Kenyataan Bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Mempercepat Tindak Balas Sektor Kewangan Terhadap Risiko Iklim

27 April 2022  |  Kuala Lumpur

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengadakan mesyuarat kali ketujuhnya pada 26 April 2022. Mesyuarat ini memberikan tumpuan pada kemajuan pelan tindakan dan keutamaan untuk tahun 2022, serta kesan perkembangan global terkini ke atas usaha peralihan dan tindak balas dasar oleh negara-negara. Ahli-ahli JC3 mengambil maklum bahawa perkembangan ini mungkin melambatkan kemajuan usaha peralihan dan menekankan perlunya sektor kewangan memantapkan tindak balasnya terhadap perubahan iklim.

Perkembangan penting berhubung dengan usaha jawatankuasa kecil yang ditubuhkan di bawah JC3 termasuk:

  • Menyumbang kepada draf dedahan oleh Bank Negara Malaysia mengenai Pengurusan Risiko Iklim dan Analisis Senario yang dikeluarkan pada bulan Disember 2021. Draf dedahan tersebut menetapkan jangkaan kawal selia dalam pengurusan risiko berkaitan dengan iklim oleh bank-bank, penanggung insurans dan pengendali takaful. Tindakan ini akan melengkapkan pelaksanaan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy, CCPT) oleh institusi kewangan serta rancangan yang sedang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia untuk melaksanakan ujian tekanan berkaitan iklim bagi sektor kewangan pada tahun 2024. Draf dedahan tersebut dijangka dimuktamadkan pada separuh kedua tahun 2022.
  • Menerbitkan Panduan Permohonan Penzahiran Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) Pasukan Petugas untuk Institusi Kewangan Malaysia pada bulan Mac 2022 bagi mendapatkan maklum balas orang ramai. Panduan ini menggariskan saranan utama dan menyediakan panduan bagi membantu institusi kewangan membuat persediaan untuk penzahiran berkaitan iklim.
  • Memulakan kerja bagi membangunkan Panduan Penzahiran Iklim untuk Perniagaan di Malaysia. Panduan ini bertujuan meningkatkan kualiti dan akses kepada maklumat tentang daya tahan perniagaan terhadap risiko berkaitan iklim, seterusnya menggalakkan aliran kewangan kepada tindakan mitigasi dan penyesuaian, antaranya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ahli-ahli juga bersetuju untuk mengenal pasti isu yang menyeluruh dan strategik yang berpunca daripada draf dedahan yang dikeluarkan oleh International Sustainability Standards Board (ISSB) mengenai Standard Penzahiran Mampan dan cadangan memberi tindak balas kolektif kepada ISSB, terutamanya dari perspektif ekonomi membangun.
  • Menyempurnakan siri pertama program latihan peringkat khusus untuk sektor kewangan - meliputi pelaksanaan dan aplikasi CCPT, analisis senario dan ujian tekanan. Siri seterusnya akan memberikan tumpuan pada tadbir urus dan pelaporan. Bengkel mengenai aplikasi data dan pelaksanaan TCFD akan turut diadakan.
  • • Kemajuan seterusnya dicapai dalam pembangunan katalog data untuk rujukan sektor kewangan. Katalog itu akan mengenal pasti dan memetakan sumber data iklim yang tersedia untuk menyokong keperluan data yang sangat penting bagi kes penggunaan yang dikenal pasti termasuk keputusan pelaburan dan pinjaman, pemodelan makroekonomi, ujian tekanan, analisis senario dan pembangunan produk.
  • • Menerbitkan Laporan Landskap Kewangan Mampan di Malaysia [Laporan], yang menyorot pandangan utama daripada program jangkauan yang meluas dan tinjauan amalan kelestarian dalam kalangan institusi kewangan di Malaysia yang dilaksanakan oleh JC3 pada tahun 2021. Laporan itu menilai keadaan semasa amalan kelestarian dan penawaran produk dalam sektor kewangan, serta menyerlahkan peluang dan cabaran bagi industri kewangan untuk menyokong peralihan iklim secara bermakna.

Menurut Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Timbalan Ketua Eksekutif, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, "Institusi kewangan sedang memulakan langkah untuk mengambil kira risiko iklim dalam strategi dan rangka kerja pengurusan risiko mereka, dan sedang mencapai kemajuan yang besar dalam komitmen kepada sasaran Sifar Bersih. Terdapat juga peningkatan bekalan produk kewangan dan pelaburan hijau di pasaran. Dalam memacu agenda kelestarian, tiga cabaran utama yang dikenal pasti dalam laporan itu ialah kualiti dan ketersediaan data yang lemah, kekurangan insentif dan tahap kesedaran yang rendah tentang penyelesaian kewangan hijau dalam pasaran. Usaha bersepadu diperlukan bagi menangani cabaran ini untuk mempercepat kadar peralihan dan menyokong peralihan yang teratur ke arah Sifar Bersih."

Mengulas lebih lanjut tentang status inisiatif-inisiatif JC3 lain, Jessica Chew, Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, berkata “Penerbitan draf Panduan Pelaksanaan dan usaha yang dilakukan pada katalog data adalah tepat pada masanya kerana institusi kewangan sedang bersiap sedia untuk melaksanakan penzahiran risiko kewangan berkaitan iklim yang sejajar dengan TCFD mandatori pada tahun 2024. Kami menjangkakan institusi kewangan akan menerima pakai saranan yang melebihi kelaziman yang ditetapkan dalam Panduan Pelaksanaan untuk menggalakkan kesan positif yang cepat dan meluas ke atas kegiatan ekonomi yang melibatkan sektor kewangan. Berikutan kesan kewangan yang ketara daripada risiko berkaitan iklim, panduan ini juga akan meningkatkan ketelusan pasaran berhubung dengan cara institusi kewangan menyepadukan pertimbangan risiko iklim ke dalam keputusan perniagaan dan pengurusan risiko.”


Ahli-ahli JC3 turut membincangkan CEO Action Network (CAN) – Climate Governance Malaysia (CGM) mengenai Report on Exploring a Low Emissions Pathway for Malaysia (laporan boleh didapati di sini) dan mempertimbangkan cara selanjutnya untuk sektor kewangan memberikan sumbangan bagi menyokong haluan pelepasan rendah (low emissions pathway) untuk Malaysia, serta mengambil maklum bahawa keperluan perundangan dan struktur yang lebih luas kekal menjadi faktor yang sangat penting.

Ahli-ahli JC3 mengalu-alukan rancangan Komuniti Pengamal bagi Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation Community of Practitioners, VBI COP) untuk melaksanakan panduan sektoral VBIAF kohort ketiga yang akan memberikan tumpuan pada sektor perlombongan dan kuari, pertanian, pengangkutan dan penyimpanan serta pengurusan sisa. Panduan ini menjadi pelengkap kepada panduan sektoral untuk enam sektor/aktiviti yang telah dikeluarkan setakat ini. JC3 akan terus aktif menggalakkan penjajaran antara VBIAF dengan CCPT.

Pada mesyuarat ini, ahli-ahli JC3 turut mengalu-alukan penyertaan dua ahli baharu daripada pasaran modal dan tiga pemerhati baharu dalam jawatankuasa itu.

BANK NEGARA MALAYSIA
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup