Laporan Tahunan AOB 2013: Fokus pemantauan ke atas sistem pengawasan dalaman
12 Mei 2014   |   Kuala Lumpur
Firma audit diingatkan supaya melaksanakan prosedur audit yang perlu bagi menilai sama ada pembentangan keseluruhan penyata kewangan dibuat mengikut rangka kerja pelaporan kewangan yang terpakai, demikian menurut Lembaga Pemantauan Audit (AOB) dalam laporan tahunan keempatnya yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu menyatakan bahawa walaupun pembentangan dan penzahiran penyata kewangan itu merupakan tanggungjawab pihak pengurusan, terdapat keperluan ISA tertentu yang perlu dipatuhi oleh juruaudit.

Laporan Tahunan AOB 2013 ini memberi tumpuan terhadap usaha pemantauannya pada tahun lalu kepada aktiviti yang mengukuhkan sistem kawalan kualiti firma audit di Malaysia dan menggalakkan amalan terbaik yang meningkatkan kualiti kerja audit mereka.

Aktiviti pemeriksaan lembaga pemantauan itu menekankan elemen utama termasuk nada yang ditetapkan oleh pihak kepimpinan firma audit berkenaan, ketekalan prestasi rakan kongsi audit dalam jaringan kerja audit dan keberkesanan sistem pemantauan kualiti dalaman mereka.

Proses pemantauan dalaman firma audit diberikan lebih tumpuan ketika pemeriksaan tersebut bagi memberikan AOB gambaran yang lebih jelas mengenai skop, pelaksanaan dan keberkesanan mereka. Dalam Perutusan Pengerusinya, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengerusi Eksekutif AOB berkata, “Berdasarkan pemerhatian kami, kami percaya bahawa firma audit perlu meningkatkan komponen prosedur kawalan kualiti bagi memastikan keberkesanan yang lebih baik.”

Laporan Tahunan AOB 2013 juga menyenaraikan penyebab punca yang berpotensi kepada kekurangan audit bagi firma-firma utama. Kekurangan sumber disebabkan kadar pemberhentian yang tinggi, jumlah kerja audit dan kekurangan penyeliaan dan arahan oleh rakan kerja audit, kegagalan mekanisme kawalan pemantauan firma untuk menimbulkan isu-isu yang berkaitan dan kekurangan penggunaan skeptisisme profesional dalam menilai bukti audit, terus menjadi isu-isu berterusan.

Sementara itu, punca penyebab utama bagi firma audit lain merangkumi kelemahan dalam menyampaikan mesej kualiti audit oleh pemimpin mereka, kekurangan kefahaman mengenai perniagaan pelanggan audit, kekurangan kecekapan teknikal dalam perakaunan dan pengauditan, kekurangan sokongan teknikal bagi menjaga kualiti audit yang merangkumi proses perundingan dan semakan pemantauan dalaman, kekurangan penggunaan skeptisisme profesional dalam menilai bukti audit; ketidakcukupan penglibatan, penyeliaan dan arahan oleh rakan kerja audit dan ketidakberkesanan Penyemak Kawalan Kualiti Tugasan (EQCR).

“Pendekatan yang lebih jujur dan menyeluruh dalam mengenal pasti punca sebenar dan penyediaan pelan pemulihan yang bersesuaian bagi menangani punca sebenar kelemahan itu akan mengukuhkan lagi sistem kawalan kualiti firma audit tersebut, dan meletakkan firma audit dalam kedudukan yang lebih baik.” Ujar Nik Mohd Hasyudeen.

Dalam menguatkuasakan piawaian pengauditan, AOB mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap enam juruaudit pada tahun 2013, sebahagian besarnya disebabkan oleh kegagalan mereka untuk mematuhi peraturan piawaian pengauditan dalam melaksanakan audit.

“Walaupun AOB sentiasa fokus dalam bekerjasama dengan firma audit bagi meningkatkan prestasi mereka, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap kelemahan audit dan pelanggaran tingkah laku etika yang akan menjejaskan keyakinan terhadap penyata kewangan teraudit di Malaysia,” kata Nik Mohd Hasyudeen.

Laporan tahunan tersebut itu juga mendapati bahawa fi audit yang dikenakan oleh 10 firma audit utama telah meningkat sebanyak 6% dan 9%, masing-masing pada tahun 2011 dan 2013 bagi menggantikan kenaikan kos gaji yang masing-masing meningkat sebanyak 18% dan 13%, bagi kedua-dua tahun, dan trend kenaikan ini telah diperhatikan dalam fi audit sejak tahun in 2010.

AOB ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada tahun 2010 bagi memantau juruaudit entiti kepentingan awam (PIE), melindungi kepentingan pelabur dan menggalakkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan beraudit PIE.

Pada tahun 2013, bilangan firma audit yang berdaftar dengan AOB menurun kepada 53 berbanding 67 pada tahun 2012. Bagaimanapun, bilangan juruaudit individu berdaftar telah meningkat daripada 293 kepada 302 pada tahun lalu.

LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup