Hanya 48 waran boleh melanjutkan tempoh laksana, sekiranya dikehendaki oleh penerbit waran ini dan mereka memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Ini adalah berdasarkan analisis oleh SC mengenai status semua waran yang tersenarai di BSKL berikutan pengumuman baru-baru ini yang dibuat oleh para penerbit waran tersenarai yang mempunyai Surat Ikatan yang mengandungi peruntukan ekspres bagi pelanjutan tempoh laksana waran mereka.
Butiran waran-waran ini boleh didapati di sini.
Seratus sembilan belas waran tidak boleh dilanjutkan disebabkan oleh satu atau lebih faktor berikut:
- Tempoh laksana waran telah ditetapkan pada tempoh 10 tahun maksimum yang dibenarkan bawah seksyen 68(1) Akta Syarikat 1965;
- Surat Ikatan yang mentadbir waran tersebut tidak mengandungi peruntukan ekspres yang membenarkan pelanjutan sedemikian; dan
- Syarikat tersenarai yang menerbitkan waran telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan melanjutkan lagi tempoh laksana warannya.
Sebaliknya, 48 waran dibenarkan untuk melanjutkan tempoh laksana kerana Surat Ikatan yang mentadbir waran tersebut mempunyai peruntukan ekspres dan mereka tidak menggunakan sepenuhnya tempoh maksimum 10 tahun yang dibenarkan.
Walau bagaimanapun, pelanjutan itu adalah tidak secara automatik kerana keperluan dan prosedur tertentu sebagaimana yang ditetapkan oleh SC dalam kenyataan akhbarnya pada 30 Oktober 1998, hendaklah dipatuhi. Dalam sebarang keadaan, penerbit 48 waran ini boleh memutuskan untuk tidak melanjutkan tempoh laksana waran mereka walaupun Surat Ikatan mengandungi peruntukan ekspres yang membolehkan mereka berbuat sedemikan.
Oleh itu, SC ingin menasihatkan para pelabur untuk mengambil kira secara berhati-hati dan mempertimbangkan penilaian adil waran tersenarai apabila memutuskan sama ada untuk menjalankan dagangan dalam sesuatu waran atau melaksanakan waran mereka. Para pelabur tidak berhak terhadap sebarang pengembalian semula atau pampasan sekiranya mereka mengalami kerugian akibat daripada pelaburan dalam waran-waran ini.