa tersebut telah memeterai pengaturan penyelarasan yang akan memudahkan inovasi industri, aktiviti pemerolehan dana bagi syarikat yang baru memulakan operasi dan perdagangan aset digital. Pengaturan ini juga akan menyokong pengawasan aktiviti aset digital dan memastikan risiko sistemik dan langkah-langkah integriti kewangan terus berkesan.

BNM dan SC juga membincangkan perkembangan terkini pasaran kewangan dan mendapati pasaran kewangan Malaysia kekal berdaya tahan. Keadaan pasaran modal, pasaran pertukaran asing (foreign exchange, FX) dan pasaran wang terus teratur, disokong oleh mudah tunai domestik yang lebih daripada mencukupi, infrastruktur pasaran yang teguh dan asas makroekonomi yang kukuh.

Khususnya, pasaran bon Malaysia terus memberangsangkan dengan pasaran sekunder yang mendalam dengan jumlah dagangan harian purata sebanyak RM5.4 bilion setakat tahun ini berbanding dengan purata tiga tahun yang lalu sebanyak RM3.6 bilion. Mudah tunai dalam pasaran FX mencatatkan jumlah dagangan harian purata yang mampan sebanyak USD12 bilion, dengan akaun swap FX dan akaun pasaran hadapan mencakupi hampir separuh daripada jumlah purata. Peningkatan aktiviti perlindungan nilai yang dinamik oleh pelabur institusi global telah menjadikan akses kepada pasaran yang lebih baik dan seterusnya menambah mudah tunai dalam pasaran hadapan FX.

BNM dan SC akan terus mengadakan perbincangan dengan peserta utama pasaran dan pengantara untuk menambah kedalaman dan keluasan pasaran kewangan Malaysia. Ini bagi memastikan pasaran boleh terus diakses dan pada masa yang sama kestabilan dan ketelusan pasaran kekal terpelihara.

BANK NEGARA MALAYSIA
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup