‘Larian ScamBuster’ InvestSmart® sasar tingkat kesedaran mengenai skim pelaburan tidak sah
28 September 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan `Larian ScamBuster’ pada 15 Oktober 2017 sempena acara tahunan InvestSmart® Fest 2017.
Larian santai 5km yang dijangka menarik penyertaan kira-kira 3,000 pelari akan bermula pada jam 7.30 pagi di sekitar Kuala Lumpur City Centre dari Jalan P. Ramlee. Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk merasmikan dan mengambil bahagian dalam larian tersebut.

Pendaftaran bagi Larian ScamBuster kini dibuka kepada semua warga Malaysia dewasa dengan bayaran sebanyak RM40 dan kanak-kanak berumur dari 7 hingga 12 tahun sebanyak RM20, melalui laman sesawang InvestSmart di www.investsmartsc.my.

Walaupun Larian ScamBuster disasarkan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga Malaysia mengenai skim pelaburan tidak sah, sebagai satu larian amal, kesemua kutipan bagi penyertaan akan disalurkan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan.

Acara InvestSmart® Fest tahun ini, yang bermula dari 13-15 Oktober 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akan mengumpulkan lebih 60 institusi pasaran modal termasuk persatuan, penggiat industri dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung. Penaja utama InvestSmart® Fest termasuk Bursa Malaysia Bhd, AmInvestment Bank, RHB Investment Bank, Permodalan Nasional Bhd dan Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia. Masuk adalah percuma.

Dilancarkan pada 2014, InvestSmart® merupakan kempen celik pelaburan komprehensif di bawah inisiatif pemerkasaan pelabur SC bagi menyokong penglibatan pelabur runcit berkeyakinan dan bermaklumat dalam pasaran modal.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup