Langkah baru bagi meningkatkan perlindungan pelabur 
28 January 2011   |   Kuala Lumpur
Pada 19 Mac 2010, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) telah mengeluarkan satu Kertas Rundingan Bersama mengenai Cadangan Pindaan ke atas Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia terhadap Peraturan Penyenaraian Penswastaan Syarikat-syarikat Tersenarai melalui Penjualan Aset. SC juga mengeluarkan Kertas Rundingan mengenai Cadangan Kemas Kini terhadap Garis Panduan Dokumentasi Tawaran Kod Pengambilalihan dan Percantuman Malaysia 1998 (Garis Panduan) dan Semakan terhadap Pelabur Sofistikated dan Amalan Jualan bagi Produk-produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai.

Berikutan maklum balas yang diterima terhadap tiga Kertas Rundingan tersebut, beberapa inisiatif akan dilaksanakan bagi meningkatkan perlindungan pelabur dan mencapai kesamaan pengawalseliaan, memberikan pemegang saham maklumat yang betul bagi membolehkan mereka membuat keputusan pelaburan yang berasaskan maklumat dan meningkatkan amalan jualan bagi produk tidak tersenarai.
  1. SC dan Bursa Malaysia mengumumkan bersama bahawa nilai ambang bagi kelulusan pemegang saham berhubung dengan syarikat tersenarai menjual semua, atau sebahagian besar daripada semua asetnya, yang menyebabkan ia tidak lagi sesuai bagi penyenaraian berterusan di Bursa Malaysia (Pelupusan Aset), kini dinaikkan kepada 75%. Ini diguna pakai ke atas semua Pelupusan Aset baharu yang diumumkan pada atau selepas 28 Januari 2011. Ini akan memastikan bahawa pemegang saham syarikat tersenarai menerima tahap perlindungan yang sama tanpa mengira cara yang diambil bagi menswastakan syarikat itu. Selain itu, syarikat yang melakukan Pelupusan Aset kini dikehendaki supaya menyediakan nasihat bebas dan penzahiran terperinci mengenai penggunaan hasil daripada Pelupusan Aset tersebut kepada pemegang saham mereka. Ini akan meningkatkan ketelusan dan memastikan pemegang saham dibekalkan dengan maklumat yang secukupnya untuk membuat keputusan.
  2. SC akan menyediakan bimbingan mengenai interpretasi standard ‘adil’ dan ‘munasabah’ yang diguna pakai oleh penasihat bebas dalam menilai tawaran pengambilalihan. SC akan juga menyediakan bimbingan mengenai hal-hal yang perlu dianalisis dan disintesis, sebagai keperluan minimum, oleh penasihat bebas dalam membuat cadangan berhubung dengan tawaran pengambilalihan. Sejajar dengan itu, SC akan mengeluarkan satu semakan kepada Bab 12 Garis Panduan tersebut secepat mungkin. Penambahbaikan ini akan memberikan pelabur nasihat yang lebih jelas dan menyeluruh bagi membantu mereka membuat keputusan.
  3. Satu set langkah bersepadu bagi memperkemas kategori pelabur dan meningkatkan sistem amalan jualan, yang menyeimbangkan keperluan pelabur bagi tahap perlindungan, pertumbuhan pasaran dan inovasi produk yang bersesuaian, akan diperkenalkan. Ini termasuklah:
    • Langkah-langkah bagi mengembangkan kategori pelabur sofistikated Individu Bernilai Bersih Tinggi / Entiti Bernilai Bersih Tinggi / Pelabur Bertauliah dan langkah menghapuskan saiz pelaburan RM250,000 bagi memastikan supaya produk yang kompleks dan berisiko tinggi ditawarkan atau dipasarkan hanya kepada pelabur yang benar-benar sofistikated.
    • Semakan terhadap sistem amalan jualan bagi menjelaskan peraturan penilaian kesesuaian bawah Seksyen 92 CMSA; meningkatkan penzahiran dengan meminta dokumen penzahiran yang berasingan (Kertas Penyerlahan Produk) dikeluarkan apabila menawarkan produk pasaran modal tidak tersenarai; dan bagi menyebariskan proses perniagaan dan struktur insentif dengan mengeluarkan panduan Melayani Pelabur Secara Adil.

SC akan membincangkan langkah-langkah ini dengan industri sebelum memuktamadkan peraturan penzahiran dan bimbingan.

Kertas Maklum Balas Awam dan Kertas Rundingan, bersama-sama butiran terperinci dan bimbingan lanjut mengenai penambahbaikan itu boleh dilayari di sini.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup