Keperluan Penyenaraian Yang Lebih Ketat Di Papan Kedua

Kuala Lumpur, 9 Mac 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan bahawa ia sedang menjalankan kajian semula ke atas bagi keperluan penyenaraian di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), seperti yang termaktub di dalam Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti SC, dengan tujuan memperketatkan lagi keperluan tersebut. Ini adalah untuk memastikan bahawa standard penyenaraian tetap bersesuaian dan bersaing dan pada masa yang sama memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada pelabur awam. Penghujung suku tahun pertama 1999 merupakan sasaran bagi kajian semula ini disiapkan dan keperluan baru dijangka menjadi efektif bermula dari bulan April tahun ini.

Dalam mengkaji semula keperluan penyenaraian, keputusan telah dibuat untuk mempertingkatkan keperluan minimum modal berbayar dan diterbitkan syarikat-syarikat yang ingin disenaraikan di Papan Kedua dari jumlah sekarang, iaitu RM10.0 juta, ke RM40.0 juta. Semakan ini bertujuan untuk meningkatkan pengapungan bebas dan kecairan syarikat tersenarai di Papan Kedua.

Terdapat sejumlah 47 permohonan bagi penyenaraian di Papan Kedua yang belum dipertimbangkan oleh SC. Dari jumlah itu, 29 syarikat pemohon telah meminta agar pertimbangan bagi permohonan mereka ditangguhkan. Sehubungan dengan pindaan terhadap keperluan modal saham minimum, SC ingin memaklumkan bagaimana permohonan penyenaraian di Papan Kedua yang masih belum dipertimbangkan akan dikendalikan seperti berikut:

  1. Bagi 29 syarikat pemohon yang telah meminta agar pertimbangan bagi permohonan mereka ditangguhkan, permohonan tersebut akan dipulangkan kepada penasihat korporat mereka. Penyerahan semula permohonan kepada SC hanya seharusnya dibuat apabila kajian semula keseluruhan keperluan penyenaraian telah disiapkan oleh SC, di mana permohonan yang dibuat hendaklah mematuhi keperluan penyenaraian baru; dan
  2. Bagi 18 syarikat pemohon yang selebihnya, permohonan mereka akan ditangguhkan sehingga kajian semula keseluruhan keperluan penyenaraian disiapkan oleh SC. Permohonan yang mematuhi keperluan penyenaraian yang baru akan diproses sementara permohonan yang sebaliknya akan dipulangkan kepada penasihat korporat mereka.

SC akan hanya menerima permohonan baru penyenaraian di Papan Kedua apabila kajian semula telah disiapkan oleh SC dan permohonan tersebut patuh kepada keperluan penyenaraian baru.

Syarikat tersenarai yang sedia ada di Papan Kedua dikehendaki untuk meningkatkan keperluan modal berbayar dan diterbitkan kepada sekurang-kurangnya RM40.0 juta. Pada masa ini, hanya 28, atau 9.9% dari 283 syarikat tersenarai di Papan Kedua mempunyai modal berbayar dan diterbitkan sebanyak RM40.0 juta atau lebih. Oleh yang demikian, tempoh masa akan diberi kepada syarikat tersenarai di Papan Kedua untuk mematuhi keperluan baru tersebut. Tempoh masa yang bersesuaian akan ditetapkan dan diumumkan sebaik sahaja keseluruhan kajian semula penyenaraian disiapkan. Walau bagaimanapun syarikat tersenarai yang sedia ada di Papan Kedua yang tidak mempunyai modal berbayar dan diterbitkan sebanyak RM40.0 juta hendaklah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk meningkatkan saiz modal saham bagi mematuhi keperluan baru.

Syarikat yang telah diluluskan oleh SC bagi penyenaraian di Papan Kedua tetapi penyenaraian yang sebenarnya masih belum selesai, dibenarkan untuk meneruskan skim penyenaraian mereka berdasarkan saiz modal yang telah diluluskan. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat tersebut mestilah patuh kepada keperluan saiz modal minimum yang baru selepas penyenaraian mereka tetapi di dalam tempoh masa yang sama yang diberikan kepada syarikat tersenarai yang sedia ada di Papan Kedua.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diterbitkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan, sila hubungi Jabatan Hal-Ehwal Korporat di no. tel. 03-654 8513 (Ann Teoh) atau no. faks 03-651 5078
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup