Laporan Tahunan AOB 2016: Firma audit digesa perkukuh pembinaan kapasiti dan kawalan kualiti
4 Julai 2017   |   Kuala Lumpur
Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam laporan tahunan 2016-nya menggesa firma audit untuk mengukuhkan pembinaan kapasiti mereka dan meningkatkan kawalan kualiti mereka bagi menunjukkan peri pentingnya nilai audit dan kaitannya dalam memastikan tadbir urus korporat syarikat yang baik.

SC menekankan bahawa menggalakkan kebolehpercayaan terhadap penyata kewangan teraudit, amalan audit berkualiti tinggi dan menangani pemerhatian dalam pemeriksaan firma audit di Malaysia, kekal menjadi tumpuan utama pengawal selia tersebut.

Dato' Gumuri Hussain, Pengerusi Eksekutif AOB berkata, "AOB komited untuk mengekalkan fokus dan momentum positifnya terhadap hal-hal utama dan pemangkin pasaran seperti Piawaian Pelaporan Juruaudit Baharu dan Disemak Semula (Piawaian) sebagai satu cara untuk mendorong lebih banyak ketelusan dalam laporan juruaudit serta pelaporan kewangan."

Piawaian tersebut akan menghendaki juruaudit untuk menzahirkan Hal Utama Audit dalam laporan mereka, yang memberi pelaporan yang lebih bermaklumat dan disesuaikan khusus kepada situasi pelanggan dan bukannya pendekatan pelaporan sekarang yang terdiri daripada templat yang standard atau laporan amalan standard (boilerplate). AOB telah mengadakan perbincangan dengan juruaudit dan pihak berkepentingan sebelum menerima pakai Piawaian ini. Ini termasuk taklimat oleh pakar-pakar dari Majlis Pelaporan Kewangan UK dan Lembaga Piawaian Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa mengenai pandangan dan pengalaman praktikal berkaitan cabaran yang dihadapi ketika melaksanakan pemakaian piawaian-piawaian ini di Malaysia.

SC akan memantau rapi pematuhan juruaudit dalam melaksanakan Piawaian Laporan Juruaudit Baharu dan Disemak Semula tersebut melalui program pemeriksaan AOB untuk mengenal pasti situasi ketidakpatuhan dan trend.

Sejak tahun 2015, AOB telah mengumpul data daripada 10 firma terbesar yang meliputi bidang campuran hasil, sumber manusia, latihan, peruntukan portfolio pelanggan dan aktiviti pemantauan dalaman untuk menanda aras prestasi mereka. Proses pengumpulan data tahunan ini membolehkan AOB memperoleh kefahaman yang lebih mendalam mengenai keadaan semasa firma audit yang lebih besar. Pada tahun 2017, AOB akan melaksanakan analisis yang lebih terperinci ke atas data yang dikumpulkan sepanjang beberapa tahun lalu untuk mewujudkan trend utama bagi kualiti audit. Analisis ini bertujuan untuk mengenal pasti bidang penambahbaikan dan memacu usaha untuk pembangunan kapasiti. Inisiatif ini selaras dengan matlamat AOB untuk mencapai pengawalseliaan yang berkesan melalui pemantauan aktif dan pembabitan dengan firma-firma audit.

Usaha penguatkuasaan dan proses audit AOB juga telah diiktiraf di peringkat global oleh Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA) dan Suruhanjaya Eropah (EC). Program pemeriksaannya yang mantap dan keperluan berhubung dengan dokumen pemeriksaan dan penyiasatan yang setanding telah diperakui sebagai kekuatan utama AOB. Pengiktirafan ini seterusnya mengesahkan proses AOB sebagai kukuh dan setara dengan rakan sejawatnya di peringkat global.

SC berkata bahawa pemeriksaan dan penguatkuasaan akan kekal sebagai fungsi teras AOB. Ini merupakan keutamaan teratas untuk melindungi pelabur dan pihak berkepentingan lain dan menetapkan nada bagi audit kualiti yang tinggi. Pada tahun 2016, AOB memeriksa lima firma audit utama dan tujuh firma audit lagi yang secara kolektif mengaudit syarikat-syarikat awam tersenarai yang membentuk 96% daripada permodalan pasaran Bursa. SC mencatatkan peningkatan dalam usaha penambahbaikan dengan berkurangnya bilangan pemerhatian berulang berbanding pemeriksaan sebelumnya. Daripada sembilan firma yang diperiksa semula pada 2016, dua firma tidak mencatatkan sebarang pemerhatian berulang manakala enam firma lagi menunjukkan penambahbaikan.

Walau bagaimanapun, kekurangan tertentu dalam kerja juruaudit berhubung pengiktirafan pendapatan, inventori, audit kumpulan dan transaksi pihak berkaitan, kekal menjadi kebimbangan dan AOB akan terus mengadakan penglibatan bersama firma-firma audit untuk memahami punca sebenar kekurangan tersebut dan memantau usaha pemulihan yang tepat pada masanya oleh pihak firma.

LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT


Ooops!
Generic Popup