Kompaun Tidak Boleh Diambil Ringan - Pengerusi SC

Kuala Lumpur, 18 Mac 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mengkompaun kesalahan yang dilakukan oleh syarikat broker saham, penasihat pelabur, wakil peniaga dan dua individu di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA). Ini merupakan kali kedua dalam suku tahun pertama tahun ini SC mengumumkan pengamalan kuasa mengkompaunnya.

Pengerusi SC yang baru, Encik Ali Abdul Kadir memberi amaran kepada pesalah untuk mengambil serius langkah-langkah SC tersebut. "Sementara kompaun kelihatan secara relatifnya kaedah penguatkuasaan yang lebih cepat, ini tidak menghalang SC dari membuat pendakwaan terhadap pelanggaran undang-undang sekuriti, terutamanya pencabulan serius dan kesalahan yang berulang", kata beliau.

""Dalam menimbangkan kes-kes ini, SC mempunyai pilihan sama ada untuk mengkompaun atau mendakwa pesalah bergantung kepada fakta dan bukti sesuatu kes. Sementara hukuman yang dikenakan dianggap berbeza beratnya, kedua-duanya memberi rekod negatif kepada pesalah," tambah En. Ali.

Semasa persidangan akhbarnya yang pertama awal bulan ini, pengerusi SC yang baru ini telah berkata bahawa SC akan mengamalkan kuasa pendakwaannya selagi ia dibenarkan oleh undang-undang.

Di dalam tindakannya yang terkini, SC telah mengkompaun Smith Zain Securities Sdn Bhd sejumlah RM100,000 kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 13 yang mesti dibaca bersama seksyen 122C(c), SIA. Syarikat broker saham telah bersubahat dengan bekas pelatih pengurusan untuk berurus niaga dalam sekuriti tanpa lesen dari Mei 1996 ke September 1997. Syarikat itu telah membayar kompaun.

Di dalam kes lain, kompaun sejumlah RM25,000 telah dikenakan ke atas Tan Eng Leong dan Zulkhairi Zali @ Mat Tali bagi kesalahan yang dilakukan masing-masing di bawah seksyen 13 dan 21(2) SIA. Tan Eng Leong telah berniaga sekuriti tanpa lesen wakil peniaga sementara Zulkhairi Zali @ Mat Tali telah melanggar syarat lesen wakil peniaganya dengan membenarkan Tan,

seorang yang tiada berlesen, untuk menjalankan tugas sebagai wakil peniaga berlesen bagi pihaknya.

SC juga mengkompaun seorang lagi individu, Low Mai sejumlah RM30,000 kerana kesalahan di bawah seksyen 22 SIA. Low Mai telah secara sengaja memberi keterangan palsu kepada SC berkaitan permohonan lesen wakil peniaganya pada 6 Februari 1996.

Di dalam satu tindakan yang berasingan, Santander Investment Research (M) Sdn Bhd telah dikompaun sejumlah RM10,000 oleh SC kerana melanggar seksyen 18(2) SIA. Penasihat pelabur telah melanggar salah satu daripada syarat-syarat lesennya apabila ia gagal mendapatkan persetujuan bertulis SC bagi menukar namanya daripada Santander Research (M) Sdn Bhd kepada Santander Investment Research (M) Sdn Bhd. Penasihat pelabur tersebut telah membayar kompaun.

Menurut Pengerusi SC, "Tindakan ini, yang boleh dilaksanakan setelah skop kuasa mengkompaun SC diluaskan, adalah perlu bagi menghapuskan amalan tidak beretika dan tidak adil dalam pasaran, dan, pada dasarnya, supaya kita semua mempunyai pasaran modal yang selamat dan berfungsi dengan baik".

Kuasa mengkompaun SC baru diperluaskan apabila, pada bulan November tahun lalu, Akta Suruhanjaya Sekuriti (SCA) 1993 dipinda untuk, antara lain, memasukkan seksyen 39C yang baru berkaitan mengkompaun kesalahan di bawah SCA. Peraturan Suruhanjaya Sekuriti (Kesalahan Yang Boleh Dikompaun) 1998 yang menerangkan setengah-setengah kesalahan di bawah SCA sebagai kesalahan yang boleh dikompaun telah berkuatkuasa pada 1 Januari 1999. Semua kompaun yang diterima oleh SC akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, di bawah kerajaan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diedarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan, sila hubungi Jabatan Hal-Ehwal Korporat di tel no. 03-654 8513 (Ann Teoh)/ 03-654 8107 (Ida Mariana Azmi) atau faks no. 03-651 5078.


Maklumat latarbelakang:
Suruhanjaya Sekuriti (SC), badan berkanun yang bertanggungjawab kepada Menteri Kewangan, telah ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi tunggal bagi pengawalan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggunjawab langsung bagi menyelia dan mengawasi aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawalselia mereka yang berlesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup