Laporan Tahunan 2000 Suruhanjaya Sekuriti

Kuala Lumpur, 2 Mei 2001

Suruhanjaya Sekuriti hari ini mengeluarkan Laporan Tahunannya bagi tahun 2000, laporan tahunan ke-lapan sejak penubuhannya pada Mac 1993. Laporan tersebut telah dibentangkan di Parlimen menurut seksyen 28 dan 29 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA).

Laporan tahunan itu memaparkan usaha-usaha pembangunan Suruhanjaya, aktiviti pengawalseliaan dan operasinya serta penyata kewangan Suruhanjaya bagi tahun berakhir 31 Disember 2000.

Usaha Pembangunan Utama

Pembangunan Pelan Induk Pasaran Modal

Tahun 2000 menyaksikan usaha Suruhanjaya dalam menyalurkan sumbernya kepada perumusan Pelan Induk Pasaran Modal, satu pelan strategik untuk pembangunan satu pasaran modal bagi Malaysia yang mempunyai kedudukan baik untuk membuat satu sumbangan penting ke arah mencapai aspirasi negara. Pelan itu telah dikemukakan kepada Menteri Kewangan pada Oktober 2000 dan seterusnya mendapat kelulusan beliau pada Disember 2000. Ia telah dilancarkan oleh Suruhanjaya pada Februari 2001.

"Pelan Induk itu membayangkan bahawa Malaysia akan dapat menubuhkan sebuah pasaran modal yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, menyediakan satu saluran yang cekap bagi pergerakan dan peruntukan dana, dan disokong oleh rangka kerja pengawalseliaan yang memudahcarakan dan teguh," kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Encik Ali Abdul Kadir.

"Kami sedang menumpukan kepada proses pelaksanaan, yang menggunakan pendekatan berfasa. Suruhanjaya telah mengambil satu pendekatan pragmatik ke arah pelaksanaan pelan itu, dan telah mengambil pelbagai langkah dalam Pelan Induk tersebut, termasuk pengawasan kemajuan, bagi memastikan pelan tersebut terus berkembang dan kekal dinamik dalam persekitaran yang berubah-ubah," kata Encik Ali.

Lanskap pengawalseliaan Baru bagi Pengumpulan Dana

Akta Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2000 yang berkuat kuasa pada Julai 2000 membuat beberapa perubahan meluas kepada rangka kerja pengawalseliaan yang mentadbir aktiviti penjanaan dana di Malaysia, yang meletakkan Suruhanjaya sebagai pihak berkuasa tunggal bagi aktiviti tersebut. Bawah pindaan tersebut, Suruhanjaya diberi mandat sebagai pihak berkuasa meluluskan dan mendaftarkan prospektus bagi semua sekuriti (selain saham dan debentur yang diterbitkan oleh kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai). Ini menghasilkan ketentuan undang-undang dan pengawalseliaan yang lebih besar bagi penawaran awam dan sekuriti, satu langkah ke arah mempromosikan pasaran modal yang lebih cekap dan berdaya saing.

Lanskap pengawalseliaan yang baru juga memperkenalkan satu proses penerbitan baru bagi pasaran bon korporat berikutan mandat baru Suruhanjaya sebagai pihak berkuasa pengawalseliaan tunggal untuk pasaran bon korporat.

Suruhanjaya, bawah naungan Jawatankuasa Pasaran Bon Negara (NBMC) kerajaan, juga sedang berusaha bagi langkah seterusnya untuk memperluas asas penerbit dan pelabur bagi bon korporat. Antara lain, Suruhanjaya telah memperkenalkan garis panduan berhubung sekuriti yang disokong oleh aset pada April 2001.

Penggabungan Industri Broker Saham

Satu lagi perkembangan penting dalam tahun 2000 adalah pengenalan satu rangka kerja polisi bagi memudahcarakan penggabungan industri broker saham.

Rangka kerja Polisi Penggabungan Industri Broker Saham telah diumumkan pada April 2000. Sebuah Pasukan Petugas mengenai Penggabungan Industri Broker Saham dibentuk sejurus selepas pengumuman Suruhanjaya itu untuk mengawasi dan mengkaji semula kemajuan dan takat penggabungan industri broker saham itu.

Berdasarkan kepada cadangan yang disediakan oleh Pasukan Petugas ini dan maklum balas daripada industri, Suruhanjaya telah mengeluarkan satu versi rangka kerja itu yang dipinda pada November 2000 yang membenarkan sedikit kelonggaran bagi rangka kerja terdahulu semata-mata untuk mengurangkan kesulitan praktikal yang dihadapi oleh pihak broker dan untuk memudahkan proses penggabungan.

"Saya berpuas hati dengan kemajuan yang dibuat ke atas penggabungan broker dan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak broker kepada proses penggabungan sehingga kini. Ia merupakan objektif Suruhanjaya bagi membentuk satu teras perantaraan tempatan yang kukuh melalui pengenalan Broker Universal. Sebagaimana yang diumumkan oleh Suruhanjaya, empat syarikat broker saham telah diberikan status tersebut," kata Encik Ali.

Meningkatkan Ketelusan dan Tadbir Urus dalam Pasaran Modal

Beberapa pencapaian telah dicatatkan dalam usaha Suruhanjaya untuk meningkatkan ketelusan dan tadbir urus korporat dalam pasaran modal. Antara lain, pasaran telah memasuki Fasa Kedua daripada tiga fasa peralihan ke arah persekitaran pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR) pada Januari 2000. Pada dasarnya, Fasa Kedua adalah sebahagian daripada sistem DBR dengan penekanan kepada peningkatan penzahiran, ketekunan wajar dan tadbir urus korporat selain galakan kebertanggungjawaban dan kawal seliaan sendiri.

Suruhanjaya juga memulakan kajian terhadap kesediaan pasaran untuk mendapatkan persediaan pasaran bagi DBR sepenuhnya.

Dalam tahun 2000, kemajuan juga telah dibuat dalam langkah-langkah bagi meningkatkan standard tadbir urus korporat dalam pasaran modal. Terdapat beberapa kemajuan yang patut diberi perhatian dalam pelaksanaan cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Kewangan mengenai Tadbir Urus Korporat (Laporan Jawatankuasa Kewangan). Ini termasuk usaha untuk meminda Keperluan Penyenaraian BSKL dan memperkenalkan peraturan baru yang bertujuan meningkatkan standard tata laku pengarah dan pegawai di syarikat-syarikat awam tersenarai (PLC), di samping membangunkan mekanisme tadbir urus dalaman yang efektif. Usaha dalam hal ini membawa kepada pengenalan Keperluan Penyenaraian BSKL yang dipinda pada Januari 2001.

Ternyata sekali bahawa pengenalan Akta Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2000, pada 1 Julai 2000, memperkenalkan satu remedi sivil baru yang membolehkan para pelabur mendapatkan semula kehilangan atau kerugian yang timbul daripada peruntukan maklumat palsu atau mengelirukan yang terkandung dalam sesuatu prospektus.

Tadbir urus korporat telah juga dilanjutkan kepada institusi pasaran seperti bursa, rumah penjelasan dan depositori pusat. Kod Tata Laku Institusi Pasaran dikeluarkan pada Mei 2000 untuk mewujudkan ketelusan, konsistensi dan kesaksamaan dalam proses pengawalseliaan mereka, amalan terbaik tadbir urus dan kebertanggungjawaban bagi keputusan dan tindakan.

Meningkatkan Standard Profesional Perantara

Dalam tahun 2000, usaha penting dilakukan oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) Suruhanjaya ke arah merumuskan program Pendidikan Profesional Berterusan (CPE). Usaha dalam bidang ini menghasilkan pengenalan kursus-kursus CPE pada Februari 2001. Mata yang dikumpulkan dengan menghadiri kursus CPE akan menjadi syarat bagi pembaharuan lesen wakil peniaga pada Julai 2002 dan seterusnya merangkumi semua kategori lesen yang lain.

"Dengan mengaitkan pembaharuan lesen dan kehadiran program CPE, Suruhanjaya berusaha untuk mempertingkatkan kecekapan profesional bagi semua wakil berlesen dan, dalam tempoh jangka panjang, mewujudkan budaya pendidikan berterusan dan maju diri di kalangan mereka," kata Encik Ali.


Operasi Tahun 2000

Cadangan Korporat

Bilangan cadangan korporat yang dikemukakan kepada Suruhanjaya pada 2000 telah meningkat sebanyak 24.2% daripada 335 pada 1999 kepada 416 pada 2000. Jumlah ini ditambah kepada jumlah permohonan yang dibawa ke hadapan dari 1999 bererti Suruhanjaya terpaksa menyelesaikan 518 cadangan pada tahun 2000, berbanding 429 permohonan pada 1999.

Kira-kira 76% daripada cadangan ini diproses dan dipertimbangkan pada tahun tersebut, 3% ditarik balik manakala baki 21% dibawa ke hadapan ke tahun 2001. Peratusan kelulusan yang diberikan oleh Suruhanjaya juga adalah tinggi - 71.6% pada 2000 berbanding 64.1% pada 1999.

Suruhanjaya menjangkakan pelbagai langkah korporat yang diluluskan pada tahun 2000 akan menjana dana sebanyak RM37.62 bilion.

Skim Pengurusan Dana dan Pelaburan Kolektif

Bagi industri pengurusan dana, terdapat 72 syarikat pengurusan dana dan 205 wakil pengurus dana yang beroperasi pada akhir 2000. Lima puluh tujuh syarikat pengurusan dana adalah 100% milik tempatan, 10 dimiliki secara usaha sama dengan majoriti pemilikan tempatan, satu adalah 100% milik asing dan empat secara usaha sama dengan majoriti pemilikan asing. Terdapat juga sembilan pengurus dana niaga hadapan berlesen dan 32 wakil pengurus dana niaga hadapan.

Berdasarkan kepada laporan separa tahunan 63 syarikat daripada 72 syarikat pengurusan dana, jumlah dana yang diuruskan oleh syarikat ini setakat 31 Disember 2000 berjumlah RM46.05 bilion - di mana RM43.4 bilion merangkumi dana tempatan dan RM2.65 bilion (AS$696.86 juta) dana asing.

Industri unit amanah menunjukkan pertumbuhan positif pada 2000. Industri tersebut (unit dalam pengedaran) meneruskan trend menaiknya dari 1999. Pada akhir Disember 2000, 63.9 bilion unit adalah dalam pengedaran, bertambah 21.5% dari akhir 1999. Nilai aset bersih (NAV) industri unit amanah, berjumlah RM43.3 bilion pada akhir Disember 2000, adalah hampir kepada RM43.26 bilion yang dicatatkan pada akhir 1999.

Pelesenan Perantara

Suruhanjaya, sebagai badan berkuasa dalam pemberian lesen bagi perantara pasaran bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 (FIA), telah mencatatkan satu peristiwa penting pada 2000 apabila Jabatan Pelesenannya dianugerahi Pensijilan Sistem Kualiti Berasaskan Standard ISO 9002: 1994 oleh SIRIM QAS Sdn Bhd.

"Ini menunjukkan komitmen kami ke arah mencapai standard kecekapan dan profesionalisme yang lebih tinggi dalam perkhidmatan yang kami berikan kepada peserta pasaran modal," kata Encik Ali.

Sejumlah 1,305 lesen baru telah diberikan pada tahun 2000 - 1,139 bawah SIA dan 166 bawah FIA (tidak termasuk pendaftaran baru sembilan ahli tempatan). Berhubung pembaharuan lesen, 7,555 diberikan bawah SIA manakala 659 bawah FIA.

Bilangan wakil peniaga, kategori terbesar bawah SIA, meningkat daripada 7,315 pada akhir 1999 kepada 7,805 pada akhir 2000. Daripada jumlah pada 2000, 5,802 ialah remisier manakala baki 2,003 ialah wakil peniaga berbayar.

Berhubung perantara pasaran yang lain bawah SIA pada akhir 2000, terdapat 60 syarikat broker saham, 38 penasihat pelaburan, 136 wakil pelaburan, 72 pengurus dana, dan 205 wakil pengurus dana.

Komposisi perantara pasaran berlesen bawah FIA pada akhir 2000: 31 broker niaga hadapan, 737 wakil broker niaga hadapan, sembilan pengurus dana niaga hadapan dan 32 wakil pengurus dana niaga hadapan.

Penguatkuasaan

Suruhanjaya terus memperkukuh usaha penguatkuasaannya sepanjang 2000, sejajar dengan tugas berkanun Suruhanjaya untuk memelihara integriti pasaran dan melindungi kepentingan pemegang saham.

"Suruhanjaya terus bertindak terhadap pelanggaran undang-undang dan peraturan pasaran modal - 41 kertas siasatan telah dibuka pada 2000 manakala 113 kertas siasatan dibawa ke hadapan dari 1999. Hasil daripada ini, empat surat amaran telah dikeluarkan, enam didakwa di mahkamah, 17 dikenakan kompaun dan 39 ditutup tanpa sebarang tindakan susulan berikutan kelulusan Pendakwa raya," kata Encik Ali.

Pada empat bulan pertama tahun 2001, Suruhanjaya telah mengambil tindakan terhadap 10 individu iaitu tujuh orang pengarah dan seorang pengerusi eksekutif.

Hal Ehwal Antarabangsa

Tahun 2000 juga menyaksikan perkembangan berterusan peranan antarabangsa Suruhanjaya. Pada Mei 2000, Pengerusi Suruhanjaya telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia-Pasifik (APRC) bagi Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO). Sebagai satu daripada empat jawatankuasa serantau bagi IOSCO, APRC adalah sebuah forum yang penting untuk membincangkan isu-isu pasaran modal berkaitan rantau ini.

"Saya berharap agar APRC dapat menggalakkan integrasi dan pembangunan keseluruhan pasaran serantau yang lebih baik bagi faedah bersama.

"Pelantikan ini menggambarkan satu pengiktirafan yang jelas dan teguh mengenai Malaysia, kepimpinannya, pasaran modal kita dan, sudah tentu terhadap Suruhanjaya," kata Encik Ali.

Akaun

Penyata Kewangan Suruhanjaya bagi tahun berakhir 31 Disember 2000 menunjukkan jumlah pendapatan sebanyak RM129.89 juta, satu peningkatan daripada RM120.94 juta pada 1999.

Manakala, jumlah perbelanjaan operasi bagi tahun 2000 berjumlah RM92.27 juta, 17.3% lebih tinggi daripada jumlah RM78.63 juta pada tahun sebelumnya.

Suruhanjaya mengakhiri tahun bawah tinjauan dengan lebihan selepas cukai sebanyak RM26.95 juta, agak rendah daripada jumlah RM38.16 juta yang diperoleh pada akhir 1999.

Sumber Manusia

Jumlah kakitangan Suruhanjaya pada akhir 2000 adalah sejumlah 523 - peningkatan sebanyak 18.6% daripada jumlah pada akhir 1999. Kadar pusing ganti kakitangan menurun kepada 3% berbanding 5.4% pada 1999.

Laporan Tahunan Suruhanjaya boleh didapati di laman web Suruhanjaya di sini dan boleh dibeli dengan harga RM40 setiap satu dari Perkhidmatan Korporat SIDC.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup