Langkah Baru SC untuk Perkukuh Pasaran Bon Korporat

Lebih Perlindungan bagi Pelabur Melalui Ketelusan Harga dan Standard Profesional yang Dipertingkat

Kuala Lumpur, 25 Januari 2006

Berikutan pengumuman oleh Menteri Kewangan II pada 24 Januari 2006 mengenai langkah terbaru yang akan diperkenalkan untuk memperkukuh pasaran bon korporat, Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan butiran pelaksanaan langkah-langkah penting ini. Langkah ini termasuk pengumuman garis panduan baru untuk memudahcarakan pengenalan agensi penentuan harga bon (BPA) dan nota amalan yang memberikan butiran keperluan kawal selia bagi pengiktirafan agensi penarafan kredit (CRA) di Malaysia.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk membangunkan pasaran bon korporat Malaysia, dengan lebih penekanan kepada ketelusan harga dan tatalaku professional pengantara yang akan meningkatkan tahap perlindungan pelabur dan pengukuhan pasaran bon secara amnya.

Pengenalan Agensi Penentuan Harga Bon

Di bawah Garis panduan bertajuk "Guidelines on the Registration of Bond Pricing Agencies" (Garis panduan BPA), sesebuah BPA mesti didaftarkan dengan SC untuk mengemukakan setiap hari, harga nilai berpatutan yang bebas dan objektif bagi bon denominasi Ringgit yang didagangkan di pasaran urusan di kaunter (OTC).

Garis panduan BPA yang dikeluarkan menurut Peraturan Perindustrian Sekuriti (Agensi Penentuan Harga Bon) 2006, menyediakan prosedur pendaftaran dan keperluan kawal selia yang perlu dipenuhi oleh BPA. Keperluan kawal selia ini termasuk memenuhi keperluan yang berkaitan dengan status bebas, kepakaran, proses dalam penentuan harga bon, fi dan keperluan layak dan patut yang melibatkan pengarah dan pihak pengurusan utama.

Langkah ini akan memberikan manfaat kepada industri pengurusan dana, khususnya industri unit amanah, kerana pengurus dana berlesen dan pelabur institusi kini mempunyai peluang yang baik dan berkesan untuk melakukan penilaian harian pasaran semasa terhadap portfolio bon mereka. Dengan ini, pelabur akan memperolehi maklumat yang bertepatan masa, konsisten dan boleh dibandingkan ke atas nilai aset bersih dana yang dilaburkan dalam bon OTC.

Pengiktirafan Agenci Penarafan Kredit

SC juga mengeluarkan satu Nota Amalan mengenai Pengiktirafan Agensi Penarafan Kredit oleh Suruhanjaya Sekuriti bagi Tujuan Penarafan Terbitan Bon ( Practice Note on Recognition of Credit Rating Agencies by the Securities Commission for the Purpose of Rating Bond Issues ). Nota Amalan ini menyediakan satu set kriteria pengiktirafan bagi memastikan bahawa agensi penarafan kredit (CRA) melaksanakan standard profesionalisme dan ketekunan wajar yang tinggi dalam memberikan penarafan dan mengawas bon korporat dan sekuriti Islam serta menyebarkan maklumat penarafan yang mencukupi dan bertepatan masa kepada orang ramai/pelabur. Oleh kerana CRA memainkan peranan penting dalam pasaran bon dan pendapat kredit mereka mempunyai kesan yang mendalam terhadap para pelabur dan pasaran bon secara keseluruhannya, adalah penting bahawa kredibiliti dan integriti CRA dikekalkan pada setiap masa.

Sehingga kini, SC telah melaksanakan lebih pengawasan terhadap CRA melalui set kriteria pengiktirafan dalam Nota Amalan tersebut. Nota Amalan tersebut dikeluarkan menurut Garis Panduan Penawaran Sekuriti Hutang Swasta (Guidelines on the Offering of Private Debt Securities) dan Garis Panduan Penawaran Sekuriti Islam (Guidelines on the Offering of Islamic Securities) yang mana penarafan bon dan sekuriti Islam tersebut mesti diperolehi daripada CRA yang diiktiraf oleh SC.

Kriteria pengiktirafan tersebut menekankan kualiti dan integriti dalam proses penarafan, ketelusan dan ketepatan masa dalam penzahiran penarafan, proses pengawasan dan pengemaskinian, bebas dan pengelakan konflik kepentingan, kecukupan dari segi kepakaran dan sumber yang dimiliki oleh CRA. Ini adalah sejajar dengan prinsip yang dinyatakan dalam Code of Conduct Fundamentals for Credit Rating Agencies (Kod IOSCO CRA) Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti. CRA juga dikehendaki mengguna pakai Kod IOSCO CRA dalam kod tatalaku mereka dan menzahirkan cara mereka melaksanakan pelbagai peruntukan Kod IOSCO CRA tersebut.

Garis panduan dan Nota Amalan yang baru tersebut boleh didapati di tapak web SC.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup