Lembaga Pemantauan Audit Halang Firma Daripada Menerima PIE Sebagai Pelanggan Selama 12 Bulan
2 Jun 2014   |   Kuala Lumpur
Lembaga Pemantauan Audit (AOB) telah mengenakan halangan ke atas Wong Weng Foo & Co daripada menerima entiti kepentingan awam (PIE) sebagai pelanggan selama 12 bulan kerana kegagalan firma tersebut untuk mematuhi seksyen 31N(1) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 yang menghendaki firma-firma audit berdaftar dengan AOB apabila bertindak sebagai juruaudit PIE.

Di samping itu, firm tersebut juga telah gagal mematuhi Undang-Undang Kecil (Mengenai Etika, Tatalaku dan Amalan Profesional) Institut Akauntan Malaysia yang berkaitan dengan kebebasan. AOB juga mengenakan penalti monetari sebanyak RM30,000 ke atas firma itu atas pelanggaran tersebut.

“Matlamat di sebalik keperluan kebebasan tersebut adalah bagi mengelakkan ancaman keakraban antara pelanggan dan pasukan tugasan yang boleh mewujudkan pengaruh yang boleh menggugat pertimbangan profesional, objektiviti dan skeptisisme profesional,” kata Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengerusi Eksekutif AOB. Beliau menjelaskan bahawa keberkesanan keseluruhan pelaksanaan tugasan audit bergantung kepada kebebasan pasukan tugasan dan rakan kongsi utama audit. Oleh itu, sebarang pelanggaran terhadap keperluan kebebasan tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan tegas.

“AOB menghendaki firma audit agar mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau firma yang berdaftar yang gagal dalam pematuhan” kata Nik.

AOB ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 2010, bagi memantau juruaudit PIE, melindungi kepentingan pelabur dan menggalakkan keyakinan dalam kualti dan keandalan penyata kewangan teraudit PIE.

Setakat 31 Mac 2014, sejumlah 306 juruaudit individu dan 53 firm audit telah berdaftar dengan AOB. AOB juga telah mengiktiraf 15 juruadit individu asing dari tujuh firma audit asing.

LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup