Kod Pengambilalihan dan Percantuman 1998 yang Baru

Kuala Lumpur, 2 Januari 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan penguatkuasaan Kod Pengambilalihan dan Percantuman Malaysia 1998 sebagai undang-undang yang mengawasi pengambilalihan dan percantuman di Malaysia. Kod baru tersebut telah disarankan oleh Menteri Kewangan, berdasarkan cadangan SC, untuk berkuatkuasa pada 1 Januari 1999 menurut seksyen kecil 33A(1) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.

Kod baru ini menggantikan Kod Pengambilahan dan Percantuman Malaysia 1987 yang telah dikuatkuasakan di bawah seksyen 179 Akta Syarikat 1965 dan seterusnya telah diguna-pakai oleh SC selepas pemansuhan seksyen 179 Akta Syarikat oleh Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.

Rangka perundangan untuk pengenalan Kod baru ini telah disediakan oleh Akta Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 1995. Selepas itu, kerja-kerja menghasilkan Kod baru dan Nota-nota Amalan yang berkaitan telah dimulakan oleh pihak SC.

Dalam menyediakan Kod baru dan Nota-nota Amalan ini, SC telah mengadakan perbincangan terperinci dengan peserta-peserta pasaran dan para penasihat yang terpilih. Satu kumpulan penasihat yang terdiri daripada individu-individu daripada bank-bank saudagar, syarikat-syarikat tersenarai dan pihak pengamal undang-undang, telah dibentuk pada bulan Ogos 1997. Sejauh ini, kumpulan tersebut telah menyumbangkan input dan ulasan di pelbagai tahap penyediaan Kod dan Nota-nota Amalan tersebut.

Pihak SC juga telah bekerja rapat dengan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) memandangkan beberapa perubahan yang diperkenalkan memerlukan perubahan-perubahan tertentu di dalam Syarat-syarat Penyenaraian BSKL.

Peristiwa kegawatan ekonomi yang dialami oleh negara ini sepanjang 18 bulan yang lepas, khususnya beberapa aktiviti korporat yang berlaku dalam jangkamasa tersebut, telah mengketengahkan beberapa kelemahan yang jelas terkandung pada Kod yang lama. Pihak SC telahpun menekankan sepanjang tahun lepas bahawa kelemahan-kelemahan tersebut akan ditangani untuk mempertingkatkan penzahiran dan melindungi kepentingan pemegang saham minoriti. "Kod baru ini sememangnya satu bukti komitmen SC untuk memastikan standard penzahiran dan tingkahlaku korporat yang lebih tinggi serta tahap profesionalisme yang lebih tinggi di kalangan semua pihak yang terlibat di dalam percantuman dan pengambilalihan," menurut Pengerusi SC, Dato' Dr Mohd Munir Majid.

Dengan itu, Kod baru ini bertujuan untuk memastikan bahawa pemegang saham minoriti diberi peluang yang saksama untuk menilai kebaikan dan keburukan sesuatu tawaran dan untuk membolehkan mereka membuat keputusan sama ada untuk terus memegang atau menjual saham-saham mereka. Kod baru ini juga memerlukan dokumen-dokumen tawaran, dokumen pekeliling lembaga pengarah dan dokumen pekeliling nasihat berkecuali untuk memuatkan semua maklumat berkaitan yang diperlukan oleh para pemegang saham dan penasihat-penasihat profesional mereka untuk membuat penilaian sewajarnya berhubung kebaikan dan risiko apabila menerima atau menolak sesuatu tawaran pengambilalihan.

Pihak SC berpendapat bahawa para peserta dan penasihat pasaran yang sudah mengetahui keperluan-keperluan berkenaan standard penzahiran dan ketekunan wajar berhubung permohonan korporat, dengan mudah dapat mematuhi keperluan-keperluan penzahiran dan ketekunan wajar di bawah Kod baru tersebut.

Peruntukan-peruntukan baru

Pihak SC juga ingin menekankan bahawa rangkakerja pengawalseliaan bagi pengambilalihan dan percantuman melibatkan peruntukan untuk mengenakan liabiliti jenayah ke atas pihak-pihak berkaitan dengan sesuatu tawaran pengambilalihan kerana memberikan maklumat palsu atau mengelirukan kepada pihak SC dan para pemegang saham. Secara khususnya, seksyen 33E Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan seksyen 38 dalam Kod baru mengenakan syarat-syarat yang serupa dengan apa yang terkandung di dalam seksyen 32B Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.

Tambahan pula, peruntukan berkaitan dengan pengambilalihan "creeping" telah dipinda untuk membolehkan seseorang pengambilalih yang memegang di antara 33% dan 50% daripada saham-saham undi di dalam sesebuah syarikat untuk mengambilalih saham sebanyak 2% dalam tempoh enam bulan berbanding dengan 12 bulan. Oleh yang demikian, ini dapat mengurangkan masa yang diambil untuk mengambilalih kuasa dalam sesebuah syarikat secara beransur-ansur. Sebelum ini, pihak-pihak tersebut tidak dibenarkan untuk mengambilalih lebih daripada 2% saham-saham undi sesebuah syarikat dalam tempoh 12 bulan. Tujuan peruntukan "creeping" adalah untuk menghadkan jangka waktu yang membolehkan seseorang memperolehi kuasa statutori sesebuah syarikat.

Pindaan-pindaan ini dibuat supaya lebih konsisten dengan amalan-amalan antarabangsa yang terdapat dalam bidang-bidang kuasa seperti Hong Kong, Singapura dan Australia. Pihak SC ingin menekankan bahawa sungguhpun peruntukan "creeping" dilonggarkan, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 telah peruntukkan hukuman yang lebih berat bagi pelanggaran terhadap Kod ini.

SC sebagai pihak berkuasa tunggal bagi hal-hal berkaitan pengambilalihan dan percantuman

Selain daripada Kod baru tersebut, Menteri Kewangan juga telah menguatkuasakan seksyen 11 Akta Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 1995. Seksyen ini menggantikan seksyen 33 dan 34 yang terdapat dalam Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dengan seksyen-seksyen baru 33A, 33B, 33C, 33D, 33E, 34A, 34B dan 34C.

Antara lain, seksyen 33C Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 membolehkan SC menjadi pihak berkuasa tunggal untuk membenarkan pengecualian daripada peruntukan-peruntukan dalam Kod baru. Pihak SC menekankan bahawa ia mesti dan akan mematuhi prinsip-prinsip dan objektif-objektif yang telah digariskan di dalam seksyen kecil 33A(5) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 semasa menggunakan bidang kuasanya di bawah Akta tersebut, termasuk dalam soal membenarkan sesuatu pengecualian. Seksyen kecil tersebut memerlukan SC untuk memastikan agar aktiviti-aktiviti pengambilalihan dan percantuman dilaksanakan di dalam pasaran yang cekap, berdaya saing dan mempunyai maklumat yang cukup. Dalam hal ini, SC harus memastikan supaya -

  • para pemegang saham dan pengarah-pengarah sesebuah syarikat yang membuat tawaran dan pasaran untuk saham-saham yang menjadi subjek sesuatu tawaran pengambilalihan mengetahui identiti pihak pengambilalih dan pihak yang membuat tawaran, mempunyai masa yang cukup untuk mempertimbangkan sesuatu tawaran pengambilalihan dan dibekalkan dengan maklumat yang mencukupi untuk menilai kebaikan sebarang tawaran pengambilalihan;
  • semua pemegang saham di pihak penerima tawaran mempunyai peluang yang sama untuk menikmati faedah-faedah daripada tawaran pengambilalihan tersebut, termasuk premium yang perlu dibayar untuk memperolehi kuasa;
  • para pemegang saham, khususnya pemegang saham minoriti, dilayan secara adil dan saksama; dan
  • para pengarah di pihak penerima tawaran dan pengambilalih bertindak secara jujur untuk mematuhi objektif-objektif yang digariskan di bawah seksyen kecil 33A(5) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 di samping memastikan pemegang saham minoriti tidak ditindas atau kedudukan mereka tidak terjejas oleh layanan dan tindak-tanduk para pengarah di pihak penerima tawaran atau pihak pengambilalih.

Nota-nota Amalan

Nota-nota amalan bagi Kod baru tersebut menguasai cara-cara pengendalian situasi-situasi tertentu atau menghuraikan interpretasi seksyen-seksyen tertentu di dalam Kod baru. Nota-nota amalan tersebut juga menyenaraikan keadaan-keadaan atau urusniaga-urusniaga yang mungkin akan dipertimbangkan oleh SC untuk pemberian pengecualian. Pihak SC ingin menekankan bahawa Nota-nota Amalan dianggap sebagai peraturan yang dibuat oleh SC menurut seksyen kecil 33A(4) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan sebarang pelangggaran terhadap mana-mana peraturan, seperti juga pelanggaran terhadap Kod, merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 33B(4) Akta dengan denda tidak melebihi satu juta ringgit atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun.

SC meluluskan Syarat-syarat Penyenaraian BSKL yang dipinda

Dalam pada itu, pihak SC juga ingin mengumumkan bahawa ia telah meluluskan permohonan BSKL untuk meminda Syarat-syarat Penyenaraian-nya. Syarat-syarat Penyenaraian tersebut yang merupakan sebahagian daripada rangkakerja kawalselia yang mengawasi pengambilalihan dan percantuman, telah dipinda akibat penguatkuasaan Kod baru.

Kod Pengambilalihan dan Percantuman Malaysia 1998, Nota-nota Amalan dan Perintah Akta Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 1995 (Penetapan Tarikh Penguatkuasaan) 1998 boleh diperolehi daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad di Jalan Satu, Off Jalan Chan Sow Lin, 50554 Kuala Lumpur.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diterbitkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk pertanyaan, sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di no. tel. 603-2507510 atau no. faks. 603-2536184.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup