Langkah Baru untuk Memudahcarakan Kepelbagaian Pelaburan dan Meningkatkan Kecekapan Pasaran Modal

Kuala Lumpur, 15 September 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan langkah-langkah untuk memudahcarakan kepelbagaian pelaburan oleh pelabur tempatan dan untuk mempertingkatkan lagi kecekapan pasaran modal Malaysia.

Langkah SC tersebut termasuk semakan rangka kerja mengenai pelaburan dalam sekuriti asing, dagangan pasaran sekunder bon bukan ringgit (bon bukan RM), tawaran primer bon bukan RM, tawaran saham asing di Malaysia dan beberapa pindaan lain untuk memudahcarakan lebih kelonggaran dalam pasaran modal.

Langkah terkini SC ini melengkapi liberalisasi undang-undang pentadbiran pertukaran asing oleh Bank Negara Malaysia pada 1 April 2005.

Butiran lanjut mengenai langkah tersebut ialah:

  • Pelabur dibenarkan melabur dalam sekuriti asing yang tersenarai di bursa asing yang diperakui

Pelabur kini dibenarkan untuk melabur dalam sekuriti asing yang disenaraikan di bursa asing yang diperakui oleh Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia Bhd), dan dikecualikan daripada keperluan untuk mendapatkan kelulusan SC di bawah seksyen 32 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA). Pada masa ini, terdapat 51 bursa yang diperakui oleh Bursa Malaysia, termasuk Hong Kong, Singapura dan Thailand. Pelabur boleh mendapatkan senarai penuh bursa yang diperakui daripada syarikat-syarikat broker saham.

Semua pelaburan di luar negara oleh syarikat pengurusan unit amanah masih perlu diuruskan oleh pengurus dana yang dilesenkan oleh SC, menurut peraturan yang sedia ada. Di samping itu, menurut Garis Panduan Unit Amanah, pengurus dana berlesen yang melabur di luar negara bagi dana unit amanah adalah dikehendaki mendapatkan kelulusan SC terlebih dahulu mengenai bursa asing yang mereka bercadang untuk membuat pelaburan.

  • 'Pelabur sofistikated' tidak perlu mendapatkan kelulusan SC untuk melaksanakan dagangan bon bukan RM

Berhubung dengan pasaran sekunder bon, 'pelabur sofistikated' kini dibenarkan untuk melaksanakan dagangan bon bukan RM di kalangan mereka, tanpa mendapatkan kelulusan SC terlebih dahulu. 'Pelabur sofistikated' yang juga adalah bank komersial, bank saudagar, bank Islam, broker universal atau broker yang telah bergabung, dikehendaki mengemukakan laporan bulanan kepada SC mengenai dagangan jualan bon bukan RM mereka.

'Pelabur sofistikated' merujuk kepada pelabur institusi atau pelabur individu bernilai bersih ( net worth ) tinggi yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang mempunyai jumlah aset bersih minimum sebanyak RM10 juta dan individu-individu yang mempunyai jumlah nilai bersih minimum sebanyak RM3 juta, dan prinsipal yang berurus niaga dengan nilai minimum berjumlah RM250,000 setiap transaksi; sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 9, 10 atau 11 Jadual 2 SCA.

  • Kelonggaran bagi penerbitan bon denominasi matawang asing kepada 'pelabur sofistikated'

Rangkakerja bagi penawaran primer bon denominasi matawang asing telah diliberalisasikan yang mana pengecualian-pengecualian kawal selia di bawah Nota Amalan 1 kepada Garis Panduan Sekuriti Hutang Swasta ( Private Debt Securities Guidelines ) dan Nota Amalan 1 kepada Garis Panduan Sekuriti Islam ( Islamic Securities Guidelines ), yang mengecualikan syarikat awam Malaysia daripada keperluan-keperluan kawal selia tertentu sekiranya bon bukan RM mereka diterbitkan secara eksklusif kepada pelabur di luar negara; kini dilanjutkan kepada penerbitan kepada 'pelabur sofistikated' di Malaysia.

Nota Panduan mengenai rangka kerja kawal selia bagi dagangan bon bukan RM, dan Nota-Nota Amalan yang dipinda serta soalan lazim (FAQ) mengenai penerbitan primer bon bukan RM boleh didapati di seksyen Pasaran Bon tapak web SC di sini.

  • Penawaran saham asing di Malaysia kini dibenarkan, tertakluk kepada kelulusan SC

Penawaran saham asing di Malaysia kini dibenarkan dengan mendapatkan kelulusan SC berdasarkan kes. Sebagai menyokong langkah ini, pengecualian khusus daripada garis panduan SC akan dipertimbangkan berdasarkan kekuatan keperluan kawal selia bidang kuasa negara penerbit saham berkenaan. Walau bagaimanapun, hanya `pelabur sofistikated' boleh melabur dalam sekuriti ini.

Perubahan lain yang dilaksanakan oleh SC bagi mempertingkatkan lagi kecekapan pasaran termasuk pindaan kepda perenggan 12 Jadual 1 SCA yang memasukkan pengecualian yang dibuat kepada pemegang saham sedia ada syarikat awam tidak tersenarai dalam dagangan sekuriti ini, yang dilanjutkan kepada 'pelabur sofistikated' dan pengecualian daripada keperluan prospektus bagi skim opsyen saham pekerja (ESOS) bagi pengarah bukan eksekutif. Di samping itu, berkaitan dengan penukaran sekuriti boleh tukar kepada saham tersenarai, keperluan prospektus telah dimansuhkan bagi memastikan kos minimum dan proses penukaran yang cekap.

Buitran lanjut mengenai langkah-langkah dan perubahan yang dinyatakan di atas boleh didapati dalam set soalan lazim yang dimuatkan dalam tapak web SC.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup