Kod Pelabur Institusi untuk memacu pengendalian yang berkesan
27 Jun 2014   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Badan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti (BPPSM) hari ini melancarkan Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (LTH).

Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi bermatlamat untuk menetapkan prinsip-prinsip luas pengendalian berkesan oleh pelabur institusi, umpamanya penzahiran dasar pengendalian, pengawasan dan pembabitan dengan syarikat pelaburan serta menguruskan konflik kepentingan. Pemakaian prinsip-prinsip kod terrsebut oleh pelabur institusi menunjukkan kesungguhan mereka ke arah tadbir urus korporat yang baik.

Inisiatif untuk menggalakkan kepimpinan yang lebih besar dalam tadbir urus dan pemilikan bertanggungjawab oleh pelabur institusi adalah berasal daripada Pelan Tindakan Tadbir Urus Korporat 2011 dan menandakan peristiwa penting dalam landskap tadbir urus korporat Malaysia.

Bermula dari tahun 2016, penandatangan Kod tersebut dikehendaki membuat laporan tahunan mengenai pemakaian prinsip-prinsip Kod itu di laman sesawang, laporan tahunan atau dalam dokumen lain syarikat mereka yang boleh diakses oleh orang ramai. Satu majlis pelabur institusi akan ditubuhkan sebagai platform untuk membincangkan perkara-perkara mengenai pengendalian dan akan mengambil peranan pemantauan terhadap penerapan dan guna pakai Kod tersebut.

“Komitmen secara kolektif di kalangan institusi domestik kita terhadap Kod tersebut memberikan mesej yang jelas kepada pasaran bahawa tadbir urus korporat merupakan suatu perkara yang menjangkaui pematuhan terhadap pengawalseliaan. Malah, ia merupakan sumber aktif pembentukan nilai bagi syarikat dan pemiliknya, serta sebagai langkah lebih berdaya saing bagi pasaran modal dan ekonomi yang meluas,” kata Pengerusi SC, Datuk Ranjit Ajit Singh dalam ucap utamanya ketika melancarkan Kod tersebut pada Sidang Meja Bulat Pelabur Institusi yang diadakan di SC hari ini.

Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Pengerusi BPPSM berkata, “Walaupun penggunaan Kod itu adalah sukarela, pelabur institusi sepatutnya mengguna pakai Kod itu untuk kepentingan benefisiari mereka. Pengambilan dan penggunaan Kod tersebut oleh pelabur institusi akan menggalakkan tadbir urus yang baik dan keutuhan jangka panjang syarikat pelaburan mereka.”

Lebih 150 peserta dari kalangan pelabur institusi, syarikat tersenarai awam, dana pencen, syarikat-syarikat amanah pelaburan dan insurans, menghadiri sesi setengah hari itu. Pembentangan turut dilakukan oleh Paul Lee, Ketua Hal Ehwal Pelaburan, Persatuan Kebangsaan Dana Pencen, UK, dan Motoyuki Yufu, Pengarah Bahagian Perakaunan Korporat dan Penzahiran, Agensi Perkhidmatan Kewangan Jepun, yang berkongsi pengalaman masing-masing dalam Kod Pengendalian UK dan Kod Pengendalian Jepun.

Tan Sri Sulaiman Mahbob, Pengerusi BPPSM, menyerahkan Kod Pelabur Institusi kepada Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC pada pelancaran kod tersebut hari ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
BADAN PEMERHATI PEMEGANG SAHAM MINORITI


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup