Langkah Baru SC untuk Memudahcarakan Penyenaraian Rentas Sempadan

Galak Hubungan Kait dengan Pasaran Lain dan Penyenaraian Syarikat Asing di Malaysia

Kuala Lumpur, 22 Jun  2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan langkah baru untuk memudahcarakan penyenaraian di Malaysia oleh syarikat milik asing yang beroperasi di luar negara serta penyenaraian sekunder di bursa saham asing oleh syarikat Malaysia yang tersenarai Papan Utama.

Langkah terkini ini berikutan pengumuman oleh YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika Persidangan 'Invest Malaysia 2006' pada awal tahun ini bertujuan memperbaik cadangan nilai pasaran modal Malaysia.

Di bawah garis panduan ini, syarikat milik asing besar yang mempunyai operasi di luar Malaysia kini boleh memohon bagi penyenaraian primer dan sekunder di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).

"Langkah liberalisasi tersebut akan mempertingkat kepelbagaian penawaran dan akan mengalakkan hubungan kait dengan pasaran lain melalui dwipenyenaraian. Oleh itu, kami mengalu-alukan syarikat asing yang besar dan berkeuntungan dari bidang kuasa yang mempunyai undang-undang yang tidak jauh berbeza dengan Malaysia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia," kata Pengerusi SC Dato' Zarinah Anwar.

Syarikat milik warga Malaysia yang layak dan mempunyai operasi di luar negara kini diberikan kelonggaran untuk memohon penyenaraian tanpa perlu mematuhi tempoh pemilikan minimum seperti yang diperlukan sebelum ini.

"Kelonggaran ini bukan hanya akan menggalakkan syarikat milik warga Malaysia yang berjaya di luar negara untuk memohon penyenaraian di negara ini, ia juga akan menyokong percantuman dan pemerolehan rentas sempadan oleh syarikat dan pelabur tempatan," kata Dato' Zarinah.

Di samping itu, syarikat Malaysia yang kukuh yang tersenarai di Papan Utama boleh memohon penyenaraian sekunder di bursa saham asing yang merupakan ahli kepada World Federation of Exchanges dengan hasrat meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Dato' Zarinah menambah, "Kami berpandangan bahawa proses liberalisasi ini akan meningkatkan integrasi pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa dan memperluas kumpulan saham berkualiti tinggi di Bursa Malaysia dan rangkaian peluang pelaburan kepada pelabur".

Polisi baru tersebut yang berkuat kuasa hari ini dinyatakan dalam Nota Panduan berikut yang diterbitkan di bawah Polisi dan Policies and Guidelines on Issue/Offer of Securities (Garis Panduan Terbitan):

  • Nota Panduan 7D – Keperluan bagi penyenaraian primer dan sekunder syarikat asing (menggantikan Nota Panduan 7A yang sedia ada);
  • Nota Panduan 7E – Keperluan bagi penyenaraian primer syarikat yang mempunyai operasi utama di luar negara (menggantikan Nota Panduan 7B yang sedia ada); dan
  • Nota Panduan 7F – Keperluan penyenaraian sekunder syarikat tersenarai Malaysia di bursa saham asing.


SC juga mengumumkan pengenalan Nota Panduan 6E, yang diterbitkan di bawah Garis Panduan Terbitan untuk mempertingkat keperluan penyenaraian bagi syarikat tempatan di bawah ujian permodalan pasaran. Di bawah keperluan baru tersebut, syarikat tempatan mesti mempunyai permodalan pasaran sekurang-kurangnya RM500 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM30 juta bagi tahun kewangan terkini bagi melayakkannya untuk memohon penyenaraian di bawah ujian permodalan pasaran tersebut.


Nota Panduan dan Policies and Guidelines on Issue/Offer of Securities boleh didapati di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup