Langkah-langkah yang dinyatakan dalam pakej rangsangan menyediakan bantuan ekonomi yang penting bagi isi rumah dan perniagaan yang terjejas dalam tempoh terdekat dan memulihkan ekonomi Malaysia dalam jangka sederhana, disebabkan kesan negatif yang timbul daripada penularan Covid-19 di peringkat global.
SC akan dengan segera melaksanakan langkah-langkah berikut:
- Dana pelaburan bersama (co-investment fund) yang baharu sebanyak RM500 juta untuk pelaburan bersama pelabur swasta dalam syarikat-syarikat peringkat permulaan dan pertumbuhan di Malaysia. Melalui pelaburan bersama ini, Kerajaan berusaha untuk membantu merealisasikan potensi syarikat permulaan dalam negeri dan mengumpul lebih banyak dana sektor swasta untuk menjana syarikat pertumbuhan tinggi
- Untuk terus menggalakkan syarikat pertumbuhan yang telah berjaya untuk mengumpul dana menerusi pasaran saham, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia akan mengecualikan atas yuran (fi) berkaitan penyenaraian, selama 12 bulan, bagi syarikat yang memohon penyenaraian di Pasaran LEAP atau Pasaran ACE, serta syarikat-syarikat dengan permodalan pasaran kurang daripada RM500 juta di Pasaran Utama
SC sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan mengenai butiran pelaksanaan dana pelaburan bersama tersebut, dan akan memaklumkan status mengenainya apabila dimuktamadkan. Pengecualian fi penyenaraian selama setahun akan berkuat kuasa serta merta.
Di samping itu, SC juga akan mengumumkan langkah-langkah pasaran modal yang khusus bagi melengkapi usaha Kerajaan dalam menyokong ekonomi Malaysia. Butiran lanjut mengenai langkah-langkah ini akan diumumkan dalam masa terdekat.