Kerjasama Antara SC dan MIMOS Mengenai Keupayaan Data Besar Dalam Pasaran Modal
1 Disember 2016   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MIMOS, pusat penyelidikan dan pembangunan ICT negara, untuk bersama-sama membangunkan platform analisis lanjutan pasaran modal.

Melalui kerjasama dengan MIMOS ini, SC berupaya untuk memanfaatkan teknologi baharu untuk memproses jumlah data yang lebih besar daripada pelbagai sumber melangkaui set data yang biasa, memudahcarakan penggunaan RegTech atau teknologi untuk meningkatkan kecekapan pengawalseliaan, dan membina keupayaan Data Besar Malaysia dalam pasaran modal.

SC merupakan antara pengawal selia yang pertama di rantau ASEAN yang melaksanakan dan membangunkan analisis lanjutan bagi membantu dan melengkapi kerja-kerja kawal selianya.

MoU tersebut telah ditandatangani hari ini oleh Pengerusi SC, Tan Sri Dato' Seri Ranjit Ajit Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Datuk Abdul Wahab Abdullah di bangunan SC.

Ranjit berkata bahawa bagi meningkatkan keupayaan penilaian risiko, pemantauan dan pengawasan SC, kami telah mula meningkatkan lagi dan mengguna pakai penyelesaian RegTech bagi menghadapi cabaran kawal selia dan pencapaian hasilnya.

"Untuk ini, kita memerlukan data yang terkini, menyeluruh dan berkualiti dengan keupayaan analisis lanjutan bagi menyokong pendekatan yang lebih berasaskan fakta dan maklumat terperinci terhadap kerja-kerja pemantauan dan penyelidikan. Kerjasama antara SC dan MIMOS ini akan memberikan SC keupayaan teknologi untuk memperoleh dan memproses sebilangan data berstruktur dan tidak berstruktur, dan membolehkan analisis senario dan persekitaran yang lebih tepat dijalankan bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci" kata Ranjit.

Abdul Wahab berkata: "MIMOS berbangga untuk menjadi rakan strategik SC dalam pembangunan RegTech dan MoU ini menjadi asas bagi kerjasama yang lebih erat antara MIMOS dan SC dalam membina keupayaan data besar untuk negara."

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
MIMOS


Ooops!
Generic Popup