Langkah tersebut akan memendekkan kelewatan di antara tarikh dagangan dan tarikh penyelesaian, dengan itu, meningkatkan kecekapan, mengurangkan risiko dan memberikan keyakinan yang tinggi terhadap keselamatan dan keteguhan sistem penjelasan dan penyelesaian sekuriti Malaysia. Ia juga akan menyelaraskan jangka waktu penyelesaian tempatan dengan norma yang diterima pakai di peringkat antarabangsa, dan dengan itu, meningkatkan daya saing antarabangsa Malaysia.
Sekarang ini, dagangan di BSKL dan MESDAQ diselesaikan lima hari selepas tarikh dagangan (dikenali sebagai T+5). Dengan pelaksanaan kitaran penyelesaian yang lebih singkat, tarikh penyelesaian tersebut akan diubah untuk dilakukan tiga hari selepas tarikh dagangan (T+3). Ini bermakna bahawa seseorang penjual dikehendaki menyerahkan sekuriti yang dijual pada hari urus niaga ketiga selepas tarikh dagangan. Demikian pula, pembeli bertanggung jawab untuk membuat pembayaran ke atas sekuriti tersebut pada hari urus niaga ketiga selepas tarikh dagangan.
Langkah ke arah kitaran T+5 diperkenalkan pada 1997 bertujuan untuk memendekkan tempoh penyelesaian kepada norma antarabangsa T+3. Satu pendekatan berfasa ke arah kitaran penyelesaian yang lebih singkat telah diambil bagi meminimumkan gangguan kepada pasaran dan memberikan persediaan yang cukup kepada para pelabur, perantara dan institusi pasaran. Oleh kerana dagangan sekuriti menjadi lebih global, keperluan untuk memendekkan seterusnya kitaran penyelesaian dan pengurangan risiko penyelesaian menjadi satu keutamaan.
Dalam pasaran kewangan, masa bersamaan risiko. Memendekkan tempoh penyelesaian akan mengurangkan kelewatan di antara tarikh dagangan dan tarikh penyelesaian serta mengurangkan jumlah dagangan tidak diselesaikan yang tertangguh pada satu-satu masa tertentu dan seterusnya, mengurangkan risiko kos antara pihak terlibat dan pendedahan pasaran.
Sebagai tambahan, tahap kecairan akan meningkat kerana pihak pembeli boleh mendapatkan nilai bagi sekuriti mereka apabila mereka membuat pembayaran ke atas sekuriti tersebut sementara pihak penjual boleh mendapatkan tunai lebih cepat. Penumpuan dengan norma-norma antarabangsa akan mengurangkan kadar kegagalan dagangan yang dihadapi oleh pelabur global, dengan itu, meningkatkan perniagaan melepasi sempadan dan perniagaan institusi.
Suruhanjaya Sekuriti dan bursa-bursa, dengan perundingan bersama peserta pasaran, ketika ini sedang menyediakan keperluan-keperluan perniagaan, operasi dan pengawalseliaan bagi langkah ke arah kitaran penyelesaian T+3. Usaha sama ini akan memastikan semua isu-isu dapat ditangani dengan wajar bagi memastikan pelaksanaan lancar kitaran penyelesaian yang lebih singkat sebelum penghujung tahun ini.
Langkah untuk memendekkan kitaran penyelesaian ini merupakan salah satu daripada beberapa pembaharuan yang diperkenalkan oleh SC untuk mengurangkan risiko penyelesaian. Lain-lain pembaharuan pasaran termasuk pendepositan penuh ke atas semua sekuriti tersenarai di BSKL ke dalam depositori pusat, penutupan penyelesaian dagangan tidak padan dengan pelaksanaan penyelesaian akhir pada T+5, dan yang terkini, pengenalan perkhidmatan penyelesaian institusi yang membolehkan institusi yang berkelayakan seperti bank kustodian untuk menjelaskan dan menyelesaikan dagangan secara terus dengan Securities Clearing Automated Network Services (SCANS) pada tarikh penyelesaian.